Pengawal pantai India terus tangani kebakaran kapal kontena berdaftar SG

Menurut pengawal pantai India pada 10 Jun 2025,mereka sedang berusaha untuk menghentikan kebakaran pada sebuah kapal kontena berbendera Singapura berhampiran pantai negeri Kerala di selatan sejak 9 Jun, 2025. (Gambar: Facebook/Indian Coast Guard)
Kapal kontena MV Wan Hai 503 sepanjang 268 meter itu membawa 22 orang anak kapal apabila ia terbakar sekitar 78 batu nautika dari pelabuhan Beypore India pada Isnin.
Pengawal Pantai India dan Tentera Laut menyelamatkan 18 orang anak kapal pada Isnin, dengan empat orang masih hilang. Dua daripada kakitangan yang hilang adalah dari Taiwan, satu dari Myanmar dan satu dari Indonesia.
Pengawal Pantai India berkata pada Selasa bahawa "kebakaran dan letupan masih berterusan" di atas kapal, yang condong sekitar "10 hingga 15 darjah".
Gambar-gambar yang dikeluarkan menunjukkan api dari kontena-kontena yang disusun, dengan kapal itu dikelilingi oleh kepulan asap hitam tebal yang terkumpul.

Enam orang anak kapal yang cedera dibawakan ke kemudahan perubatan di darat dan tiga orang pula dibenarkan pulang.
"Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari empat orang anak kapal yang hilang," menurut MPA pada Selasa, sambil menambah bahawa pengawasan udara sedang dijalankan untuk menyokong usaha tersebut.
Dua lagi kapal pemadam kebakaran yang dikerahkan oleh pihak berkuasa India dan pemilik kapal dijadualkan tiba di lokasi pada Selasa petang untuk menyokong operasi yang sedang dijalankan.
MPA sedang bekerjasama dengan persatuan klasifikasi kapal dan pihak berkuasa India untuk memberikan maklumat teknikal bagi menyokong usaha untuk menstabilkan keadaan dan menguruskan kebakaran.
"MPA sedang memantau keadaan dengan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa India, termasuk menyokong penilaian integriti struktur kapal dan potensi kesan terhadap alam sekitar," katanya.
Gambar-gambar awal pada Isnin (9 Jun) menunjukkan kontena-kontena berat yang kelihatan seperti tercampak oleh letupan kuat di atas kapal, dengan pengawal pantai mengatakan bahawa beberapa kontena kini berada di dalam air.
Kapal-kapal pengawal pantai kelihatan di dalam video sedang menyembur air ke atas kebakaran yang masih berterusan di atas kapal yang kini menghitam.
Kapal kontena itu diuruskan oleh Wan Hai Lines (Singapore). Ia adalah yang kedua menghadapi masalah di pantai selatan India dalam beberapa minggu.
Sebuah kapal kontena berbendera Liberia yang membawa kargo berbahaya tenggelam di pantai Kerala pada 24 Mei. Tentera Laut India menyelamatkan kesemua 24 orang anak kapal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.