Pengasas HBB Effabakes berjinak-jinak niaga 'trak makanan' jual 'milkshake'
BERITAmediacorp: Setelah lapan tahun menjalankan perniagaan mereka dari rumah atau sebagai Home Based Business (HBB), pasangan suami isteri, Encik Shaffiq dan Cik Latiffah, kini bersedia untuk keluar daripada 'zon selesa'.
Buat pertama kalinya, pasangan yang mengendalikan perniagaan biskut dan kek 'brownie', yang dipanggil Effabakes, itu menawarkan air tangan mereka menerusi 'foodtruck' atau trak makanan sempena pesta Glamboyant di Aliwal Street anjuran One Kampung Gelam.
Pesta yang menawarkan pelbagai hiburan dan makanan itu bermula dari 23 September hingga hujung minggu ini, iaitu 2 Oktober.
Semasa kunjungan BERITAmediacorp ke sudut yang dipanggil 'Foodyard', di mana 20 trak makanan ditempatkan, dari jauh lagi sudah kelihatan sebuah trak comel berwarna merah jambu, dengan sepanduk yang tertera 'Bakes & Shakes By Effabakes'.
Jika biasanya Effabakes menjual biskut dan kek, kali ini mereka menawarkan menu baru seperti beraneka 'milkshake' dan biskut beraiskrim.
"Bakes and shakes sudah melalui banyak proses percubaan dan belajar daripada kesilapan. Banyak kali juga kami menyangka kombinasinya (rasa) betul tetapi bila kami rasa, ia tidak betul.
"Banyak kali kami perlu mencuba sendiri (minuman) sampai kembung perut minum 'milkshake'," kata Cik Latiffah.
Pasangan suami isteri itu juga banyak menonton video-video di YouTube untuk belajar cara membuat 'milkshake' dan mencari resepi yang tepat serta mencuba dan mencari susu dan aiskrim yang sesuai untuk digunakan, supaya "tidak terlalu manis".
Sejauh ini, minuman yang paling menarik perhatian para pelanggan mereka di Aliwal Street itu adalah Sir Choc A lot, Cik Latiffah memberitahu BERITAmediacorp.
TIDAK MENYESAL TUMPU PADA PERNIAGAAN BISKUT, KEK 'BROWNIE'
Semasa dimulakan kira-kira lapan tahun dahulu, Effabakes hanyalah perniagaan sambilan dan dijalankan atas dasar hobi bagi Cik Latiffah.
Manakala, Encik Shaffiq pula bekerja sepenuh masa dalam industri pengangkutan.
Apabila pandemik COVID-19 melanda negara, Encik Shaffiq adalah antara mereka yang terjejas.
Sekalipun demikian, beliau berpegang kepada peribahasa jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya. Encik Shaffiq memanfaatkan masa sepanjang pandemik dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Effabakes. Lama kelamaan, perniagaan HBB itu menjadi pekerjaan sepenuh masa bagi beliau.
"Saya tidak menyesali keputusan saya untuk membuat biskut dan kek brownies sepenuh masa bersama isteri saya. Malah, saya ingin membesarkan lagi bisnes kami ini," kata Encik Shaffiq.
Cik Latiffah, yang minat membuat pencuci mulut sejak usia kecil lagi, masih bekerja sepenuh masa dan mengendalikan Effabakes secara sambilan, lebih-lebih lagi pada musim perayaan seperti Hari Raya, di mana permintaan bagi kuih dan keknya melonjak.
TEROKA NIAGA 'MILKSHAKE' SAMPAI KEMBUNG PERUT
Pasangan itu sebenarnya sudah lama memasang niat untuk menjual makanan mereka secara langsung seperti dari trak makanan. Lantaran itu, apabila melihat iklan mengenai Foodyard di Instagram 'Sunsetrocket', mereka berasa sudah tiba masanya untuk merebut peluang tersebut.
"Kami pun fikir apa nak dijual sewaktu acara Foodyard. Tidak mungkin kami jual biskut raya kan?
"Jadi kami pun fikir cara untuk menggabungkan kuih-kuih kami dengan ais krim kerana kami memang suka ais krim. Juga kerana kami rasakan bahawa milkshakes yang halal tidak banyak di Singapura," jelas pasangan suami isteri itu.
Maka tercetus idea memulakan Bakes and Shakes dan mereka menjual tiga jenis 'milkshake' di Foodyard, selain biskut dan kek. Nama-nama yang diberikan juga unik; Sir Choc A Lot, Queen Mel dan Lady Victoria.
"Sambutan selama lima hari ini amat memberangsangkan. Kami dapat menjual sekitar 40 hingga 50 cawan setiap hari. Pelanggan juga mengatakan bahawa rasanya tidak begitu manis dan serasi dengan cita rasa mereka," kongsi Encik Shaffiq kepada BERITAmediacorp pada Selasa (27 Sep).
Meskipun sekarang terjejas dek inflasi meningkat, dengan harga barangan naik, pasangan itu memberitahu BERITAmediacorp mereka tetap tidak menaikkan harga kerana ingin orang ramai dapat cuba 'milkshake' mereka dengan harga yang berpatutan.
"Harapannya agar kami dapat menyertai lebih banyak acara pada masa akan datang. Foodyard ini merupakan cara untuk kami menguji pasaran dan melihat sama ada terdapat permintaan bagi 'milkshake' kami sebelum kami memutuskan trajektori Effabakes pada masa akan datang," kata Encik Shaffiq.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.