Pengasas Healing the Divide kutip kira-kira S$30,000 sehari selepas buat rayuan derma
(Gambar: Iris Koh/Facebook)
SINGAPURA: Pengasas kumpulan antivaksin Healing the Divide, Iris Koh, yang didakwa membuat kenyataan palsu kepada Kementerian Kesihatan (MOH), sudah mengutip kira-kira 30 peratus jumlah yang diperlukan untuk bayaran khidmat guaman bagi perbicaraan-perbicaraan mahkamah yang akan datang, hanya sehari selepas membuat rayuan online untuk mendapatkan derma.
Koh memberitahu Mediacorp pada Rabu (9 Feb) bahawa dia berharap dapat mengutip sebanyak S$100,000. Daripada jumlah tersebut, S$20,000 akan digunakan untuk membayar ikat jamin, manakala S$80,000 akan digunakan untuk membuat bayaran khidmat guaman.
Permintaan ikat jamin untuk Koh yang berusia 46 tahun itu awalnya ditolak apabila dia muncul di mahkamah pada 23 Januari, namun, dibebaskan daripada reman hampir dua minggu kemudian pada 4 Februari.
Sejak mengemukakan rayuan itu pada pagi Selasa (8 Feb), sekitar S$30,000 sudah dikutip, dengan S$1,000 merupakan jumlah terbesar yang didermakan oleh seorang individu setakat ini.
Dalam rayuan Koh, yang dilihat menerusi kumpulan Telegram "Healing the Divide Discussion", Koh menjelaskan situasinya dan meletakkan nombor telefon di mana para dermawan boleh memindahkan wang menerusi aplikasi telefon PayNow.
Koh menyatakan bahawa dia belum lagi mengira jumlah dermawan yang sudah menyumbang setakat ini, namun, menyifatkannya sebagai "banyak".
"Saya amat menghargai sokongan ini," katanya. "Saya yakin yang saya akan mengutip jumlah S$100,000 itu. Saya tidak tahu sampai bila, tetapi secukup masa untuk saya menyimpan wang bagi pembelaan saya."
Koh berdepan dengan dua tuduhan.
Dia dituduh bersubahat dengan seorang doktor, Jipson Quah, untuk memperdaya Kementerian Kesihatan (MOH) supaya mempercayai seolah-olah sejumlah individu sudah disuntik dengan vaksin COVID-19, Sinopharm.
Namun, tuduhan yang lebih berat dikenakan ke atas Koh, iaitu berpakat untuk memberikan keterangan palsu kepada MOH.
Pada 4 Februari, Koh dituduh menghalang tugas polis dengan enggan menandatangani dan mengoyakkan salinan kenyataan semasa di dalam tahanan.
Koh akan kembali ke mahkamah bagi perbicaraan pada 14 Mac.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.