Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengecaman wajah antara pilihan pengesahan baru SingPass

Dua pilihan baru bagi pengesahan dua faktor (2FA) akan disediakan mulai Rabu (16 Dis), untuk pengguna SingPass yang berurus niaga dengan khidmat digital pemerintah. Ini   termasuk pilihan untuk menggunakan pengecaman wajah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengecaman wajah antara pilihan pengesahan baru SingPass

Log masuk SingPass guna imbasan wajah (Gambar: Petikan video GovTech)

Diterbitkan : 16 Dec 2020 04:50PM Dikemas Kini : 16 Dec 2020 04:55PM

SINGAPURA: Dua pilihan baru bagi pengesahan dua faktor (2FA) akan disediakan mulai Rabu (16 Dis), untuk pengguna SingPass yang berurus niaga dengan khidmat digital pemerintah. Ini termasuk pilihan untuk menggunakan pengecaman wajah.

Pilihan baru itu akan dilancarkan sebelum pilihan token OneKey dihentikan pada hujung bulan Mac, dan "akan memudahkan akses kepada khidmat digital pemerintah dengan selamat", kata GovTech Singapura dalam satu kenyataan media.

"Digunakan bersama SingPass Mobile dan SMS-OTP (kata laluan sekali sahaja), kini terdapat empat pilihan lain 2FA untuk pengguna token OneKey."

PENGECAMAN WAJAH

Dengan pilihan baru pengecaman wajah, pengguna boleh log masuk menggunakan ID dan kata laluan SingPass mereka sebelum membuat imbasan wajah di komputer yang dilengkapi Internet dengan kamera web atau peranti mudah alih dengan kamera yang menghadap ke depan.

Mereka yang tidak mempunyai peranti sedemikian boleh mengunjungi lokasi awam tertentu untuk menggunakan khidmat ini, kata GovTech.

Buat masa ini, ia ditawarkan di Pusat Pembayaran Cukai dan Perniagaan IRAS, pusat perkhidmatan awam Hab Tampines Kita dan pusat perkhidmatan Lembaga CPF di Bishan dengan lebih banyak lokasi yang akan ditambah secara bertahap-tahap.

Langkah-langkah keselamatan juga dilaksanakan untuk mencegah penipuan, termasuk teknologi pengesanan yang akan mengesan dan menyekat penggunaan gambar, video atau pelitup selama proses pengecaman.

Langkah memantau insiden menjejas keselamatan data juga dilaksanakan untuk memastikan data peribadi dilindungi dengan selamat.

Faktor pengesahan tambahan seperti kata laluan dan SMS-OTP mungkin juga diperlukan sebagai tambahan kepada pengesahan biometrik bagi urus niaga yang lebih sensitif. Ini bagi memastikan seseorang yang mempunyai ciri-ciri serupa, seperti kembar, tidak akan dapat akses ke akaun tersebut, jelas GovTech.

Pengarah kanan Identiti Digital Nasional Kwok Quek Sin berkata pilihan itu "sangat berguna" kerana mengurangkan keperluan memasukkan maklumat tambahan, seperti kata laluan sekali sahaja serta membantu warga Singapura di luar negara yang mungkin tidak mempunyai nombor berdaftar tempatan untuk menerima OTP melalui SMS.

SMS 2FA BERBILANG PENGGUNA

Kaedah SMS-OTP 2FA sedia ada juga akan diperluas dengan SMS 2FA berbilang pengguna. Pilihan ini akan membolehkan pengguna yang memerlukan bantuan untuk menghantar OTP mereka ke nombor telefon bimbit pengguna SingPass lain ketika berurus niaga online.

Sebagai contoh, ibu bapa yang lanjut usia boleh menghantar OTP mereka ke nombor telefon bimbit anak mereka, dan meminta bantuan mereka menyediakan 2FA untuk menyelesaikan urus niaga.

Pada Mac lalu, diumumkan bahawa penggunaan token OneKey akan dihentikan.

"Kami sedang berusaha memastikan baki 120,000 pengguna token OneKey beralih ke kaedah-kaedah lain 2FA ini, menerusi kiriman surat kepada meraka, klinik digital dan duta digital," menurut GovTech. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan