Skip to main content

Singapura

Pengasas firma Trek 2000 didenda S$80,000 kerana gagal dedahkan urus niaga S$14 juta

Seorang lelaki yang mengasaskan syarikat teknologi tersenarai di papan utama, Trek 2000 International - firma yang mencipta pemacu pena, didenda S$80,000 pada Isnin (24 Ogos) kerana gagal mendedahkan urus niaga bernilai AS$10.5 juta (S$14.4 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasas firma Trek 2000 didenda S$80,000 kerana gagal dedahkan urus niaga S$14 juta

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Aug 2020 03:00PM Dikemas Kini : 24 Aug 2020 03:02PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mengasaskan syarikat teknologi tersenarai di papan utama, Trek 2000 International - firma yang mencipta pemacu pena, didenda S$80,000 pada Isnin (24 Ogos) kerana gagal mendedahkan urus niaga bernilai AS$10.5 juta (S$14.4 juta).

Urus niaga ini dibuat antara kumpulan Trek 2000 dengan sebuah lagi firma yang mana Tan merupakan pemegang saham tunggal serta sebuah syarikat yang mana anak lelakinya memegang kepentingan majoriti.

Henry Tan, 63 tahun, juga dikenali sebagai Henn Tan, mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan dengan empat lagi tuduhan dipertimbangkan.

Tokoh terkenal dalam arena inovasi teknologi Singapura itu berdepan beberapa tuduhan lain, kebanyakannya kerana pemalsuan akaun yang berkaitan dengan penyata kewangan Trek 2000.

Mahkamah diberitahu Tan ialah pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Trek 2000. Beliau juga pengarah eksekutif dan pemegang saham terbesar syarikat itu.

Trek 2000 adalah sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan portfolio harta intelek berkaitan teknologi termasuk pemacu pena atau alat USB, yang diciptanya pada atau sekitar tahun 2000.

Di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan, firma tersebut diminta untuk mendedahkan urus niaga tertentu oleh individu yang berminat.

Syarikat itu diminta agar segera mengumumkan urus niaga terbaru dan semua urus niaga masa depan yang dilakukannya bersama individu yang berminat dalam satu tahun kewangan sekiranya nilai agregat urus niaga sedemikian berjumlah 3 peratus atau lebih daripada aset nyata bersih terkini yang diaudit kumpulan berkenaan.

Aset nyata bersih untuk Trek 2000 dan anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2012 adalah AS$35.1 juta (S$48.2 juta) dan 3 peratus daripadanya adalah AS$1.05 juta (S$1.4 juta).

Trek 2000 dan anak-anak syarikatnya melakukan pelbagai urus niaga dengan T-Data antara Januari 2013 dengan Februari 2013, dengan nilai melebihi AS$1.05 juta setelah penjualan lebih 208,000 keping komponen wafer kepada T-Data.

Trek 2000 dikehendaki untuk membuat pengumuman segera mengenai urus niaga tersebut dan setiap urus niaga berikutnya dengan T-Data yang bernilai S$100,000 dan ke atas pada tahun kewangan itu tetapi gagal melakukannya.

Secara keseluruhan, syarikat Tan dan anak-anak syarikatnya melakukan urus niaga wafer, USB serta komponen lain bernilai AS$12.3 juta (S$16.8 juta) dengan T-Data pada tahun kewangan 2013.

Bagaimanapun, Tan tidak mendedahkan urus niaga itu kepada kumpulan tersebut. Kesalahan itu didapati semasa siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD) terhadap kesalahan berasingan yang dilakukan oleh pihak pengurusan T2000.

Tan akan kembali ke mahkamah bulan depan bagi tuduhan-tuduhan lain, kebanyakannya kerana pemalsuan akaun dengan membuat catatan palsu dalam penyata kewangan syarikat.

Dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$250,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan gagal mendedahkan urus niaga oleh invididu yang berminat di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita