Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengasas bersama Beef Bro dipenjara, sebat kerana serang rakan adik secara seksual

Norvan Tan En Jie dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun 10 bulan dan sebatan lapan kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengasas bersama Beef Bro dipenjara, sebat kerana serang rakan adik secara seksual

Norvan Tan En Jie. (Gambar fail: TODAY/Raj Nadarajan)

SINGAPURA: Seorang lelaki pada Jumaat (5 Ogos) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun 10 bulan dan sebatan lapan kali selepas didapati bersalah menyerang secara seksual rakan adiknya yang berada dalam keadaan mabuk di flat keluarganya.

Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Norvan Tan En Jie, 26 tahun, bersalah pada bulan Julai. Dia minta dibicarakan atas dua tuduhan serangan seksual dengan penembusan dan dua tuduhan mencabul kehormatan.

Tan adalah pengasas bersama perniagaan makanan Singapura Beef Bro.

Identiti mangsa, yang ketika itu berusia 19 tahun, dilindungi atas perintah mahkamah. Beliau juga rakan adik Tan.

Kedua-dua wanita itu pulang ke flat tersebut selepas minum arak semalaman pada awal pagi 26 Disember 2016. Sekitar masa yang sama juga, Tan pulang ke rumah dengan dua rakannya.

Hakim Ang Cheng Hock mendapati Tan menyerang secara seksual mangsa di sofa ruang tamu, di katil adiknya dan di tandas dalam tempoh beberapa minit, sedang adiknya berbual dengan salah seorang rakan Tan di biliknya.

Mangsa mengenal Tan sebagai penyerangnya pada setiap serangan, berdasarkan suara dan tubuh lelaki itu, menurut hakim sebelum ini.

DNA Tan juga ditemui dalam air mani pada bahagian belakang baju mangsa, yang diambil dari bakul baju kotor di dalam tandas.

Adik Tan memberi keterangan sebagai saksi pihak pendakwa tetapi kemudian cuba menarik balik kenyataan yang dibuat dalam mesej kepada mangsa dan kenyataannya kepada polis, yang melibatkan abangnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Yiwen dan Niranjan Ranjakunalan memohon hukuman penjara lebih lama iaitu 10 tahun lima bulan kerana mangsa dalam keadaan lemah disebabkan mabuk.

Mangsa terlalu mabuk sehingga beliau muntah beberapa kali, tidak mampu berbual atau menukar pakaian sendiri dan jatuh dua kali apabila Tan membantunya keluar tandas, kata mereka.

Mereka juga berkata mangsa tidak mempunyai daya untuk menolak atau berkata apa-apa apabila Tan menyerangnya secara seksual dan menutup matanya kerana ia berasa berat, dan hanya dapat membuka mata apabila Tan menyentuh dadanya.

Pihak pendakwa juga menarik perhatian Tan tidak menggunakan kondom semasa serangan itu, yang mendedahkan mangsa kepada penyakit kelamin.

Bagi kesalahan serangan seksual dengan penembusan, Tan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat.

Bagi kesalahan mencabul kehormatan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, sebat atau mana-mana gabungan hukuman.

Pada akhir perbicaraan, Tan berkata dia akan mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Hukumannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan dia diikat jamin dengan jumlah lebih tinggi sebanyak S$95,000.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan