Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengarah syarikat dipenjara 10 hari, orang pertama disabit kesalahan beri kenyataan palsu kepada IRAS

Pengarah sebuah syarikat yang diberi kontrak untuk melakukan kerja-kerja besi dan elektrik menjadi orang pertama disabit kesalahan pada Jumaat (18 Dis) kerana memberi kenyataan palsu kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) semasa siasatan jenayah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah syarikat dipenjara 10 hari, orang pertama disabit kesalahan beri kenyataan palsu kepada IRAS

Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 18 Dec 2020 09:16PM Dikemas Kini : 18 Dec 2020 09:19PM

SINGAPURA: Pengarah sebuah syarikat yang diberi kontrak untuk melakukan kerja-kerja besi dan elektrik menjadi orang pertama disabit kesalahan pada Jumaat (18 Dis) kerana memberi kenyataan palsu kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) semasa siasatan jenayah.

Law Yu Hong, 53 tahun yang merupakan pengarah syarikat Ho Sin, dihukum penjara 10 hari dan didenda S$5,000 atas dua kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Dia juga harus membayar denda sebanyak S$38,400, dua kali jumlah bayaran tunai yang tidak sepatutnya diterima di bawah skim Kredit Produktiviti dan Inovasi (PIC). Skim itu diperkenalkan pada 2010, bagi membolehkan perniagaan mendapat potongan cukai dan elaun bagi pembelanjaan tertentu.

Law mengaku menghubungi dalang satu skim penipuan PIC - Ng Cheow Chai, yang mencadangkan kepada Law supaya membuat tuntutan PIC lebih tinggi daripada sepatutnya kepada IRAS agar menerima bayaran lebih tinggi.

Dengan cara ini, syarikat Law tidak perlu membayar sesen pun bagi mesin yang ingin dibeli daripada Ng, Pengarah Urusan SMS Machinery.

SMS Machinery mengeluarkan invois dengan jumlah lebih tinggi kepada syarikat Law sebanyak S$80,000 bagi mesin yang berharga S$48,000.

Law kemudian buat aturan bagi SMS Machinery mengembalikan perbezaan jumlah tersebut kepada Adept Machinery, sebuah lagi syarikat yang juga dikendalikan Law.

Tidak lama selepas syarikat Law membuat tuntutan PIC palsu kepada IRAS pada April 2016, pihak berkuasa memeriksa tuntutan tersebut dan meminta penjelasan lebih terperinci.

Law dipanggil ke pejabat IRAS untuk memberi kenyataan di bawah undang-undang dan ditunjukkan harga palsu, invois dan pesanan penghantaran palsu di bawah urusan bayar balik yang dibuat Law bersama Adept Machinery.

Law berbohong bahawa syarikatnya membekalkan bahan-bahan itu kepada Adept Machinery, dan mengesahkan bahawa syarikatnya membekalkan dan memasang bahan-bahan tersebut menjadi alat mesin dan menghantarnya ke Adept Machinery.

Law kemudian mengaku dia telah berbohong dan mengesahkan syarikatnya tidak membekalkan bahan-bahan tersebut.

Ng sudah pun dikenakan hukuman penjara 46 bulan dan denda S$5.75 juta pada Mac lalu kerana membantu 83 perniagaan memberi tuntutan palsu di bawah skim PIC.

IRAS menyatakan ia memandang serius terhadap sesiapa sahaja yang sengaja memberi maklumat palsu atau mengelirukan kepada IRAS atau cuba menipu pemerintah.

Sesiapa yang didapati bersalah memberi maklumat palsu kepada IRAS boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya.  

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan