Skip to main content

Singapura

Pengayuh basikal sifatkan peraturan '5 sekumpulan' 'tidak praktikal'

Anggaran Waktu Membaca:
Pengayuh basikal sifatkan peraturan '5 sekumpulan' 'tidak praktikal'

(Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 03 Jan 2023 09:59AM Dikemas Kini : 03 Jan 2023 10:09AM
SINGAPURA: Seperti mereka yang lain di Singapura, Encik Michael Goh cenderung kepada kegiatan berbasikal untuk mengelakkan rasa bosan terutama sekali semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" yang dikuatkuasakan pada 2020.

Pelibatan Encik Goh, 44 tahun, dalam kegiatan berbasikal adalah sebahagian daripada trend yang menyaksikan lonjakan jumlah penggemar semasa pandemik COVID-19. Ia bagaimanapun disusuli dengan kenaikan bilangan nahas jalan raya yang melibatkan basikal.

Di tengah-tengah populariti kegiatan berbasikal yang kian meningkat, peraturan baru dikuatkuasakan sejak 1 Januari tahun lalu bagi mempertingkatkan keselamatan kedua-dua pemandu kenderaan dan pengayuh basikal.

Di bawah undang-undang sedia ada, kumpulan-kumpulan berbasikal di jalan raya dihadkan kepada lima pengayuh basikal dalam satu baris, atau 10 jika berbasikal dalam dua baris.

Di jalan raya dengan satu lorong atau lorong bas semasa waktu laluan bas beroperasi, para pengayuh basikal perlu terus berbasikal dalam satu baris, yang mana dihadkan kepada lima pengayuh basikal.

Ini adalah disebabkan "keterbatasan ruang" di rangkaian jalan raya bandar Singapura, menurut Kementerian Pengangkutan sebelum ini.

Mereka yang didapati melanggar peraturan tersebut, akan didenda S$150.

Setelah setahun peraturan tersebut berkuat kuasa, para pengayuh basikal yang dihubungi Mediacorp sebilangan besarnya menyokong peraturan tersebut. Sungguhpun begitu, segelintir mereka mengetengahkan keprihatinan praktikal dalam pelaksanaan peraturan tersebut.

"TIDAK PRAKTIKAL SAMA SEKALI"

Encik Goh, yang juga merupakan seorang pemandu, menjelaskan mengenai rasa tidak puas hatinya terutama sekali mengenai rasional di sebalik sekatan saiz kumpulan kepada lima atau sepuluh orang.

Beliau berkata: "Tujuan peraturan tersebut dikuatkuasakan adalah agar para pengayuh basikal tidak memonopoli lorong jalan raya dan membolehkan kereta yang ingin membelok, mempunyai ruang yang cukup untuk memotong. Di kertas, ia seperti satu idea yang bernas untuk mencapai persetujuan antara para pengayuh basikal dengan para pemandu - tetapi realitinya, ia adalah satu tragedi."

LEBIH SELAMAT DALAM KUMPULAN?

Apabila pengayuh basikal melanggar undang-undang, ia adalah sesuatu yang biasa jika tindakan mereka dimuat naik ke laman masyarakat yang dikhaskan bagi keselamatan jalan raya Singapura, seperti di ROADS.sg dan Beh Chia Lor.

Satu gambar yang dimuat naik ke laman Facebook ROADS.sg, bertarikh 13 Februari 2022, menunjukkan sekurang-kurangnya 17 pengayuh basikal berbasikal di sana sini di sebuah jalan yang kosong.

Satu lagi gambar yang dimuat naik ke laman Facebook Singapore Silly Cyclists bertarikh 16 Julai 2022, menunjukkan sekumpulan sekurang-kurangnya 15 pengayuh basikal berhimpun di sebuah persimpangan lampu trafik dalam kumpulan yang besar.

Gambar-gambar tersebut mengundang kemarahan warga net.
Sekumpulan pengayuh basikal di Buangkok pada 13 Feb 2022. (Gambar: Facebook/ROADS.sg)
Sekumpulan pengayuh basikal di Singapura pada 16 Julai 2022. (Gambar: Facebook/Singapore Silly Cyclists)
Interaksi sosial media sedemikian mencerminkan pertikaian biasa yang wujud dalam antara pengayuh basikal dan pemandu kenderaan di jalan raya, yang jelas tidak kurang sejak kegiatan berbasikal kian popular.

MENJAGA KESELAMATAN SATU SAMA LAIN

Meskipun tujuan peraturan tersebut dikuatkuasakan adalah untuk memastikan keselamatan para pengayuh basikal, para individu juga mesti menjaga keselamatan mereka sendiri, kata mereka yang dihubungi Mediacorp.

"Dari aspek keselamatan, saya akan selalu cuba berbasikal dalam kumpulan jika saya berada di jalan raya yang sibuk. Sekiranya saya berbasikal berseorangan diri, saya akan selalunya memilih jalan raya yang lebih sunyi atau elak daripada berbasikal semasa waktu sibuk," jelas Encik Goh.

Tambah Encik Goh, "Selain itu, saya juga akan cuba sebolehnya untuk kelihatan di jalan raya dengan memasang lampu yang betul serta kamera basikal untuk melaporkan mana-mana pemandu yang salah atau melaporkan keadaan jalan yang buruk, seperti jalan berlubang, kepada pihak berkuasa. "

PENDIDIKAN, BUKAN PERATURAN

Pada dasarnya, untuk menjadikan berbasikal sebagai mod pengangkutan yang mampu dilaksanakan di Singapura, para pengayuh basikal sebulat suara menekankan bahawa pendidikan adalah kuncinya.

Memupuk budaya berbasikal dalam kurikulum akan "merubah pemikiran bahawa para pengayuh basikal mempunyai hak yang saksama untuk menggunakan jalan raya seperti para pemandu kenderaan yang lain", "memupuk kesederaan, etika sosial, tolak ansur dan pada dasarnya keselamatan berbasikal sebagai satu mod pengangkutan," tegas Encik Ho.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita