Pengayuh basikal didenda; pertama kali sejak peraturan saiz kumpulan diperkenalkan
(Gambar: Singapore Police Force and Land Transport Authority)
SINGAPURA: Dua puluh enam pengayuh basikal didenda S$150 setiap seorang kerana melanggar peraturan saiz kumpulan berbasikal di jalan raya. Ini kali pertama denda itu dikenakan sejak peraturan baharu itu diperkenalkan pada awal 2022.
Para pengayuh basikal itu ditangkap semasa operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh pegawai polis trafik dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) antara 24 Jun dengan 8 Julai, menurut polis dan LTA pada Jumaat (14 Jul).
Pengayuh basikal di jalan raya di Singapura harus memastikan bahawa kumpulan mereka tidak melebihi lima basikal. Mereka juga harus berbasikal dalam satu barisan di satu lorong ataupun di lorong bas pada waktu yang ditetapkan.
Apabila berbasikal di jalan raya dengan dua atau lebih lorong, pengayuh basikal harus berpasangan dan dihadkan kepada 10 pengayuh sekumpulan.
Mereka yang melanggar peraturan boleh didenda S$150. Kumpulan berbasikal dinasihatkan supaya berada dalam jarak sekitar dua tiang lampu atau kira-kira 30 meter antara satu sama lain.
Pada Selasa (11 Jul), video sekumpulan pengayuh basikal di lorong kiri sepanjang Seletar Aerospace Drive dimuat naik ke laman Facebook ROADS.sg.
Video itu menunjukkan mereka berkumpul di laluan pejalan kaki di persimpangan trafik bersama beberapa pegawai polis trafik dan LTA, yang merupakan sebahagian daripada operasi penguatkuasaan.
Semasa operasi itu, para pegawai juga "menjalankan program pendidikan untuk meningkatkan pengetahuan tentang peraturan dan garis panduan berbasikal", menurut polis dan LTA dalam kenyataan media.
“TP akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap pengayuh basikal yang ingkar dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” tambahnya.
Pada Mei lalu, polis menyatakan tiada saman dikeluarkan kepada pengayuh basikal sejak jumlah denda komposisi sebanyak S$150 dinaikkan mulai 1 Januari 2022, untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.
Had saiz kumpulan berbasikal juga diperkenalkan pada 2022 disebabkan keterbatasan ruang di jalan raya Singapura.
Ini berikutan populariti meningkat dalam kegiatan berbasikal semasa pandemik COVID-19, yang diikuti dengan kenaikan jumlah kemalangan jalan raya melibatkan basikal.
Sekitar setahun selepas undang-undang itu dikuatkuasakan, para pengayuh basikal memberitahu CNA bahawa ia tidak praktikal kerana mereka tidak boleh menghalang pengayuh lain daripada bergabung menjadi satu kumpulan dan mengubah gabungan kumpulan adalah satu keprihatinan semasa berbasikal di jalan raya dengan campuran satu lorong dan beberapa lorong.
Polis dan LTA menyatakan pada hari Jumaat (14 Jul) bahawa semua pengayuh basikal digesa supaya mematuhi peraturan dan garis panduan berbasikal demi keselamatan mereka, dan memastikan jalan raya selamat untuk semua.
Ini termasuk mematuhi lampu isyarat dan melakukan perjalanan mengikut aliran trafik; memakai topi keledar semasa di jalan raya; berbasikal di ruang paling kiri jalan dan membenarkan kenderaan untuk memotong jalannya dengan cara yang selamat; serta menggunakan lorong basikal jika ada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.