Pengasas jenama jersi basikal tempatan, Bizkut mahu jadikan dunia berbasikal lebih inklusif
SINGAPURA: Berbasikal bukan hanya untuk golongan elit tapi satu sukan untuk semua.
Itulah pendirian pengasas Bizkut, jenama jersi sukan berbasikal tempatan yang mahu menjadikannya lebih berpatutan dan mudah diakses oleh peminat sukan itu dari pelbagai latar belakang.
Muhammad Alfiyan Zaihan dan isterinya, Iffah Suhaili menubuhkan Bizkut pada tahun 2010.
Ia sudah berkembang daripada usaha kecil-kecilan kepada jenama yang dikenali komuniti penggemar sukan itu.
Dalam pasaran yang didominasi jenama antarabangsa dengan harga mencecah antara $200 hingga $300 setiap jersi, Bizkut memilih pendekatan berbeza.
Jersi yang ditawarkan dijual pada harga yang lebih berpatutan, antara $40 hingga $150 dengan kualiti mengikut piawaian antarabangsa.
"Kita mempunyai tiga kategori: asas, pertengahan dan tahap profesional. Harga bermula sekitar 40 dolar. Bagi kategori tahap profesional, harganya boleh mencecah 100 dolar ke atas kerana fungsinya lebih canggih, tahap mampatan yang lebih baik serta reka bentuk yang lebih aerodinamik." kongsi Iffah.
REKAAN & SAIZ KHAS UNTUK ATLET ASIA
Selain menjadikannya lebih mudah diakses, Bizkut juga mahu menawarkan pilihan pakaian berbasikal dalam lebih banyak potongan dan saiz yang bukan konvensional.
Kebanyakan jenama lebih dikenali dari Eropah cenderung menghasilkan pakaian yang disesuaikan untuk bentuk tubuh golongan tersebut dan bukan untuk penduduk Asia.
Sebagai satu kelainan, Bizkut mengambil kira bentuk badan penunggang Asia, menawarkan potongan dan saiz yang lebih sesuai dengan keperluan warga tempatan.
Saiz yang ditawarkan juga lebih pelbagai.
“Masyarakat berbasikal ini banyak kepada orang yang badan atletik tetapi ramai yang bukan berbadan macam itu dan tetap nak berbasikal,” kongsi Encik Alfiyan.
"Kami mempunyai jersi hingga saiz XL, untuk mereka yang berbadan besar. Bila pelanggan datang balik dan saiz dia dah turun, itu yang buat kita rasa puas hati,” tambahnya.
PRIHATIN, SEDIAKAN PAKAIAN KHUSUS BUAT PENUNGGANG BERKEPERLUAN KHAS
Komitmen Bizkut terhadap budaya inklusif bukan semata-mata pada saiz atau potongan badan sahaja.
Syarikat itu juga mahu memperluaskan skop inklusif itu kepada masyarakat penunggang dengan keperluan khas dan kurang upaya fizikal.
Antara kerjasama paling bermakna bagi mereka ialah sokongan terhadap Persekutuan Para Berbasikal Singapura (PCFS).
Ia merupakan satu komuniti yang terdiri daripada pelbagai jenis penunggang, termasuk penunggang 'handcycle', 'trike' serta individu yang mengalami strok dan kecederaan saraf.
Setiap kategori penunggang ini mempunyai keperluan pergerakan dan posisi tubuh yang sangat berbeza berbanding penunggang basikal konvensional.
“Mereka sebenarnya tidak ada pakaian latihan yang sesuai. Mereka tidak ada penaja sebelum ini ” kongsi Encik Alfiyan.
Bagi dirinya, cabaran utama bukan sekadar menghasilkan jersi dalam saiz tertentu tetapi memahami bagaimana tubuh penunggang ini bergerak sewaktu berlatih dan berlumba.
Untuk lebih memahaminya, pasukan Bizkut turun ke lapangan untuk memerhati sendiri bagaimana mereka duduk, baring, menyandar, mengayuh dan menggunakan tangan ketika mengawal basikal.
Bagi penunggang ‘handcycle’ misalnya, posisi tubuh yang baring menyebabkan poket belakang jersi biasa tidak lagi praktikal.
Oleh itu, reka bentuk diubah supaya poket dipindahkan ke bahagian hadapan, menjadikan jersi berfungsi tanpa menjejaskan keselesaan.
Selain itu, keperluan pergerakan tangan yang berbeza turut mempengaruhi potongan panel dan jenis fabrik yang digunakan.
“Cara gerakan mereka lain. Jadi kami harus longgarkan sedikit di bahagian tertentu, tapi dalam masa yang sama kena jaga aerodinamik,” kata Encik Alfiyan.
Proses ini melibatkan banyak percubaan dan prototaip, setiap perubahan kecil diuji dan diperhalusi berdasarkan maklum balas penunggang sendiri.
Bagi pasukan Bizkut, pendekatan ini penting kerana pakaian tersebut bukan sekadar untuk latihan tetapi digunakan dalam pertandingan termasuk paralimpik.
“Ini bukan sekadar mahu nampak cantik tapi untuk digunakan untuk berfungsi dengan baik,” kata Alfiyan.
Melalui sokongan ini, Bizkut melihat peranan mereka bukan sekadar sebagai jenama pakaian tetapi sebagai rakan yang bantu membuka lebih banyak peluang dalam dunia sukan berbasikal.
SOKONGAN ISTERI JAYAKAN PERNIAGAAN
Bagi Alfiyan dan Iffah, Bizkut bukan sekadar sebuah perniagaan tetapi hasil usaha sama yang dibina atas kefahaman, sokongan dan nilai yang dikongsi sebagai pasangan suami isteri.
Pada peringkat awal, Alfiyan menguruskan Bizkut seorang diri.
Namun apabila permintaan meningkat, terutamanya ketika pandemik, beban kerja semakin berat.
“Permintaan semasa pandemik meningkat mendadak sehingga beliau berasa kewalahan dan keletihan kerana terpaksa menguruskan semuanya seorang diri,” kata Cik Iffah.
Dengan pembahagian peranan yang lebih jelas, Bizkut mula berkembang secara lebih tersusun.
Encik Alfiyan menumpukan pada pembangunan produk dan reka bentuk manakala Cik Iffah pula menguruskan operasi, perhubungan pelanggan dan hala tuju jenama.
“Kita bina Bizkut sama-sama, sebab nilai yang kita bawa memang kita percaya bersama,” kongsi Iffah.
Setelah lebih 15 tahun berkembang, Bizkut terus dipacu oleh nilai yang sama iaitu empati terhadap penunggang basikal dan keinginan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.