Skip to main content

Singapura

Pengawal pantai ambil 'tindakan penguatkuasaan wajar' apabila bot nelayan Indonesia masuk perairan SG: SPF

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal pantai ambil 'tindakan penguatkuasaan wajar' apabila bot nelayan Indonesia masuk perairan SG: SPF

Gambar: TikTok/ [at] ulasan.official, @batamposofficial

SINGAPURA: Pengawal pantai Singapura mengambil "tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya" selepas sebilangan bot nelayan Indonesia memasuki perairan negara ini beberapa kali.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (2 Jan).

Menjawab pertanyaan media, SPF menyatakan pihaknya sedia maklum mengenai rencana berita dan satu video, yang dimuat naik nelayan warga Indonesia, yang sedang memancing di perairan Singapura dekat dengan Tuas pada 24 Disember lalu.

Dalam satu video yang tular, yang dimuat naik saluran berita Batampos di wadah TikTok, seorang nelayan dilihat terjatuh ke dalam laut, yang dikatakan gara-gara ombak besar yang berpunca daripada sebuah bot Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura. Dia diselamatkan seorang lagi nelayan, yang kedengaran menjerit kepada kakitangan bot rondaan itu.

Memperincikan fakta insiden berkenaan, SPF menyatakan beberapa pegawai Pengawal Pantai Polis mendapati pada 24 Disember lalu bahawa terdapat sebilangan bot nelayan dari Indonesia memasuki dan meninggalkan perairan sempadan Singapura beberapa kali dari kira-kira pukul 8.45 pagi.

Dalam pada itu, pengawal pantai itu mengerahkan botnya ke kawasan berkenaan untuk "menghalang dan mengentikan" kapal-kapal yang tidak dibenarkan memasuki perairan Singapura.

Pada kira-kira pukul 1.20 petang, pegawai-pegawai itu ternampak dua daripada sekumpulan lima bot nelayan telah jauh memasuki perairan Singapura dan sedang menuju ke barat laut Tuas View Extension.

Sebuah bot pengawal pantai "memintas" dua bot nelayan berkenaan untuk menghalang mereka daripada terus memasuki kawasan itu.

"Pegawai Polis Pengawal Pantai kemudian mendekati nelayan-nelayan tersebut yang berada di dalam bot berkenaan di perairan sempadan Singapura dan menasihati mereka supaya meninggalkan kawasan itu memandangkan kapal yang tidak dibenarkan dilarang daripada memasuki kawasan tersebut.

"Mereka akhirnya bersetuju dan meninggalkan perairan Singapura kira-kira pukul 1.40 tengah hari," menurut SPF.

"Polis Pengawal Pantai mengambil tindakan penguatkuasaan yang wajar sebagai tindak balas terhadap pencerobohan oleh nelayan-nelayan ini," tambahnya.

Pihak polis juga menyatakan kapal-kapal asing harus mematuhi arahan pihak berkuasa Singapura apabila berada di perairannya, dan pengawal pantainya akan terus melaksanakan tugasnya di perairan Singapura dengan cara yang profesional dan selamat.

Konsulat Singapura di Batam telah berhubung dengan pelbagai pihak berkepentingan Indonesia mengenai insiden itu, atas permintaan mereka, dan akan terus berbuat demikian, kata SPF.

Agensi Keselamatan Maritim Indonesia sebelum ini mengatakan bahawa mereka sedang menyiasat insiden tersebut.

Mereka bertemu dengan nelayan-nelayan yang terlibat pada 29 Disember untuk meneliti keadaan mereka menyusuli kejadian "berbahaya" itu, lapor agensi berita negara Indonesia Antara.

Nelayan yang terjatuh ke laut, Danil Mahadir Van, yang berusia 18 tahun, memberitahu CNN Indonesia bahawa dia sedang memancing di kawasan itu bersama bapanya.

"Tiba-tiba polis Singapura datang untuk menghalau kami, tetapi kami tidak mahu pergi kerana kami rasa itu adalah sebahagian daripada kawasan memancing kami. Tetapi (bot rondaan itu) terus mengelilingi, membuat ombak besar sehingga saya terjatuh ke laut," kata Mahadir seperti yang dipetik oleh CNN Indonesia pada 28 Disember.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita