Skip to main content

Singapura

Pengasuh bayi diluluskan ECDA perlu jalani pemeriksaan, latihan sebelum dibenarkan berkhidmat

Para pengasuh yang menawarkan khidmat jagaan kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan latar belakang sekurang-kurangnya dua kali dan dilatih dalam pertolongan cemas (first aid) dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan untuk menjaga bayi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasuh bayi diluluskan ECDA perlu jalani pemeriksaan, latihan sebelum dibenarkan berkhidmat
Diterbitkan : 17 Jan 2025 05:54PM Dikemas Kini : 17 Jan 2025 05:55PM
SINGAPURA: Para pengasuh yang menawarkan khidmat jagaan kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan latar belakang sekurang-kurangnya dua kali dan dilatih dalam pertolongan cemas (first aid) dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan untuk menjaga bayi.

Peraturan ketat bagi menjaga kebajikan kanak-kanak telah dilakarkan di bawah program rintis pengasuh kanak-kanak selama tiga tahun yang dilancarkan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Program rintis itu, yang dilancarkan pada Disember lalu bagi bayi warga Singapura yang berusia antara dua dengan 18 bulan, adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk menawarkan lebih jaminan kepada ibu bapa bagi peringkat pertama kehidupan anak-anak mereka, menurut ECDA.

Ini setelah sesetengah ibu bapa mungkin prihatin untuk meninggalkan anak mereka di bawah jagaan seseorang yang tidak dikenali.

TAWARKAN FLEKSIBILITI

Tiga pengendali - Edunanny by BUTLER, Kidibliss dan NannyPro Care - dilantik oleh ECDA untuk menawarkan khidmat dirintis itu.

Ibu bapa bekerja yang mengambil bahagian dalam program rintisan jagaan kanak-kanak itu memberitahu Mediacorp bahawa walaupun mereka inginkan fleksibiliti, mereka juga perlu meletakkan kepercayaan terhadap pengasuh berkenaan.

"Saya rasa saya lebih terbuka untuk mencuba perkara baharu sebagai seorang ibu bapa, kerana dengan situasi pekerjaan saya, kita perlukan bantuan dan sedikit fleksibiliti," kata Nicholas Lee, seorang bapa yang mendapatkan khidmat pengasuh dari Edunanny by BUTLER.

"Selagi ia berjalan baik, dan saya tidak mempunyai sebarang isu dengan syarikat itu atau jagaan yang diberikan kepada anak saya, saya tentu sekali akan meneruskan dengan khidmat itu."

Bergantung kepada komitmen pekerjaan dan keperluan jagaan, para ibu bapa boleh memilih hari dan waktu yang mereka perlukan khidmat pengasuh.

Mereka juga menerima laporan harian mengenai prestasi anak mereka.

Terdapat keperluan untuk memberi jaminan kepada ibu bapa, supaya mereka boleh beri tumpuan kepada pekerjaan dan tahu bayi mereka dijaga dengan baik, kata Encik Poon Da Qian, pengasas dan CEO di Edunanny by BUTLER.

Encik Poon berkata syarikatnya menyaksikan permintaan tinggi dari ibu bapa warga tempatan yang berminat melanggani khidmat jagaan kanak-kanak itu, dengan lebih 120 ibu bapa menunjukkan minat.

"Apa yang ibu bapa dapat jangkakan adalah bentuk khidmat jagaan kanak-kanak yang disesuaikan di mana para pengasuh ... boleh berhubungan dengan ibu bapa melalui WhatsApp, memberi kemas kini tepat pada waktunya mengenai bayi itu dan kesejahteraan kanak-kanak itu kepada ibu bapa mereka yang sedang bekerja."

PIAWAIAN KETAT

Dengan itu, piawaian keselamatan ditetapkan di bawah program itu.

Para pengasuh perlu menjalani sekurang-kurangnya dua pusingan pemeriksaan latar belakang ketat - pertama sekali oleh pengendali sendiri dan kemudian oleh ECDA.

Mereka kemudian perlu menjalani latihan asas jagaan bayi dan sekurang-kurangnya dua kursus mengenai latihan perubatan kecemasan (first aid) untuk bayi dan keselamatan makanan.

Para pengasuh berkenaan hanya akan dikerahkan selepas dia memenuhi peraturan itu.

Cik Becky Ng, pengasas NannyPro Care berkata "untuk mendapatkan kelulusan, melatih mereka, sebelum kami menawarkan khidmat mereka kepada ibu bapa mengambil masa minimum sekitar enam minggu hingga dua bulan".

Cik Ng turut menekankan para pengasuh perlu tahu apa khidmat yang akan mereka tawarkan.

Beliau menambah: "Kami tidak mahu mempercepatkan proses atau ambil jalan mudah, tetapi untuk pastikan mereka sedar apa yang mereka telah daftarkan untuk."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita