Pengasuh gagal dalam rayuan kes racun dua bayi, hukuman penjara 7 tahun kekal

(Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Seorang pengasuh yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana meracun dua bayi dalam jagaannya dengan pelbagai ubat-ubatan, gagal dalam rayuannya setelah ditolak seorang hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa (19 Apr).
Hakim Aedit Abdullah menolak alasan yang dikemukakan Sa'adiah Jamari bahawa orang lain juga mungkin boleh meracun mangsa-mangsa berkenaan dan dia tidak memiliki kesemua ubat-ubatan yang ditemui dalam badan mangsa.
Alasan tersebut serupa dengan dakwaannya semasa dia dibicarakan di mahkamah dan disabitkan kesalahan pada Oktober 2020.
Dua bayi itu yang tiada hubungan saudara antara satu sama lain, berusia lima dan 11 bulan ketika kejadian tersebut pada lewat 2016.
Bayi-bayi itu dibawa ke hospital secara berasingan setelah ibu mereka mendapati anak mereka berkelakuan pelik setelah menjemput mereka pulang daripada pengasuh tersebut.
Kedua-dua bayi itu dimasukkan ke hospital dan pelbagai ubat-ubatan ditemui dalam badan mereka.
Bayi yang lebih kecil diberikan 10 ubat berbeza termasuk ubat untuk merawat keresahan, ubat penenang otot dan ubat tidur.
Kedua-dua bayi itu beransur pulih dan dibenarkan keluar hospital setelah beberapa hari.
Hakim Abdullah mendapati bahawa Sa'adiah berpeluang untuk meracun bayi-bayi itu semasa mereka di bawah jagaannya serta akses kepada semua dadah yang ditemui dalam badan mereka, manakala tiada sesiapa lagi yang mempunyai akses sedemikian.
Laporan toksikologi juga menunjukkan semua ubat-ubatan yang ditemui pada salah satu bayi itu juga ditemui dalam sampel darah dan air kencing Sa'adiah.
"Dia berhujah bahawa pengakuan laporan itu adalah sama dengan pencabulan haknya terhadap dakwaan diri sendiri," kata Hakim Abdullah.
Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi itu mendapati laporan tersebut boleh diterima sebagai bukti.
Beliau juga mendapati bukti selain daripada laporan itu cukup menyokong keputusan hakim perbicaraan bahawa Sa'adiah mempunyai akses kepada dadah yang terdapat pada bayi itu.
Sa'adiah akan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan berhubung persoalan undang-undang kepentingan awam yang timbul daripada rayuan itu, kata peguamnya Chua Eng Hui, Luo Ling Ling, Sharifah Nabilah Syed Omar dan Noor Heeqmah Wahianuar kepada mahkamah.
Sa'adiah dibenarkan untuk tidak diikat jamin tetapi diarah menjalani hukuman mulai 17 Mei jika permohonannya tidak difailkan tepat pada masanya.
Bagi setiap tuduhan memberi racun dengan niat untuk menyebabkan kecederaan, Sa'adiah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda. Sa'adiah tidak boleh dirotan kerana dia wanita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.