Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas kumpulan Healing the Divide, Iris Koh, ditahan reman didakwa terlibat skim beri maklumat vaksinasi palsu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA:Pengasas kumpulan yang diketahui antivaksinasi COVID-19, Iris Koh didakwa dan ditahan reman atas dakwaan terlibat dalam skim untuk memberi maklumat palsu kepada Kementerian Kesihatan (MOH).

Pengasas kumpulan "Healing the Divide" berusia 46 tahun itu, ditahan pada hari Jumaat bersama dua lelaki lain yang berusia 33 dan 40 tahun kerana konspirasi untuk menipu. Lapan lagi individu juga sedang disiasat kerana pembabitan mereka dalam kes tersebut.

Koh didakwa pada Ahad dengan satu tuduhan bersubahat untuk menipu dan ditahan reman bagi siasatan lanjut.

Kementerian Kesihatan memaklumkan polis pada Jumaat mengenai seorang doktor yang disyaki menyerahkan maklumat palsu kepada Pejabat Pendaftaran Imunisasi Kebangsaan.

Maklumat itu menunjukkan doktor berkenaan telah "memberi vaksin COVID-19 kepada individu-individu walhal dia sebenarnya tidak berbuat demikian", kata polis.

Dokumen mahkamah menunjukkan ia vaksin Sinopharm.

Selepas menyiasat laporan MOH itu, polis menangkap Koh dan dua lelaki berkenaan pada hari yang sama.
  
Koh didakwa telah merujuk beberapa anggota Healing the Divide kepada doktor berkenaan. Dia juga menyarankan pesakit itu diberi sesuatu sebagai ganti vaksin tersebut, tambah polis.

Tambah polis: "Wanita itu juga sedang disiasat atas dakwaan bersubahat dengan menghasut orang untuk menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka... atas dakwaan pelibatannya dalam menghasut orang lain untuk menghubungi dan mengganggu talian hotline awam COVID-19."

Kedua-dua lelaki itu - doktor dan pembantunya telah menyerahkan maklumat "dengan niat untuk mendorong MOH mengeluarkan Sijil Vaksinasi terhadap COVID-19 dalam permohonan TraceTogether", kata polis.

Kedua-dua lelaki itu, yang telah direman untuk siasatan lanjut, masing-masing didakwa pada Jumaat atas tuduhan bersubahat untuk menipu.

Kesalahan bersubahat untuk menipu dan konspirasi jenayah untuk menipu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

"Polis memandang serius tingkah laku yang mungkin menimbulkan risiko kesihatan awam di tengah-tengah usaha negara melawan pandemik COVID-19," kata polis.

"Pesalah akan dikenakan tindakan tegas, mengikut undang-undang."

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan