Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengedar dadah cari cara baru seludup dadah ke SG, kata CNB

Anggaran Waktu Membaca:
Pengedar dadah cari cara baru seludup dadah ke SG, kata CNB

Dadah yang dirampas di Singapura.

SINGAPURA: Sejak pandemik COVID-19 melanda, pengedar dadah menggunakan pelbagai cara baru untuk menyeludup dadah ke Singapura, kata Biro Narkotik Pusat (CNB), kepada Mediacorp pada Isnin (5 Dis).

Menurut Timbalan Pengarah Dasar dan Pentadbiran CNB, Sng Chern Hong, selain untuk elak dikesan, percubaan itu juga untuk mengambil kesempatan daripada sekatan pandemik COVID-19.

Sindiket sebelum ini dikesan menggunakan dron, menyembunyikan dadah di dalam alat pemadam api, dalam buah kelapa serta buah-buahan lain, dan mencampurnya dalam produk makanan untuk dibawa menyeberang sempadan, kata Encik Sng.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami menemui dadah dalam pelbagai bentuk. Contohnya, ganja dicampur dengan kek dan gula-gula 'gummies', serta Ice (kristal methamphetamine) dicampur di dalam paket serbuk minuman," katanya.

Jumlah ganja yang dirampas tahun ini sudah melebihi rampasan tahun lalu, dan pengambilan dadah itu mula kembali ke tahap sebelum COVID, kata Encik Sng.

CNB memberi amaran apa pun bentuk dadah terkawal tersebut, sama ada dalam bentuk mentah atau dicampur ke dalam produk makanan, ia masih merupakan satu kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Pemilikan, pengambilan, pengedaran, dan pengeluaran bahan terkawal akan dikenakan hukuman yang berat, tambah biro tersebut.

PENGAMBILAN DI LUAR NEGARA SATU KESALAHAN

Dengan sempadan mula dibuka, pihak berkuasa menyatakan ia juga menghadapi lebih banyak cabaran dengan penduduk mengambil dadah semasa berada di luar negara.

69 warga Singapura dan penduduk tetap ditangkap di pusat-pusat pemeriksaan bagi kesalahan berkaitan dadah antara Januari hingga November tahun ini, termasuk penyalahguna ganja.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, undang-undang berkaitan ganja dilonggarkan di sejumlah negara, yang terbaru di Thailand.

Beberapa gerai makan di Thailand menggunakan ganja sebagai bahan masakan, seperti contoh dalam piza dan 'hotpot. Beberapa pelancong juga melaporkan mereka hanya sedar makanan mereka mengandungi ganja setelah memakan makanan itu.

Kes sedemikian mungkin menjadi satu perkara biasa apabila perjalanan ke luar negara bertambah di rantau ini. Lantas, CNB menasihatkan pelancong supaya berhati-hati apabila memilih makanan kerana hukuman sama akan dikenakan bagi dadah terkawal yang diambil di luar negara.

Ia juga memberi amaran kepada pelawat supaya faham dan sedar akan bahan dalam produk yang mereka bawa masuk ke Singapura.

Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda S$20,000, atau kedua-duanya, kerana memiliki atau mengambil ganja. Bergantung kepada jumlah ganja tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman mati.

PENYALAHGUNAAN DADAH DALAM GOLONGAN BELIA SATU KEBIMBANGAN

Tahun lalu, seramai 2,724 penyalah guna dadah ditangkap, termasuk mereka yang mengambil ganja, menurut data yang dikeluarkan CNB.

Jumlah pesalah dari golongan belia merupakan satu kebimbangan, dengan sekitar 60 peratus penyalah guna dadah berusia bawah 30 tahun.

Pihak berkuasa menyatakan, dengan media sosial dan maklumat tidak tepat, terdapat kebimbangan bahawa sikap dan pemikiran belia menjadi lebih liberal terhadap penggunaan ganja.

"Sudah tentu, kami bimbang dengan situasi belia dan pilihan mereka untuk menggunakan dadah ... kami juga bimbang mereka bersikap lebih liberal terhadap penggunaan ganja," kata Encik Sng, dan bertambah bahawa CNB mengutamakan pendidikan untuk membanteras penggunaan dadah.

PENDIDIKAN ADALAH KUNCI

Singapura mengamalkan pendekatan berasaskan bukti dan mengekalkan pendirian yang tegas terhadap ganja, kata Encik Sng.

"Bahaya ganja adalah benar, dirakamkan dan dikaji secara meluas. WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB) melakukan kajian dan hasil dapatannya," kata Encik Sng.

CNB menyatakan ia sedang bekerjasama dengan rakan kongsi, termasuk pendidik, ibu bapa dan masyarakat, untuk menyebarkan mesej bebas-dadah.

"Jika ibu bapa dapat berbincang dengan anak mereka lebih awal tentang bahaya dadah, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk membina daya tahan terhadap dadah," kata Encik Sng.
Sumber : CNA/AE/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan