Skip to main content

Singapura

Pengawal keselamatan mengaku bersalah atas kelalaiannya selepas bom palsu cetus respons kecemasan

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal keselamatan mengaku bersalah atas kelalaiannya selepas bom palsu cetus respons kecemasan

Durendran Vicknesh Venkatraman dilihat di Mahkamah Negara pada 9 April 2024. (Gambar fail: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 12 Dec 2024 11:21PM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 11:22PM
SINGAPURA: Seorang pengawal keselamatan pada Khamis (12 Dis) mengaku meninggalkan pondok pengawalnya di sebuah taman perindustrian selama lebih lima jam dan terlupa untuk menghapuskan bom palsu yang digunakan dalam satu latihan.

Ini menyebabkan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengerahkan para pegawai apabila ancaman bom dilaporkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas pada syif seterusnya.

Durendran Vicknesh Venkatraman, 49 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan masing-masing kerana tidak berada di lokasi di mana dia ditugaskan tanpa sebab yang sah dan menipu majikannya dengan membuat catatan palsu dalam buku log tugas.

Satu lagi tuduhan berbohong kepada pegawai polis juga akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman, yang ditangguhkan kepada 17 Dis.

Timbalan Pendakwa Raya Dan Pan mengusulkan satu lagi tuduhan kerana menimbulkan rasa cemas dalam kalangan orang ramai dengan tidak melupuskan bom palsu itu. Tuduhan tersebut akan diusulkan terhadapnya selepas hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Durendran adalah seorang pengawal keselamatan berlesen yang sudah bertugas selama 13 tahun semasa kesalahan itu dilakukan. Dia bekerja sambilan dengan syarikat One Imperial Security.

Pada akhir Disember 2023, pengarah One Imperial meminta dua perunding keselamatan bebas untuk menjalankan latihan berpasukan dengan pengawal keselamatan yang bertugas di Sing Industrial Complex.

Kompleks itu terletak di Blok 32, Ang Mo Kio Industrial Park 2.

Latihan simulasi itu untuk menguji keberkesanan langkah keselamatan. Perunding memberitahu pengarah tersebut bahawa mereka akan menjalankan latihan itu pada awal pagi 5 Jan.

Rancangannya adalah untuk salah seorang daripada mereka mengalih perhatian pengawal keselamatan manakala seorang lagi masuk dan meninggalkan bungkusan yang mencurigakan di kawasan yang mudah dilihat ramai. Mereka kemudian akan mengambil gambar dan video pengawal yang mengendalikan keadaan untuk menilainya.

LATIHAN SIMULASI

Pada malam 4 Jan, Durendran telah dikerahkan ke kompleks itu. Syifnya sepatutnya dari pukul 8.00 malam hingga 8.00 pagi keesokan harinya, dan dia adalah satu-satunya pengawal yang bertugas.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 11.20 malam, dia meninggalkan tempat tugasnya dan meninggalkan kompleks itu untuk bertemu rakan-rakannya di Oxley Tower, tempat mereka pergi minum. Mereka kemudian pergi mendapatkan makanan.

Oxley Tower terletak lebih 7km dari Sing Industrial Complex jika menaiki kereta, kata Timbalan Pendakwa Raya Dan Pan kepada mahkamah.

Durendran juga tidak memaklumkan sesiapa bahawa dia akan meninggalkan pondok pengawal itu, dan tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk meninggalkan pondok tersebut.

Sebaik tiba di kompleks itu kira-kira pukul 4.25 pagi pada 5 Jan, dua perunding keselamatan itu menyedari tiada sesiapa berada di pondok pengawal dan pintu pagar utama dibiarkan terbuka.

Selepas menunggu selama beberapa minit, mereka menghubungi Durendran di nombor telefon bimbit yang tertera di pintu pondok pengawal.

Durendran berbohong bahawa dia berada berdekatan untuk membeli makanan dan akan kembali dalam masa beberapa minit. Sebenarnya, dia hanya mula berpatah balik dari sekitar Oxley Tower selepas mendapat panggilan itu.

Sementara menunggu Durendran pulang, salah seorang perunding meletakkan alat letupan buatan (IED) palsu di tempat letak motosikal di sebelah pondok pengawal.

IED palsu itu terdiri daripada beg kertas coklat mengandungi tiub merah yang diikat bersama pita hitam, dengan wayar terkeluar daripadanya.

Mereka kemudian kembali ke kereta mereka untuk menunggu Durendran. Tetapi apabila dia tidak pulang sekitar pukul 5.00 pagi, mereka meninggalkan kompleks itu kerana mereka perlu pergi ke lokasi pasukan lain.

Para perunding memaklumkan pengarah One Imperial bahawa mereka membatalkan latihan itu kerana pengawal keselamatan tidak berada di pondok pengawal.

Bagaimanapun, mereka terlupa untuk mengeluarkan bom palsu itu sebelum beredar. Mereka juga tidak memaklumkan kepada pengarah tersebut mengenai bom palsu itu.

DISURUH BUANG BOM PALSU

Durendran kembali ke pondok pengawal kira-kira pukul 5.05 pagi tetapi tidak melihat sesiapa.

Para perunding keselamatan membalas panggilannya sekitar pukul 5.10 pagi, selepas teringat tentang bom palsu itu.

Mereka memaklumkan Durendran tentang beg kertas yang mengandungi bom palsu yang merupakan sebahagian daripada latihan tersebut dan berulang kali mengarahkannya supaya menghapuskannya. Pengawal keselamatan itu berkata dia akan berbuat demikian.

Bagaimanapun, dia terlupa tentang perkara itu dan tidak melupuskan bom palsu tersebut walaupun berjalan melepasinya beberapa kali semasa baki syifnya, kata pendakwa raya.

Durendran juga tidak memaklumkan kepada pengawal keselamatan seterusnya apa yang berlaku semasa dia menyerahkan syifnya pada pukul 8.00 pagi.

Sebelum menamatkan syifnya, Durendran merekodkan dalam buku log tugas pengawal bahawa dia telah meronda atau bertugas di dalam pondok pengawal sepanjang syifnya, walaupun ini tidak benar.

RESPONS KECEMASAN

Apabila pengawal keselamatan seterusnya mengambil alih syif, dia menyedari bom palsu itu di tempat letak motosikal. Selepas mengambilnya dan meletakkannya di sebelah pondok pengawal, dia menghubungi polis untuk melaporkan IED tersebut.

Pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Pusat Polis Kejiranan Serangoon, Cawangan Siasatan Ibu Pejabat Divisyen Ang Mo Kio dan SCDF telah dikerahkan ke kompleks itu.

Unit K-9 polis - yang mempunyai anjing terlatih untuk mencari bahan letupan - juga diaktifkan, walaupun ia dibatalkan sebelum anjing polis tiba di tempat kejadian. Polis Trafik juga terlibat untuk melencongkan lalu lintas di luar kompleks tersebut.

Lebih 100 orang telah disekat daripada memasuki kompleks itu atau dipindahkan semasa siasatan ancaman bom dijalankan selama satu setengah jam.

Durendran akhirnya ditangkap pada 8 Apr.

Pengawal keselamatan yang tidak berada di tempat di mana dia ditugaskan tanpa sebarang sebab yang sah boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi memalsukan rekod dengan niat untuk menipu majikan ialah hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita