Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengayuh basikal sambut baik langkah uji cuba laluan berbasikal di jalan raya Seletar

LTA akan menguji cuba Laluan Berbasikal Ahad yang baru di West Camp Road di Seletar selama enam bulan, bermula 16 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengayuh basikal sambut baik langkah uji cuba laluan berbasikal di jalan raya Seletar

Laluan berbasikal yang dikhususkan akan ditandakan dengan garisan biru. (Gambar: Facebook/Baey Yam Keng)

SINGAPURA: Para pengayuh basikal di Singapura mengalu-alukan langkah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menguji cuba laluan berbasikal baru yang dikhususkan di Seletar, yang membolehkan mereka berbasikal di jalan raya pada pagi Ahad bermula pertengahan bulan Oktober.

LTA mengumumkan demikian pada Rabu (31 Ogos) bahawa ia akan menguji cuba Laluan Berbasikal Ahad yang baru di West Camp Road di Seletar selama enam bulan, bermula 16 Oktober.

Laluan yang dikhususkan itu akan ditandakan dengan garisan tebal biru dan hanya boleh digunakan oleh bas dan para pengayuh basikal pada hari Ahad dari 5.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Sebilangan pengayuh basikal yang ditermui Mediacorp pada Khamis (1 Sep) berkata mereka mengalu-alukan langkah itu dan berkongsi bahawa kawasan itu tempat popular untuk berbasikal.

Pengasas bersama kumpulan berbasikal rekreasi Love Cycling SG Woon Taiwoon berkata laluan baru yang dikhususkan itu akan membantu para pengayuh baru memandangkan persekitaran di West Camp Road "sebenarnya agak selamat".

Pengurus reka bentuk produk berusia 48 tahun itu juga menambah usaha rintis itu mungkin akan meningkatkan kesedaran tentang kawasan tersebut dan ia adalah "lokasi baik untuk datang ke sana dan berbasikal".

"KURANG TRAFIK" DI KAWASAN ITU

Adrian Yeo, ketua kumpulan berbasikal rekreasi BPR Cycling Club berkata satu sebab West Camp Road adalah lokasi baik untuk berbasikal adalah kerana tempat itu "tidak dilalui banyak trafik" kerana ia hanya menampung syarikat-syarikat aeroangkasa di kawasan itu.

Kawasan itu juga mempunyai banyak bangunan, jadi para pengayuh basikal tidak akan berdepan banyak angin lintang, yang membolehkan mereka mengekalkan kelajuan yang konsisten, kata Encik Yeo, yang juga adalah seorang pengarah pemasaran serantau.

PERSEKITARAN BERBASIKAL LEBIH SELAMAT

Presiden Persekutuan Berbasikal Singapura Hing Siong Chen berkata laluan berbasikal yang dikhususkan itu akan menyediakan "persekitaran berbasikal lebih selamat bagi kedua-dua mereka yang baru mula berbasikal dan pengayuh berpengalaman serta boleh memenuhi keperluan keluarga-keluarga yang mahu berbasikal secara bersama-sama."

"Kami melihat lebih ramai pengayuh basikal rekreasi dan sukan sejak dua tahun lalu sejak COVID-19 bermula," kata Dr Hing, yang juga seorang doktor di Healthway Medical.

Usaha rintis bagi laluan berbasikal yang baru itu sebelum ini diumumkan di Parlimen pada bulan Mac oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan Baey Yam Keng.

Dalam catatan di laman Facebook pada Rabu, Encik Baey berkata laluan berbasikal di jalan raya di West Camp Road akan membolehkan para pengayuh berbasikal dalam kumpulan besar dan "menjadikannya lebih selamat untuk berbasikal".

"Diharapkan ini akan membantu para pengayuh baru menjadi lebih yakin dan menyediakan mereka ruang untuk berlatih berbasikal ke bahagian paling kiri jalan raya apabila berbasikal di mana-mana sahaja," kata Encik Baey.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan