Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas Goals Aspiration, Susanty Yaakop tanam tekad hulur sokongan kepada bekas pesalah dadah sepertinya

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Keperitan membesar seorang diri tanpa belaian kasih sayang ibu bapa yang bercerai ketika usianya baru mencecah 8 tahun. 

Pengalaman itu ibarat satu titik tolak yang mengorak perjalanan hidup Cik Susanty Yaakop, yang kini berusia 43 tahun. 

"Saya dahulu seorang yang suka pendam perasaan, banyak berdendam. Ini juga kerana trauma yang saya rasakan, membuat saya ada kepercayaan diri yang rendah dan tidak suka bercampur dengan orang," dedah Cik Susanty kepada BERITAmediacorp. 

"Usia saya 14 tahun, saya mula bertindak. Saya mula dengan "clubbing", minum dan mula bergiat dalam kehidupan kegiatan malam. Sebab itu satu hiburan. Jadi rasa keseorangan diri yang lalu itu saya luahkan menerusi kegiatan seperti ini," dedah Cik Susanty selanjutnya. 

Pada usia tersebut juga, ibu Cik Susanty menghantarnya ke Pertapis iaitu bagi kes-kes di luar kawalan ibu bapa (BPC). 

Sepanjang tempoh dua tahun, Cik Susanty berlindung di rumah tumpangan wanita dan kanak-kanak itu.

Apabila dilepaskan pada sekitar 1995, Cik Susanty terjebak pula dengan najis dadah. 

Dadah seperti ganja dan Ice menjadi 'kawan baik' Cik Susanty sepanjang usia remajanya lebih 30 tahun yang lalu. 

"Saya ambil dadah untuk dapat rasa kesenangan dan kebahagiaan," ujar Cik Susanty. 

"SAYA MULA JADI MACAM SAMPAH"

Saban tahun, Cik Susanty meneruskan hidup dengan dadah. 

Namun, keadaan dirinya semakin memburuk. 

"Sekitar 2010, saya sudah mula jadi macam sampah. Semua jenis dadah saya ambil. Perubahan saya semakin teruk. Tidak kira Erimin, Ecstasy, semua jenis dadah saya boleh ambil sekali jalan," kata Cik Susanty. 

"Marijuana (ganja) bagi saya sudah rasa seperti rokok, seperti biasa. Jadi itu saya sedar, saya fikirkan kepada diri saya, ini semakin teruk," tambahnya. 

Berat badan Cik Susanty juga merosot dengan mendadak sehingga 46 kilogram angkara ketagihan dan pengambilan dadah.

"Saya seperti jerangkung dalam almari. Saya menangis melihat diri di cermin," katanya. 

Memburukkan keadaan, Cik Susanty juga mula mengalami halusinasi sehingga hampir-hampir bunuh diri. 

Cik Susanty pada satu ketika malah mahu terus terjun dari jambatan. 

Mujur beliau akhirnya memutuskan untuk membuka lembaran baru. 

"Saya menangis selama tiga jam apabila saya kembali ke rumah. Satu perkara yang saya katakan kepada diri saya pada waktu itu adalah saya benci kehidupan ini," jelas Cik Susanty. 

Cik Susanty juga berkongsi dengan BERITAmediacorp tentang doa yang dipanjatkannya ketika itu: "Kalau dalam (penjara) boleh baikkan buat diri aku, Ya Allah, masukkanlah aku. Aku sudah tidak tahan melihat diri aku sebegini." 

Tiga hari selepas kejadian tersebut, Cik Susanty diberkas semasa berada di dalam bilik hotel, dengan dadah dalam genggamannya. 

Beliau dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada 2011 selama 6 bulan. 

INGIN MEMPERBAIKI DIRI, MULAKAN LEMBARAN BARU

Semasa menjalani proses pemulihan di DRC, perkara yang membuat Cik Susanty benar-benar ingin mengubah dirinya adalah anak lelakinya. 

"Yang paling perit di dalam sana, saya dipisahkan dengan anak lelaki saya. Walaupun macam mana tongkang terbalik dalam kehidupan saya, anak saya tetap dengan saya. Jadi apabila terpisah, hanya Tuhan saja tahu rasa sakitnya," kata Cik Susanty. 

"Apabila saya dilepaskan, saya tidak akan lupa. Anak saya berlari ke arah saya dan dia memeluk saya." 

"Selepas pelukan lama, dia tepuk bahu saya dan dia beritahu saya, "Ibu, tidak ada orang yang sempurna, saya maafkan ibu dan saya tak sanggup melihat ibu begini," ujar Cik Susanty mengenai kata-kata anaknya yang mengubah pemikiran dan kehidupannya. 

CABARAN MEMBUKA LEMBARAN BARU

Selepas dibebaskan dari DRC, Cik Susanty cuba memulakan lembaran baru. 

Namun, perjalanannya bukan mudah. 

Antaranya, Cik Susanty menghadapi pelbagai ujian dan pandangan serong masyarakat. 

"Ujian pertama, saya banyak ditindas dan tidak dapat sokongan. Apabila bertugas di pekerjaan pertama saya selepas dilepaskan, itulah yang saya rasakan," kata Cik Susanty. 

"Saya mendapat banyak kata-kata yang memperkecilkan diri saya. Saya pun terfikir kenapa orang berpandangan sebegitu pada saya," luah Cik Susanty. 

Tatkala bergelut dengan cabaran, tekad Cik Susanty untuk terus memperbaiki diri terus membara. 

Selepas lebih 10 tahun dibebaskan, Cik Susanty tidak lagi menyalahgunakan dadah. 

Malah beliau juga aktif bekerjasama dengan Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam program Pendidikan Pencegahan Dadah, di mana beliau berkongsi pengalamannya terjerat dengan dadah bersama para pelajar mahupun jemaah di masjid-masjid. 

TUBUH GOALASPIRATION, HULUR SOKONGAN KEPADA BEKAS PESALAH

Awal tahun ini, Cik Susanty menubuhkan sebuah kumpulan sokongan bagi bekas pesalah seperti dirinya. 

"Setiap orang itu ada masalah masing-masing. Pengalaman yang kita ada ini, kita ingin berkongsi, berharap akan dapat menarik lebih ramai golongan bekas pesalah ini, agar mereka kekal berprinsip dan dapat sokongan." 

"Berdasarkan pengalaman, ramai daripada golongan kita ini tidak menerima sokongan seperti ini dahulu. Jadi dengan adanya kumpulan seperti ini, saya sebagai seorang bekas pesalah, boleh bersama mereka, membimbing mereka. Inilah sokongan yang perlu walau bagaimana gagalnya kita dahulu," kata Cik Susanty. 

Setakat ini, Goals Aspiration berjaya memikat seramai 20 anggota yang kebanyakannya adalah bekas pesalah, penjenayah dan bekas anggota kumpulan samseng. Malah, ada juga anggotanya yang datang daripada golongan belia. 

Antara projek utama yang diusahakan oleh kumpulan tersebut adalah pengagihan habuan kepada keluarga-keluarga memerlukan pada bulan Ramadan yang lalu.

"Inisiatif itu juga satu kerja amal kan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, jadi mereka menyambut baik untuk adakan projek mengagihkan habuan itu," kata Cik Susanty. 

Selain itu, kumpulan Goals Aspiration juga bekerja rapat dengan kumpulan-kumpulan masyarakat lain. Ini supaya para anggotanya mendapat lebih banyak peluang untuk beramal dan berbakti kepada masyarakat. 

"Kita pernah mengadakan sesi perkongsian bersama IM Volunteers, di mana beberapa remaja datang bersama untuk mendengar pengalaman para anggota kami mengenai penyalahgunaan dadah. 

"Kita juga bekerjasama dengan Jamiyah Darul Islah setiap Jumaat untuk para penghuni di sana. Kita akan datang ke sana dan kita akan memberikan sokongan kepada mereka. Mereka akan mengongsikan cabaran mereka selepas baru keluar dari penjara dan kita akan cuba membantu," ujar Cik Susanty. 

Cik Susanty turut memberitahu BERITAmediacorp: "Ramai daripada mereka yang menjalani program ini juga ramai daripada mereka yang baru keluar dari penjara kurang tiga tahun lalu. Mereka adalah golongan yang mempunyai potensi dan bermotivasi, bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri dan menjalani kehidupan lebih baik."

Memandang ke hadapan, Goals Aspiration juga merancang untuk memperluaskan jangkauan programnya untuk membantu lebih ramai bekas pesalah. 

Antaranya, ia akan bekerjasama dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH).

"Dari segi apa yang FITRAH ada, kita mungkin boleh menolong sebagai satu kumpulan sokongan luaran. Memang mereka memberikan sokongan khusus semasa di penjara dan selepas dibebaskan. Jadi dari segi itu, kita cuba menyertai untuk memberi sokongan bagi bekas banduan selepas mereka dibebaskan," jelas Cik Susanty. 

Natijahnya, Cik Susanty bertekad untuk menjadi peran contoh kepada golongan bekas pesalah, khususnya dalam menyebarkan mesej bahawa kesilapan lalu tidak seharusnya menghambat usaha untuk memulakan kehidupan baru yang lebih bermakna. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan