Pengecualian sewa hingga 2 bulan untuk SME di bawah usul pindaan undang-undang COVID-19
Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), yang mengalami kemerosotan pendapatan sebanyak sekurang-kurangnya 35 peratus dalam masa dua bulan lalu tidak lama lagi mungkin akan mendapat lebih banyak bantuan dari segi perbelanjaan sewa.
Suasana CBD di Singapura pada 7 Apr 2020. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)
SINGAPURA: Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), yang mengalami kemerosotan pendapatan sebanyak sekurang-kurangnya 35 peratus dalam masa dua bulan lalu tidak lama lagi mungkin akan mendapat lebih banyak bantuan dari segi perbelanjaan sewa.
Ia adalah sebahagian daripada kriteria untuk menerima bantuan sewa tambahan yang disediakan oleh pemilik hartanah di bawah undang-undang baru yang diusulkan bagi membantu SME menangani kesan daripada COVID-19.
Pindaan kepada peraturan COVID-19 itu akan diperkenalkan di Parlimen pada Jumaat (5 Jun).
Para pemilik hartanah yang mengalami kesulitan untuk menyerap pengecualian kos juga akan mendapat bantuan.
SME yang layak di hartanah-hartanah komersil akan menerima pengecualian sewa empat bulan dari April hingga Julai. Syarikat di hartanah dan pejabat perindustrian pula akan mendapat pengecualian dua bulan untuk April dan Mei.
Separuh daripadanya adalah daripada Pemerintah dalam bentuk rebat cukai hartanah dan geran tunai manakala baki lagi separuh pula ditanggung oleh pemilik hartanah.
Pemilik hartanah yang tidak mampu untuk menyediakan pengecualian tambahan tersebut boleh meminta penilaian dibuat. Mereka yang layak hanya akan menanggung separuh daripada pengecualian itu.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata: "Kami sedang cuba untuk mencapai keseimbangan. Ia adalah satu krisis ekonomi yang besar. Pemerintah datang membantu dengan menyuntikkan S$92 bilion. Pemilik hartanah dan penyewa perlu memainkan peranan mereka dan dengan mengharungi keperitan ini bersama-sama, kami berharap bahawa seramai mungkin boleh bertahan."
Untuk layak bagi bantuan sewa yang disediakan oleh pemilik hartanah, SME tersebut perlu mempunyai perolehan kurang daripada S$100 juta tahun lalu.
Satu lagi kriteria ditetapkan adalah SME menyaksikan kejatuhan sekurang-kurangnya 35 peratus dalam pendapatan bulanan purata pada April dan Mei berbanding bulan-bulan yang sama tahun lalu. Kontrak sewa juga mesti dipersetujui sebelum 25 Mac.
Pindaan lain yang dicadangkan termasuk membenarkan SME yang layak untuk membayar semula tunggakan sewanya secara ansuran sehingga sembilan bulan.
Had juga akan ditetapkan ke atas faedah pembayaran lewat atau yuran bagi kontrak-kontrak tertentu.
Penyewa yang menghadapi kesukaran untuk berpindah keluar dari premis setelah tamat tempoh sewa ekoran COVID-19 boleh memohon bantuan agar mereka tidak perlu bertanggungjawab kepada pemilik hartanah.
Jika diluluskan, pindaan itu akan berkuat kuasa pada hujung bulan depan. Mereka yang layak bagi bantuan tersebut akan dimaklumkan pada masa yang sesuai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.