Pengarah syarikat didenda kerana ubah bukti lokasi kejadian susuli kemalangan maut di tempat kerja
Seorang pengarah syarikat dikenakan denda S$8,000 pada Khamis (20 Mac) selepas dia mengarahkan seorang pekerja untuk mengubah bukti lokasi kejadian kemalangan maut di tempat kerja.
Bangunan Mahkamah Negeri di Singapura. (Gambar fail: CNA TODAY)
- Lim Choon Hwee, 49 tahun, adalah pengarah Dyna-Log Singapore, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan logistik, termasuk memuat, memunggah dan mengangkut kontena, ketika kematian tersebut berlaku pada 2018.
- Lim dikenakan tuduhan kerana mengubah tempat kejadian kemalangan dengan mengarahkan seorang pengawal dari syarikat itu untuk menggantikan selipar yang dipakai pekerja itu dengan sepasang but keselamatan.
- Pekerja yang maut ialah Encik Yong Him Chong, seorang pengurus operasi di Dyna-Log Singapore.
- Hakim Daerah Salina Ishak mengatakan bahawa pencegahan adalah pertimbangan utama bagi hukuman yang dijatuhkan.
Lim Choon Hwee, 49 tahun, adalah pengarah Dyna-Log Singapore, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan logistik, termasuk memuat, memunggah dan mengangkut kontena, ketika kematian tersebut berlaku pada 2018. Syarikat itu beroperasi dari West Connect Building di Boon Lay.
Dyna-Log Singapore didenda S$200,000 atas kemalangan tersebut, yang mengakibatkan kematian salah seorang pekerjanya.
Lim dan Dyna-Log Singapore dikenakan tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja. Dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadap dirinya. Lim turut mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadap Dynan-Log Singapore sebagai wakil syarikat terbabit.
Lim dikenakan tuduhan kerana mengubah tempat kejadian kemalangan dengan mengarahkan seorang pengawal dari syarikat itu untuk menggantikan selipar yang dipakai pekerja itu dengan sepasang but keselamatan.
Manakala, tuduhan ke atas syarikat itu pula adalah atas kegagalannya dalam memastikan langkah-langkah keselamatan diambil. Ini termasuk kegagalan dalam memastikan penilaian risiko yang mencukupi dan arahan kerja selamat diterapkan dan ditetapkan bagi operasi pengumpulan, penghantaran atau pengendalian trak angkat susun atau "forklift", di samping kegagalan dalam menyampaikan penilaian risiko dan arahan kerja selamat yang sedia ada kepada pekerja yang melakukan kerja-kerja tersebut.
Pekerja yang maut ialah Encik Yong Him Chong, seorang pengurus operasi di Dyna-Log Singapore.
Pada 22 November 2018, Encik Yong berdiri di belakang sebuah kontena untuk memeriksa dan mengesahkan kandungannya. Sebagai sebahagian daripada tugasnya, Encik Yong akan mengira muatan tersebut.
Dia mengendalikan trak angkat susun untuk mengenepikan barangan yang disimpan berhampiran kontena tersebut dan membuka pintu kanannya untuk mengambil gambar barangan di dalam kontena itu. Namun, apabila dia membuka pintu kiri kontena, sebungkus kepingan getah seberat 577kg terjatuh dan menindihnya ke tanah.
Dia ditemui rakan-rakan sekerja tetapi kemudiannya disahkan meninggal di tempat kejadian oleh paramedik.
Hasil bedah siasat mendapati bahawa Encik Yong meninggal dunia akibat asfiksia traumatik - atau lemas - konsisten dengan dirinya yang dihempap objek berat.
Berdasarkan gambar-gambar yang dipetik Encik Yong sebelum kejadian itu, bungkusan yang menindihnya tidak disusun dengan stabil dan berkemungkinan teranjak semasa digerakkan, menurut dokumen mahkamah.
Semasa kemalangan itu, Encik Yong memakai sepasang selipar, yang melanggar langkah-langkah keselamatan Dyna-Log Singapore.
Lim mengarahkan pengawal untuk meletakkan sepasang but keselamatan berhampiran mayat Encik Yong dan membawa seliparnya ke pejabat mereka.
Rakaman televisyen litar tertutup merakam tindakan pengawal itu yang membawa sepasang but keselamatan ke tempat kejadian kemalangan dan meninggalkan tempat itu dengan membawa bersamanya sepasang selipar.
Siasatan mendapati bahawa Dyna-Log Singapore telah menjalankan penilaian risiko dan menetapkan arahan kerja selamat untuk operasi pengumpulan, penghantaran dan pengendalian trak angkat susun di tempat kerja. Walau bagaimanapun, langkah kawalan tidak dipatuhi, dan Encik Yong tidak diberi taklimat mengenai bahaya yang berpotensi berkaitan dengan akses ke dek kenderaan dan muatannya.
Seorang pendakwa Kementerian Tenaga Manusia berkata bahawa Lim mengarahkan pengawal untuk meletakkan but berhampiran mayat Encik Yong untuk mengelirukan penyiasat dengan mengubah tempat kejadian kemalangan.
Bagaimanapun, peguam Lim, Anand George dari IRB Law mengatakan bahawa menggambarkan tindakan tersebut sebagai percubaan untuk mengelirukan pihak berkuasa adalah "keterlaluan". Dia memohon denda sebanyak S$5,000 terhadap Lim dan denda sebanyak S$100,000 bagi syarikat terbabit.
Hakim Daerah Salina Ishak mengatakan bahawa pencegahan adalah pertimbangan utama bagi hukuman yang dijatuhkan.
Beliau mengatakan tindakan Lim yang secara peribadi mengarahkan pengawal untuk meletakkan sepasang but keselamatan di tempat kejadian kemalangan dan membawa selipar Encik Yong ke pejabat, mempunyai kesan yang mengubah tempat kejadian.
Beliau bersetuju dengan pendakwaan bahawa ia adalah "percubaan jelas untuk mengelirukan penyiasat" dengan mengubah tempat kejadian, menjejaskan proses penyiasatan.
Ia berpotensi menghalang usaha bagi melindungi nyawa pekerja dan boleh menggalakkan pihak lain untuk cuba mengelak tanggungjawab dengan cara yang sama, tambah Hakim Salina.
Secara keseluruhannya, tindakan sedemikian boleh menghakis keberkesanan Akta Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.