Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas jenama fesyen Ong Shunmugam mohon maaf atas komen berbaur perkauman di acara ACM

Pengasas jenama fesyen pakaian tempatan berkata beliau memohon maaf mengenai komen berbaur perkauman yang dibuat semasa satu ceramah secara maya yang dianjurkan oleh Muzium Tamadan Asia (ACM) pada tahun lalu, sambil menyifatkan insiden itu sebagai "canggung, menyakitkan hati dan kurang peka".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengasas jenama fesyen pakaian tempatan berkata beliau memohon maaf mengenai komen berbaur perkauman yang dibuat semasa satu ceramah secara maya yang dianjurkan oleh Muzium Tamadan Asia (ACM) pada tahun lalu, sambil menyifatkan insiden itu sebagai "canggung, menyakitkan hati dan kurang peka".

Cik Priscilla Shunmugam, pengasas jenama fesyen Ong Shunmugam memberitahu Mediacorp pada Jumaat (25 Mac) bahawa beliau "wajar dipertanggungjawabkan" atas apa yang dikatakan.

"Saya minta maaf tanpa syarat atas komen-komen yang saya buat," katanya.

Ceramah itu yang bertajuk 'ACMtalks: Nadya Wang and Prisilla Shunmugam', dianjurkan pada 16 September tahun lalu, namun sebahagian daripada komen yang dibuat oleh Cik Shunmugam dinukil baru-baru ini dan menjadi tular selepas laman Instagram Kebaya Societe memuatnaikkannya pada Rabu (23 Mac).

Cik Wang merupakan seorang pensyarah di Sekolah Fesyen di Kolej Seni Lasalle dan ceramah itu dianjurkan oleh Cik Jackie Yoong selaku moderator, yang merupakan seorang kurator kanan bagi fesyen dan tekstil di ACM dan Muzium Peranakan.

ACM menerbitkan beberapa lagi edisi ceramahnya yang berkisarkan tema-tema seperti perdagangan maritim, kepercayaan serta bahan dan reka bentuk.

Namun video asal yang memaparkan Cik Shunmugam tidak lagi boleh dijumpai di laman Facebooknya.

Dalam petikan video sepanjang dua minit, Cik Shunmugam kedengaran menjawab soalan yang tidak disertakan dalam rakaman video tersebut.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa beliau ditanya mengapa 'cheongsam' - iaitu pakaian tradisional Cina yang dipakai oleh kaum wanita - kerap disertakan dalam fesyen rekaannya.

Beliau menjawab kepada penonton online pada waktu itu tentang bagaimana wanita Cina "mencapai kemajuan lebih pantas dan lanjut berbanding wanita-wanita Melayu dan India".

Beliau juga mengatakan, antara lain, bahawa wanita Cina merupakan "wanita Asia pertama yang berjabat tangan dengan kaum lelaki", lama sebelum wanita India dan Melayu dapat berbuat demikian.

"Jika anda kaji hal itu, jika kami dapat memahami perkara itu, maka jawapan fesyen datang daripadanya," kata Cik Shunmugam di ceramah itu.

"Saya rasa sebagai seorang pereka fesyen, saya hanya boleh katakan bahawa apabila saya menghasilkan reka fesyen melibatkan cheongsam, saya rasakan bukan kerana terdapat kurang sekatan, tetapi saya dapat lebih berseronok dan wanita Cina lebih terbuka atau mereka boleh menjadi lebih menerima," katanya.

Nukilan video tular itu kemudian berakhir secara mendadak.

Reaksi terhadap video itu lazimnya perasaan terkejut dan kecewa terhadap apa yang disifatkan oleh para pengguna online sebagai komen berbaur perkauman.

BOLEH LAKUKAN LEBIH BAIK

Secara berasingan, ACM juga mengeluarkan kenyataan memohon maaf di laman Instagramnya.

Kenyataan yang ditandatangani oleh pengarah muzium itu, Encik Kennie Ting, menyatakan bahawa mereka boleh melakukan lebih baik lagi dalam tugas sebagai orang tengah dan mengendalikan sesebuah ceramah maya.

"Sepanjang beberapa hari lalu, muzium ini meraih pengajaran penting dalam bagaimana kami dapat memperbaiki penganjuran ceramah-ceramah kami."

Encik Ting menambah bahawa ACM menghormati pandangan para individu namun jika pandangan itu bersifat kontroversil atau komen kurang peka dibuat, "moderator kami seharusnya melakukan tugas yang lebih baik" dengan meminta penceramah jemputan untuk menjelaskannya.

"Moderator kami berkongsi bahawa beliau mendapati ia sukar untuk memberi tindak balas dengan segera dalam sekitaran secara langsung. Ia lebih sesuai jika komen-komen itu dapat ditangani dengan cepat dan tegas."

Encik Ting juga berkata bahawa pandangan daripada kesemua penceramah jemputan itu "tidak mencerminkan pandangan dan pendirian ACM".

Beliau menambah bahawa ACM akan memastikan sesi-sesi di masa hadapan "akan dianjurkan dengan betul, khususnya jika komen-komen atau pandangan yang diutarakan sangat kontroversil dan tidak peka".

Ceramah secara maya itu diadakan menerusi penstriman dan dimuat naik secara langsung ke Facebook pada hari yang sama. Ia "tidak disunting, sama seperti rakaman video ceramah dan simposium online kami", kata Encik Ting.

Beliau akur bahawa terdapat "kurang pengalaman dan terlepas pandang" dari pihak ACM dalam pengurusan dan penyemakan setiap video yang dirakam.

"Kami mohon maaf atas perkara ini akan memperbaiki proses kami dalam menguruskan kuliah yang disiarkan secara langsung dan kandungan online kami pada masa hadapan."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan