Skip to main content

Singapura

Pengarah syarikat yang songlap lebih S$400,000 dipenjara

Seorang pengarah syarikat yang diberikan dana untuk membiayai satu tempahan sebaliknya berjudi dan menghabiskan sebahagian besar wang tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah syarikat yang songlap lebih S$400,000 dipenjara

Gambar fail Mahkamah Negara Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 19 Feb 2025 04:42PM Dikemas Kini : 19 Feb 2025 04:43PM
SINGAPURA: Seorang pengarah syarikat yang diberikan dana untuk membiayai satu tempahan sebaliknya berjudi dan menghabiskan sebahagian besar wang tersebut.

Hendra Lim Yew Keng, 51 tahun, akhirnya kehilangan jumlah yang lebih banyak daripada yang jumlah yang diseleweng daripada rakan perniagaannya.

Lim, seorang warga Singapura, dihukum penjara dua tahun 10 bulan pada Rabu (19 Feb) selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah jenayah.

Dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat turut diambil kira dalam hukuman ini. Ia berkaitan dengan tindakannya memindahkan pelanggan dari syarikat asalnya ke syarikat baharu yang ditubuhkan.

Lim menubuhkan Bavarian Motors, sebuah syarikat yang mengeksport dan menjual pelincir automotif, bersama dua orang rakan pada Januari 2015. Dia memegang jawatan sebagai pengarah urusan, dan memegang 40 peratus saham syarikat itu.

Pada 2016, Bavarian Motors dibeli Xerone Solutions, yang kemudian memiliki keseluruhan syarikat tersebut.

Lim ditawarkan dan menerima 25 peratus pegangan saham dalam Xerone Solutions. Dia juga kekal sebagai pengarah urusan Bavarian Motors dan menguruskan jualan serta operasinya.

Namun, Lim bimbang pegangan sahamnya dalam Xerone Solutions akan berkurangan, lalu menubuhkan sebuah lagi syarikat, Exlube, pada September 2016. Syarikat itu juga berada dalam pasaran pelincir automotif.

Dia bercadang untuk menjadikan syarikat tersebut sebagai orang tengah antara pelanggan baharu dengan Bavarian Motors. Ini supaya Exlube boleh membuat pembelian daripada Bavarian Motors dan membekalkan produk kepada pelanggan, sambil memperoleh margin keuntungan tambahan.

Lim meminta rakannya menjadi pengarah Exlube walaupun syarikat itu diuruskannya seorang diri. Bermula 1 Januari 2017, Lim merupakan satu-satunya pengarah dan pemegang saham Exlube.

Antara hujung 2016 dan awal 2017, Lim mula berjudi secara berlebihan dan mengalami kerugian. Dia kemudian mengalihkan pelanggan sedia ada Bavarian Motors untuk membuat pembelian daripada Exlube bagi membolehkan dia untuk mendapatkan wang bagi membiayai ketagihan judinya.

Dia tidak mendedahkan pelibatannya dalam Exlube kepada Bavarian Motors.

SELEWENG DANA DARIPADA RAKAN NIAGA

Lim menyeleweng wang daripada seorang rakan perniagaan untuk membiayai tabiat judinya.

Rakan perniagaan tersebut, Encik Ng Zu Sheng, merupakan pengarah sebuah syarikat yang mengimport dan mengeksport bahagian kenderaan.

Encik Ng mengenali Lim sejak 2012, dan syarikatnya merupakan pelanggan Lim.

Sekitar April 2017, Lim menerima pesanan besar daripada seorang pelanggan di China untuk produk petroleum. Namun, pada ketika itu, Exlube hanya mempunyai S$6.05 dalam akaunnya dan tidak mempunyai dana untuk memenuhi pesanan tersebut.

Lim meminta Encik Ng untuk membiayai S$504,468 untuk pesanan itu, dan Encik Ng bersetuju. Lim berjanji akan memulangkan wang itu bersama keuntungan sebanyak lima peratus kepada Encik Ng.

Syarikat Encik Ng memindahkan jumlah tersebut pada 4 Mei 2017. Pada hari yang sama, Lim mengeluarkan S$200,000 daripada jumlah itu, memasukkan separuh ke dalam akaun Bavarian Motors dan separuh lagi ke akaunnya di kasino Resorts World Sentosa untuk berjudi.

Keesokan harinya, dia mengeluarkan lagi S$304,000 untuk berjudi di kedua-dua kasino Resorts World Sentosa dan Marina Bay Sands. Secara keseluruhan, Lim telah menyalahgunakan S$404,000 untuk berjudi.

Lim mengalami kerugian lebih daripada S$800,000 antara 5 Mei hingga 8 Mei 2017 akibat perjudian.

Apabila Encik Ng bertanya mengenai tempahan tersebut, Lim mendakwa terdapat kelewatan dalam bekalan produk. Dia kemudian berbohong bahawa dana itu digunakan untuk membeli produk daripada Bavarian Motors, tetapi syarikat itu enggan melepaskannya disebabkan konflik dalaman dengan rakan perniagaannya.

Dia berulang kali berbohong bahawa wang tersebut dipindahkan ke Bavarian Motors.

Akhirnya, syarikat Encik Ng memfailkan saman sivil terhadap Lim bagi menuntut semula wang tersebut, dan Lim mengisytiharkan dirinya muflis.

Saman sivil itu kemudian dihentikan, dan Encik Ng membuat laporan polis pada 18 September 2019 berhubung penyalahgunaan dana tersebut.

Lim masih belum membayar balik wang kepada syarikat Encik Ng.

Hakim Daerah Salina Ishak berkata bahawa prinsip hukuman utama dalam kes Lim adalah pencegahan umum dan khusus.

Beliau menekankan bagaimana Lim berulang kali berbohong dengan rakan perniagaannya dan tidak membuat sebarang pembayaran balik.

Bagi kesalahan pecah amanah jenayah, Lim boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita