Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengarah syarikat dihukum penjara 27 bulan; terjebak pengubahan wang haram S$500,000

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 27 bulan pada Rabu (30 Mac) kerana membantu para penipu menjalankan pengubahan wang haram bernilai lebih setengah juta dolar daripada hasil jenayah melalui penipuan emel.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 27 bulan pada Rabu (30 Mac) kerana membantu para penipu menjalankan pengubahan wang haram bernilai lebih setengah juta dolar daripada hasil jenayah melalui penipuan emel.

Apabila para penyiasat daripada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena, Mohd Jamail Khan Banakhani Shafi Khan, menyerahkan perjanjian palsu kepada para pegawai CAD untuk mewajarkan penerimaan dana itu pada 2016 dan 2017.

Jamail yang berusia 56 tahun adalah pengarah syarikat Jars Technology dan Jars Investments & Holdings ketika melakukan kesalahan-kesalahan tersebut. Daripada hasil jenayah yang diterimanya, Jamail menggunakan kira-kira S$59,000 untuk kegunaan peribadi.

KESALAHAN

Mahkamah diberitahu bahawa Jars Technology menerima dua bayaran masing-masing sekitar S$141,000 dan S$325,000 ke dalam akaun bank Standard Chartered pada 23 Mei dan 10 Jun 2016.

Pindahan wang itu dilakukan oleh syarikat Vietnam, Trading Scientific Technological Materials (Tramat). Pindahan wang itu sebagai bayaran kepada syarikat lain, Shimadzu (Asia Pasifik) bagi perkakas makmal.

Tramat sebelum itu menerima kiriman emel palsu yang dihantar menggunakan alamat emel dengan nama domain "@sg-shimadzu.com" yang serupa dengan alamat emel sebenar seorang pekerja Shimadzu.

Emel-emel palsu itu mengandungi arahan untuk Tramat membuat bayaran kepada akaun bank Standard Chartered milik Jar Technology dan bukan akaun bank Shimadzu.

Jamail adalah "dalang" Jars Technology yang merupakan satu-satunya penandatangan yang diberi kuasa ke atas akaun bank berkenaan yang digunakan untuk menerima bayaran tersebut, menurut pihak pendakwa.

Menurut Jamail, dia menerima bayaran berkaitan dengan pelaburan bernilai AS$3.5 juta (S$4.7 juta) daripada seorang lelaki bernama Chinazaepere Raphael Okoli untuk membeli sebuah hartanah pegangan bebas di Singapura.

Ini meskipun Jamail tidak mempunyai pengalaman atau kelayakan dalam bidang pelaburan hartanah dan Jamail sendiri "berasa pelik apabila seseorang yang tidak pernah ditemuinya akan mempercayainya dengan pelaburan sebesar itu", menurut pihak pendakwa lagi.

Daripada bayaran yang diterima dari Tramat, Jamail memindahkan S$17,000 ke akaun pinjamannya sendiri, S$4,000 ke akaun peribadinya dan mengeluarkan S$10,000 untuk perbelanjaan peribadi. Jamail juga mengeluarkan dua cek bernilai lebih S$28,000 kepada sebuah syarikat kenderaan.

Apabila pengarah Tramat mendapat tahu bahawa Shimadzu tidak menerima bayaran tersebut dan emel-emel palsu itu bukan daripada seorang pekerja Shimadzu, beliau membuat aduan polis di Singapura pada 20 Jun 2016.

Setelah aduan polis dibuat, Jamail memalsukan perjanjian pelaburan antara Tramat dan Jars Investments menggunakan tandatangan elektronik Okoli.

Jamail menyerahkan dokumen tersebut kepada seorang penyiasat CAD untuk memperdayakannya supaya penyiasat wanita itu mempercayai bahawa terdapat perjanjian pelaburan yang tulen antara kedua-dua syarikat tersebut, dan perbuatannya itu menghalang proses keadilan, menurut pihak pendakwa.

Pada Mei 2017, Jamail sekali lagi menerima wang sebanyak S$67,000 sebagai hasil jenayah daripada skim penipuan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Wei Liang mengusulkan hukuman penjara selama 30 bulan sambil merujuk kepada jumlah wang yang begitu besar terlibat dalam kes berkenaan dan tempoh yang berpanjangan melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

Encik Lee juga menarik perhatian bahawa Jamail masih berurus niaga dengan individu-individu yang mencurigakan, sekalipun dia telah diberi notis tentang individu-individu tersebut.

Peguam bela Sofia Bakhash meminta hukuman penjara tidak lebih daripada 20 bulan. Beliau berkata Jamail adalah seorang pemandu yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan harta dan kesalahan-kesalahan yang dilakukannya tidak "rumit".

Cik Sofia juga menekankan bahawa meskipun jumlah wang yang terlibat adalah besar, hanya kira-kira S$59,000 digunakan oleh Jamail untuk kegunaan peribadi dan sebahagian besar wang itu digunakan untuk melunaskan hutangnya.

Hakim Daerah Christopher Goh bagaimanapun menolak hujah pihak pembela yang mendakwa bahawa bahaya yang disebabkan oleh tindakan Jamail adalah rendah.

Hakim membenarkan hukuman penjara Jamail ditunda sehingga selepas Hari Raya Puasa.

Sumber : CNA/NY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan