Skip to main content

Singapura

'Pengawasan perlu dibaiki': Josephine Teo ketengah 3 bidang basmi jenayah

Penguatkuasa undang-undang dan pencegah jenayah merata dunia perlu mempertingkat senjata mereka untuk menangani dengan lebih baik perubahan dalam landskap keselamatan, dan tiga bidang inovasi boleh menjadi kunci huraiannya, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Selasa (2 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Jul 2019 02:36PM Dikemas Kini : 02 Jul 2019 10:03PM

SINGAPURA: Penguatkuasa undang-undang dan pencegah jenayah merata dunia perlu mempertingkat senjata mereka untuk menangani dengan lebih baik perubahan dalam landskap keselamatan, dan tiga bidang inovasi - biometrik, analisis data dan forensik digital - boleh menjadi kunci huraiannya, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Selasa (2 Jul).

Ketersambungan sejagat, teknologi dan jurang perpecahan dalam masyarakat adalah tiga faktor yang memacu perubahan dalam landskap keselamatan dunia, kata Cik Teo semasa menyampaikan ucapan pembukaannya di acara Interpol World 2019.

Daripada tiga perkara ini, beliau menekankan perpecahan dalam masyarakat adalah "perkembangan yang paling membimbangkan" kerana para pelampau kini mempunyai alat propaganda pada kos amat rendah.

Memandangkan keadaan hari ini, senjata bagi membanteras jenayah perlu dipertingkat secara besar-besaran. "Pengawasan perlu dibaiki," kata menteri itu.

Related article image
Cik Josephine Teo menyampaikan ucapan di Interpol World 2019 (Gambar: CNA)

Tiga bidang inovasi khususnya berpotensi memenuhi keperluan itu, kata Cik Teo, yang menarik perhatian kepada biometrik, analisis data dan forensik digital.

Bagi bidang biometrik, Cik Teo berkata Singapura dan beberapa lapangan terbang lain sedang melakukan ujian untuk sistem pelepasan imigresen tanpa sentuh yang menggunakan gabungan pengecaman iris mata dan wajah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan sempadan.

Biometrik juga berpotensi menyelesaikan kes jenayah dengan lebih pantas, dengan teknologi pengenalan wajah dapat mengesan ribuan rakaman video untuk mengenal pasti penjenayah, katanya.

Analisis data adalah satu lagi bidang berpotensi. Cik Teo berkata digitalisasi mengupayakan agensi polis di seluruh dunia memperolehi sejumlah besar data, namun maklumat tersebut tidak berguna jika tidak dianalisis.

Forensik digital adalah satu lagi bidang yang diketengahkan, dengan polis kini antara lain memerlukan keupayaan untuk mengeluarkan dan menganalisis bukti digital dari peranti terkini Internet of Things (IoT).

Related article image
Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock

Beliau berkata para penjenayah zaman ini "sentiasa selangkah di hadapan", menekankan satu mesej yang disampaikan Setiausaha Agung Interpol Jurgen Stock dalam ucapannya pada Selasa. Cik Teo menambah, inilah sebabnya mengapa perlu ada penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi alat dan teknik penyiasatan baru.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) bagi pihaknya menjadikan usaha memperkukuh keupayaan sains dan teknologi satu keutamaan dan sedang dalam proses menubuhkan Agensi Sains dan Teknologi Home Team yang baru, kata Cik Teo.

JALIN HUBUNGAN

Encik Stock dari Interpol berkata tujuan sidang Interpol World tahun ini adalah untuk merapatkan jurang antara masa kini dan masa depan, untuk mencari huraian kepada jenis-jenis jenayah yang baru muncul.

Beliau berkata "inovasi berkembang dengan amat pesat" sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan menggesa masyarakat polis antarabangsa bersama-sama memantau, menilai dan bersedia untuk penemuan dan gangguan di masa akan datang. Beliau menekankan masyarakat meletakkan harapan pada keupayaan polis melakukan demikian.

Cik Teo dalam ucapannya turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, sambil mengatakan bahawa jenayah dan pengganasan kian canggih dan tidak mengenal sempadan.

"Sekiranya kita ingin memenangi cabaran ini, kita mesti saling menyokong dan menjadi lebih baik bersama," katanya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita