Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengedar dadah M'sia 'diberi proses perundangan sewajarnya': PM Lee, Menteri Balakrishnan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan sudah membalas surat rakan sejawatan mereka dari Malaysia berhubung kes melibatkan pengedar dadah yang dihukum gantung di Singapura, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (12 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengedar dadah M'sia 'diberi proses perundangan sewajarnya': PM Lee, Menteri Balakrishnan

(Gambar hiasan: Ekaterina Bolovtsova/Pexels)

Diterbitkan : 12 Nov 2021 08:40PM Dikemas Kini : 12 Nov 2021 09:58PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan sudah membalas surat rakan sejawatan mereka dari Malaysia berhubung kes melibatkan pengedar dadah yang dihukum gantung di Singapura, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (12 Nov).

Agensi berita Bernama sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri telah menulis surat kepada Encik Lee memohon diringankan hukuman kes membabitkan pesalah dadah warganya itu.

"Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan telah membalas surat rakan sejawatan mereka dari Malaysia untuk memaklumkan bahawa Nagaenthran A/L K Dharmalingam telah menerima proses perundangan sewajarnya," kata seorang jurucakap MFA sebagai menjawab pertanyaan media.

Hukuman gantung ke atas Nagaenthran Dharmalingam, ditangguhkan pada Selasa selepas dia disahkan positif COVID-19 sebelum percubaan saat-saat terakhir memohon terhadap hukuman gantung tersebut.

Dia dijatuhi hukuman gantung pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram heroin tulen ke Singapura pada 2009 dalam bungkusan yang diikat pada pahanya, dan sejak itu menantikan hukuman gantung dijalankan.

Peguam M Ravi memfailkan permohonan mahkamah pada 8 November tahun ini dengan menyatakan Nagaenthran mempunyai usia mental seseorang di bawah 18 tahun. Beliau berhujah bahawa belas ihsan kehakiman harus dilaksanakan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu pemeriksaan psikiatri lanjut ke atas Nagaenthran dan melaporkan keadaan mentalnya.

Bagaimanapun, hakim mendapatinya tidak mengalami sebarang tahap kurang upaya intelek, meskipun dia mempunyai fungsi intelek agak rendah.

Permohonan itu kemudiannya ditolak, dengan Hakim See Kee Oon berkata bahawa Nagaenthran "telah diberikan proses perundangan sewajarnya".

RAYUAN SEBELUM INI

Rayuan Nagaentran sebelum ini terhadap sabitan dan hukumannya ditolak pada Julai 2011.

Pada Februari 2015, Nagaenthran memfailkan permohonan hukuman semula untuk mengetepikan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya, dan menggantikannya dengan penjara seumur hidup.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri menyatakan dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa permohonan bagi hukuman semula ke atas Nagaentran ditolak pada September 2017.

Rayuannya juga ditolak pada Mei 2019 dan petisyen kepada Presiden untuk pengampunan tidak berjaya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan