Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas FFFA Nizar Shariff dinobat penerima Anugerah Sukarelawan & Kedermawanan Presiden

Tidak mampu berjalan dan terpaksa berkerusi roda akibat pelbagai penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, dan penyakit ginjal tahap ketiga, langsung tidak mematahkan semangat pengasas badan kemanusiaan Free Food For All (FFFA), Encik Nizar Shariff, daripada membantu golongan yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak mampu berjalan dan terpaksa berkerusi roda akibat pelbagai penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, dan penyakit ginjal tahap ketiga, langsung tidak mematahkan semangat pengasas badan kemanusiaan Free Food For All (FFFA), Encik Nizar Shariff, daripada membantu golongan yang memerlukan.

Ditubuhkan enam tahun lalu, Encik Nizar berkata badan amal itu melalui pelbagai cabaran dan salah satu daripadanya ialah tempoh sekarang ini - di mana masyarakat dibelenggu dengan pandemik COVID-19.

Meski berdepan dengan pelbagai kesempitan sewaktu pandemik, FFFA meningkatkan usaha mendampingi lebih banyak penduduk yang terjejas dan kini sudah membantu lebih daripada 40,000 orang termasuk penduduk kurang bernasib baik, warga tua yang lemah, golongan gelandangan, serta pekerja asing termasuk pekerja Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air.

Atas usahanya itu, beliau dinobatkan sebagai antara penerima Anugerah Presiden bagi Sukarelawan & Kedermawanan dalam satu acara pada Jumaat (16 Okt).

DARI 150 MENJADI 1,000 PENGHANTARAN RUMAH

Selama enam tahun beroperasi badan kebajikan itu sudah melakukan pelbagai cara untuk memastikan golongan yang memerlukan tidak lapar di Singapura.

Hasil sumbangan masyarakat dan kerjasama dengan beberapa agensi, FFFA kata Encik Nizar, giat membuat penghantaran makanan serta barang-barang dapur kepada golongan yang memerlukan.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini, badan tersebut menyaksikan peningkatan penghantaran kepada 1,000 penerima berbanding sehingga 200 setiap bulan sebelum pandemik.

“Cabarannya bagi saya adalah untuk memberi lebih daripada apa yang kita mampu, ini cabaran besar kerana dulu kalau macam tahun lepas, kalau saya dapat berikan 150-200 keluarga saya rasa sudah cukup, sekarang kita sudah naik sampai 1,000 keluarga sebulan hanya kepada makanan yang dihantar kepada rumah-rumah mereka.

“Jadi kebimbangan saya ialah bagaimana untuk kita dapat terus memberi makanan kerana banyak sumber dan pertolongan diperlukan dan kalau tidak dapat bantuan, bagaimana kita nak teruskan, itu kebimbangan kita,” kongsinya dengan pihak BERITAmediacorp.

PENGAJARAN DARI KES CURI WANG TUNAI

Menyentuh tentang harapannya, Encik Nizar berkongsi agar semangat kejiranan dapat dipupuk dan terus hidup dalam masyarakat bagi merapatkan jurang antara golongan memerlukan.

Beliau masih teringat lagi satu kejadian di mana seorang bapa mencuri kad tunai kerana tidak mampu membeli makan untuk keluarganya.

Encik Nizar menarik perhatian insiden itu menunjukkan betapa gentingnya sokongan masyarakat untuk memastikan tidak satu pun keluarga dibiarkan kelaparan.

83% PENERIMA BANTUAN ADALAH MASYARAKAT MUSLIM

Meski badan itu memberi bantuan kepada segenap lapisan masyarakat, 83 peratus penerima bantuannya adalah masyarakat Muslim.

50 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah di bawah usia 35 tahun, yang mempunyai anak kecil berusia antara kurang enam tahun.

"Sekitar 46 peratus adalah warga tua yang tinggal sendirian ataupun ada keluarga tetapi tidak dapat sokongan keluarga jadi kerana itu jalan keluar kami kepada mereka ada pelbagai, ada beri makanan harian, ada membeli barang dapur, ada memberi makanan yang sudah dimasak,"kongsi beliau.

BILANGAN TERTINGGI ANUGERAH

Selain Encik Nizar, 23 individu lain turut menerima anugerah daripada Presiden Halimah Yacob.

Dianjurkan oleh Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Kebangsaan (NVPC), acara tahun ini dijalankan dalam bentuk fizikal dan online.

Buat pertama kalinya tahun ini, NVPC menerima sebanyak 236 pencalonan iaitu peningkatan tiga kali ganda daripada jumlah yang diterima, dua tahun lalu.

Sumbangan mereka meliputi pelbagai aspek termasuk memastikan keselamatan makanan, menyediakan tempat tinggal, memberikan bekalan perubatan serta menyampaikan maklumat penting kepada golongan yang tidak mempunyai akses.

Berucap secara online, Presiden Halimah berkata sumbangan penerima menjadi inspirasi kepada masyarakat dan usaha mereka mencontohi nilai kepedulian dan perpaduan Singapura.

"Pandemik COVID-19 telah menunjukkan semangat terbaik ramai rakyat Singapura. Berdasarkan bulan-bulan yang lalu, saya melihat rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang bersama-sama membantu yang lain. Ia memberi kami inspirasi bahawa pada masa-masa yang paling sukar, sifat peri kemanusiaan tetap ada," kata Presiden Halimah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan