Skip to main content

Singapura

Pengeluaran gula-gula Hi-Chew ini bakal dihentikan, penjual letak harga tidak masuk akal di Carousell

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Beberapa orang di Singapura sudah mula menjual semula gula-gula Hi-Chew perisa epal hijau pada harga yang tidak masuk akal.

Ini dilakukan ekoran pengumuman oleh syarikat pembuat gula-gula dari Jepun, Morinaga, bahawa ia akan berhenti menghasilkan perisa epal hijau produk tersebut - khabar yang cukup menghampakan para pelanggan dan penggemar setianya.

Satu pek yang mengandungi 12 paket gula-gula Hi-Chew berperisa buah dijual pada harga S$1.05 sahaja di pasar-pasar raya di Singapura.

Namun, beberapa penjual kini mengambil kesempatan ke atas pengumuman tersebut dengan menyenaraikan "edisi terhad" Hi-Chew perisa epal hijau di wadah e-dagang Carousell, meletakkan harga S$10 bagi satu keping gula-gula tersebut.

Harga bagi pek berisi 12 keping pula melambung tinggi sehingga S$500!

HI-CHEW PERISA EPAL HIJAU DIJUAL DI S'PURA

Memberikan responsnya terhadap kekecohan yang tercetus dalam kalangan pelanggan, DKSH Singapore - pengedar produk-produk Morinaga di Singapura - menjelaskan bahawa pemberhentian bagi pengeluaran produk itu hanya menjejas Hi-Chew Green Apple (perisa epal hijau) yang dijual dalam bungkusan 57 gram (g) dari Jepun, yang mengandungi 12 keping gula-gula.

Pengeluaran dan stok untuk Hi-Chew Green Apple dalam bungkusan 35g, yang mengandungi tujuh keping, tidak akan terjejas.

Morinaga mendedahkan pada Selasa lalu (2 Ogos) bahawa pengeluaran bagi gula-gula Hi-Chew Green Apple dalam pek berisi 12 keping di Jepun akan diberhentikan menjelang hujung bulan ini disebabkan permintaan yang berkurangan.

Perisa ikonik itu mula diperkenalkan pada 1982.
Sumber : Today/SS/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita