Pengasas 'Healing the Divide' dikenakan tuduhan lebih berat; berpakat untuk berbohong kepada MOH
SINGAPURA: Pengasas Healing the Divide, sebuah kumpulan yang pendiriannya diketahui menentang vaksinasi, dikenakan tuduhan yang lebih berat pada Jumaat (28 Jan) kerana berpakat untuk berbohong kepada Kementerian Kesihatan (MOH).
Pada mulanya, Iris Koh Shu Cii, 46 tahun, didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Dr Jipson Quah untuk memperdayakan MOH supaya mempercayai seolah-olah sejumlah individu sudah disuntik dengan vaksin Sinopharm.
Hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut adalah hukuman penjara selama tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Koh bagaimanapun dikenakan tuduhan yang lebih berat pada hari ini (28 Jan) iaitu berpakat untuk memberikan keterangan palsu kepada MOH.
Dia kini dituduh bersubahat dengan Quah antara Julai 2021 dengan Januari 2022.
Menurut kertas pertuduhan, Koh dan Quah berpakat untuk memberikan maklumat palsu mengenai suntikan vaksin Sinopharm, sekalipun para individu tersebut tidak divaksin sama sekali, semata-mata untuk mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 untuk golongan tersebut.
Tuduhan baru itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Koh kini dirawat di sebuah wad di Hospital Besar Singapura (SGH), menurut rekod mahkamah dan dia akan direman setelah dibenarkan keluar hospital kelak.
Peguamnya, Clarence Lun dari Fervent Chambers, memberitahu Mediacorp bahawa pasukannya sedang menyiapkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan syarat tanpa ikat jamin yang dikenakan terhadap Koh sekarang.
Menurut Encik Lun, suami Koh berharap beliau dapat menyambut Tahun Baru Cina bersama isterinya.
Sebelum ini, Koh dirawat di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan kini di SGH. Menurut peguamnya, masih belum jelas mengapa anak guamnya dirawat di hospital.
Beliau bagaimanapun berkata "tidak mungkin ia disebabkan oleh COVID-19".
Koh akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 4 Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.