Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas Healing the Divide mohon izin mahkamah untuk dapatkan rawatan barah di luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
 Pengasas Healing the Divide mohon izin mahkamah untuk dapatkan rawatan barah di luar negara

Iris Koh dan suaminya Raymond Ng. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Pengasas Healing the Divide, iaitu sebuah kumpulan yang diketahui berpendirian menentang vaksinasi, membuat permohonan untuk meninggalkan Singapura bagi mendapatkan rawatan barah tiroid.

Hakim Daerah Ng Peng Hong pada Jumaat (17 Jun) menangguhkan perkara itu bagi Iris Koh Shu Cii menyediakan lebih banyak maklumat mengenai hasratnya untuk melakukan perjalanan ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan. Dia akan kembali ke mahkamah minggu depan.

Koh berdepan dua tuduhan. Satu adalah bagi kesalahan bersubahat dengan Dr Jipson Quah untuk menipu Kementerian Kesihatan (MOH) supaya mempercayai bahawa pesakit sudah disuntik vaksin Sinopharm COVID-19 antara Julai 2021 dengan Januari tahun ini.

Satu lagi tuduhan adalah atas kesalahan menghalang pegawai polis daripada menjalankan tugas dengan enggan menandatangani salinan keterangannya malah mengoyakkan keterangan tersebut semasa ditahan pada Januari.

Wanita berusia 42 tahun itu dilepaskan dengan ikat jamin S$20,000. Individu yang diikat jamin dikehendaki kekal berada di Singapura dan mesti mendapatkan izin mahkamah sekiranya mereka mahu keluar negara. Mereka mesti menyediakan maklumat seperti tujuan, destinasi dan tempoh perjalanan mereka.

Peguam bela Wee Pan Lee memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mahu meminta izin untuk meninggalkan Singapura pada 19 Jun untuk ke Melaka dan Negeri Sembilan sebelum pulang pada 22 Julai.

Di Melaka, Koh kata beliau akan ke Pusat Perubatan Mahkota untuk berjumpa doktor, yang dikatakan akan menyarankan rawatan terapi di Aenon Health Care di Negeri Sembilan. Terapi itu dijangka dijalankan antara 19 Jun dengan 29 Jun.

Beliau menambah, anak guamnya tidak berupaya memberikan maklumat lanjut mengenai aturan pengangkutan dan penginapan kerana ini hanya akan dibuat selepas permohonannya untuk keluar negara diluluskan.

Menurut Encik Wee, seorang doktor di Hospital Besar Singapura menyarankan agar kelenjar tiroid Koh dibuang sebagai sebahagian daripada rawatan bagi penyakit barah yang dihidapinya dan Koh sedang mencari "rawatan terapi alternatif" sebagai ganti "pembuangan menerusi pembedahan invasif".

Beliau menambah, penjamin Koh, Encik Raymond Ng, yang merupakan suami Koh, tidak akan ke luar negara bersamanya.

Timbalan Pendakwa Raya Jiang Ke-yue berhujah bahawa dokumen-dokumen yang diserahkan bagi permohonan Koh "tidak lengkap".

Beliau berkata pendakwa raya sudah meminta maklumat mengenai rawatan yang akan diterima Koh, sama ada dia perlu ke Malaysia termasuk sama ada rawatan alternatif di Singapura sudah diterokai dan jika dia perlu melakukan perjalanan selama sebulan ke dua lokasi berbeza.

Encik Jiang berkata dokumen yang diserahkan oleh peguam Koh juga menyarankan bahawa lokasi ketiga di Kuala Lumpur yang dipanggil Spectrum of Life, dimasukkan dalam senarai perjalanan Koh.

Beliau berkata tidak dijelaskan kaitan antara ketiga-tiga institusi di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur itu.

"Saya ingin menekankan bahawa kami tidak menghalang cara Cik Koh mahu mendapatkan rawatan alternatif yang diinginkan. Kami hanya mahukan jawapan dan penjelasan," kata beliau.

Oleh sebab Koh juga membuat permohonan pada 13 Jun, beliau bertanya: "Mengapa permohonan tidak dibuat lebih awal supaya maklumat boleh diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dibuat penilaian dengan betul?"

Dalam responsnya, peguam bela Koh berhujah bahawa pihak pendakwa tidak menunjukkan bukti bahawa anak guamnya berisiko melarikan diri.

Encik Wee juga berkata Koh "kecewa" selepas didiagnos dan berjumpa beberapa doktor dan membuat permohonan "secepat mungkin".

Hakim Ng berkata berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya, keadaan perubatan Koh "tidak dilihat mengancam nyawa buat masa ini".

"Nampaknya kami memerlukan penjelasan," kata beliau, sambil menangguhkan keterangan bagi permohonan supaya pihak pembela boleh menyerahkan lebih banyak maklumat.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan