Pengedar dadah warga M'sia 'diberi proses perundangan sewajarnya', kata Presiden Halimah
Presiden Halimah Yacob sudah membalas surat raja Malaysia berhubung rayuan daripada para pemimpin Malaysia mengenai kes pengedar dadah Nagaenthran Dharmalingam, yang kini berdepan hukuman mati di Singapura, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (3 Dis).
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob sudah membalas surat raja Malaysia berhubung rayuan daripada para pemimpin Malaysia mengenai kes pengedar dadah Nagaenthran Dharmalingam, yang kini berdepan hukuman mati di Singapura, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) hari ini (3 Dis).
"Presiden Halimah Yacob sudah membalas surat (Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk menyampaikan bahawa (Nagaenthran) sudah diberikan proses perundangan sewajarnya," kata seorang jurucakap MFA dalam respons kepada pertanyaan media.
Menurut Malaysian Insight, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, Kamarudin Jaffar, memberitahu Parlimen pada 23 November bahawa Sultan sudah mengirimkan surat kepada Puan Halimah untuk memohon pengampunan bagi Nagaenthran.
Pada 12 November, MFA menyatakan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan juga sudah membalas surat rakan-rakan sejawatan mereka dari Malaysia berhubung kes Nagaenthran.
Pada 9 November, hukuman mati Nagaenthran ditunda apabila dia diuji positif COVID-19. Dia dibawa masuk sebentar ke kandang tertuduh pada hari tersebut untuk dihadapkan ke Mahkamah Rayuan bagi percubaan mengemukakan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya. Dia pada awalnya dijadual ke tali gantung pada 10 November.
Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengimport 42.72gram (g) heroin tulen ke Singapura pada 2009 dalam bungkusan yang diikat pada pehanya.
Dia gagal dalam rayuannya kepada Mahkamah Tinggi pada 2011, Mahkamah Agung pada 2019 - di mana sebuah mahkamah terdiri daripada lima hakim termasuk Ketua Hakim menolak permohonannya - dan juga petisyennya kepada presiden untuk mendapatkan pengampunan.
Peguam M Ravi memfailkan satu permohonan mahkamah pada November 2021, menyatakan Nagaenthran memiliki usia mental seseorang yang berusia bawah 18 tahun.
Beliau berhujah, belas kasihan pengadilan harus dilaksanakan untuk menangguhkan hukuman mati ke atas Nagaenthran sementara menunggu pemeriksaan lanjut psikiatrik dan laporan mengenai keadaan mentalnya.
Bagaimanapun, hakim perbicaraan mendapati Nagaenthran tidak mengalami sebarang tahap kurang upaya intelek, meskipun ia diterima bahawa dia mempunyai fungsi intelek yang agak rendah.
Permohonan tersebut kemudian ditolak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.