Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasuh kes meracuni 2 bayi dikenakan hukuman penjara lebih lama; dera anak perempuannya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang pengasuh dan bekas jururawat yang sedang menjalani hukuman penjara kerana meracuni dua bayi, dikenakan hukuman penjara tambahan selama empat bulan kerana mendera anak perempuannya. 

Sa'adiah Jamari, 41 tahun, sedang menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada 2020. 

Dia mengaku bersalah pada Rabu (14 Dis) atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja terhadap seorang individu rapat dengannya, dengan dua lagi tuduhan turut diambil kira. 

Mahkamah diberitahu Sa'adiah mendera dua anak perempuannya secara fizikal dan lisan sejak mereka berusia sekitar enam tahun. 

Setelah mendera mereka, Sa'adiah akan mengugut untuk menghantar mereka ke rumah budak perempuan dan membiarkan mereka di tepi jalan jika mereka membuat aduan mengenai penderaan itu kepada pihak polis. 

Sewaktu kesalahan dilakukan, Sa'adiah menjalin hubungan dengan doktor lokum, Dr Peter Looi Chong Heng. Dr Looi memberikan bantuan kewangan kepada Sa'adiah, termasuk elaun dan wang untuk duit sewa flatnya. 

Anak perempuannya yang lebih kecil cuba melaporkan penderaan itu kepada kaunselor sekolahnya, namun situasi semakin bertambah teruk selepas kaunselor itu berbincang dengan Sa'adiah. 

Sa'adiah membuat janji kosong bahawa dia akan berubah dan tidak akan bersikap ganas terhadap anak-anaknya, tetapi dia tidak berubah disebabkan oleh panas barannya, menurut dokumen mahkamah. 

Sa'adiah mendakwa dia bersikap sedemikian terhadap anak-anaknya itu kerana dia menyayangi mereka.

Pada 5 Jun 2021, apabila Sa'adiah diikat jamin atas kesalahan meracuni bayinya, dia mengirimkan beberapa mesej kepada Dr Looi untuk meminta wang. 

Dr Looi enggan memberi wang kepadanya kerana beliau baru saja memberi elaun S$500 untuk minggu itu dan bimbang dia akan menggunakan wang tersebut untuk membeli ubat tidur yang diperlukannya. 

Pasangan itu bergaduh. Selepas itu, Sa'adiah memarahi kedua-dua anak perempuannya kerana dianggap "tidak berguna" dan membuang barangan ke lantai ruang tamu. 

Dia kemudian memasuki bilik anak perempuannya yang lebih tua secara paksa dan merampas telefon yang digunakannya pada waktu itu. Kanak-kanak perempuan itu merayu untuk dipulangkan telefonnya, tetapi Sa'adiah tidak menghiraukannya. 

Anak perempuannya yang lebih kecil melihat apa yang berlaku dan menyuruh kakaknya menyimpan barang dan meninggalkan rumah itu sebelum situasi memburuk.

Namun, sebelum dia boleh berbuat sedemikian, Sa'adiah menerpa ke arah anak perempuannya yang lebih tua itu dan menarik rambutnya. Dia juga menendang perut anaknya itu dan menumbuknya beberapa kali sedang anak perempuannya itu mencangkung di lantai. 

Anak perempuannya yang lebih kecil itu merakam video ibunya mendera kakaknya secara senyap-senyap. 

Sa'adiah kemudian mengambil penyangkut baju dan mula memukul anak perempuannya yang lebih tua itu. Penyangkut itu bengkok akibat kelakuan Sa'adiah. 

TIDAK BOLEH TAHAN LAGI

Setelah melihat kelakuan ibunya itu, kanak-kanak perempuan lebih kecil itu tidak boleh menahan lagi. 

Dia berlari keluar rumah itu dan menelefon polis, sambil berlari ke tingkat empat di mana dia masih boleh mendengar teriakan kakaknya. 

Sa'adiah mengambil pencukur bulu kening dan mengelar anak perempuannya yang lebih tua itu di pahanya. Dia juga mengacukan gunting ke arah anak perempuannya, yang merampas senjata itu daripadanya dan mencampakkannya ke luar tingkap. 

Sebaik polis tiba di tempat kejadian, kanak-kanak perempuan lebih tua itu dibawa ke hospital dengan kesan lebam pada bahagian belakang badan dan lengannya, termasuk kesan bengkak pada tengannya, luka di lutut dan kesakitan pada bahagian kepala dan bahunya. 

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara antara lima hingga enam bulan atas kesalahannya itu. Menurut pendakwa, penderaan itu kejam dan mempunyai kesan yang berpanjangan, di samping pecah amanah yang dahsyat kerana tertuduh adalah ibu mangsa.

Sa'adiah turut melakukan jenayah semasa diikat jamin atas kesalahan merancuni dua bayi pada 2016 semasa menjaga mereka. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan