Skip to main content

Singapura

Pengarah syarikat didakwa tipu IRAS dapat wang skim sokongan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah syarikat didakwa tipu IRAS dapat wang skim sokongan COVID-19

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 20 Mar 2025 03:10PM Dikemas Kini : 20 Mar 2025 03:13PM
SINGAPURA: Seorang pengarah syarikat didakwa pada Khamis (20 Mac) kerana menipu Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) untuk mendapatkan bayaran di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) semasa pandemik COVID-19.

Eng Kar Keng, 44 tahun, turut dikenakan enam tuduhan cuba menipu, memalsukan akaun dan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

Skim Bantuan Pekerjaan yang ditadbir IRAS, diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 untuk memberi sokongan gaji kepada majikan supaya mereka dapat mengekalkan pekerja tempatan mereka.

Di bawah skim tersebut, pemerintah membiayai bersama 25 peratus hingga 75 peratus daripada gaji bulanan kasar yang dibayar kepada setiap pekerja tempatan melalui geran tunai.

Menurut polis, untuk memastikan pembayaran skim tersebut diagihkan secara adil dan betul, IRAS menjalankan semakan terhadap kes berisiko tinggi menggunakan analitik data dan maklumat daripada orang ramai. Ia kemudian menyesuaikan atau menolak pembayaran kepada majikan yang tidak dapat membuktikan kelayakan mereka.

Menurut kertas pertuduhan, Eng adalah pengarah tunggal syarikat Fresh Cars.

Pada 15 Mei 2020, Eng didakwa menipu IRAS dengan membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi dua pekerja Fresh Cars berdasarkan gaji yang ditetapkan pada jumlah lebih tinggi sebanyak S$4,600 dan S$3,600 untuk April 2020.

Tindakan itu menyebabkan IRAS membayar S$2,450 kepada Fresh Cars untuk seorang pekerja dan S$2,700 untuk pekerja yang lain sebagai bayaran di bawah skim bantuan pekerjaan.

Eng kemudian didakwa cuba menipu IRAS dengan meletakkan gaji lebih tinggi bagi empat pekerja untuk bulan Mei hingga Ogos 2020.

Eng berniat untuk menipu IRAS mengeluarkan bayaran daripada JSS sebanyak S$33,719, menurut kertas pertuduhan. Jumlah tersebut ditahan oleh IRAS, menurut polis dalam satu kenyataan pada Rabu.

Apabila diminta untuk membuktikan gaji pekerja, Eng didakwa memalsukan surat gaji empat pekerja berkenaan bagi bulan Mei hingga Ogos 2020 dan menyerahkannya kepada IRAS.

Eng kemudian didakwa mengarahkan dua pekerja pada tahun 2021 untuk berbohong kepada pegawai IRAS mengenai gaji mereka.

Eng tidak berniat membuat rayuan selepas didakwa. Dia berkata akan melantik peguam untuk mewakilinya.

Kesnya akan disebut lagi pada 17 April.

Jika disabitkan kesalahan menipu dan cuba untuk menipu, Eng boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Bagi kesalahan memalsukan akaun dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda, atau kedua-duanya.

Mereka yang didapati bersalah memberikan maklumat palsu kepada pegawai awam boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita