Pengarah Sweetlands Childcare didakwa keluarkan lebih $170,000 dari akaun CDA
Salah seorang daripada dua pengarah rangkaian pusat jagaan kanak-kanak Sweetlands Childcare dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (30 Jun), kira-kira lima tahun selepas siasatan dilancarkan terhadap perbuatan mengeluarkan dana daripada sejumlah Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA).

Gambar fail TODAY.
SINGAPURA: Salah seorang daripada dua pengarah rangkaian pusat jagaan kanak-kanak Sweetlands Childcare dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (30 Jun), kira-kira lima tahun selepas siasatan dilancarkan terhadap perbuatan mengeluarkan dana daripada sejumlah Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) milik beberapa orang kanak-kanak.
Chan Chew Shia, yang berusia 57 tahun pada Rabu (1 Jul), dikenakan 198 tuduhan di bawah Peraturan Simpanan Bersama Pembangunan Kanak-Kanak.
Warga Singapura itu dituduh mengeluarkan sekitar S$171,000 daripada 34 akaun antara Ogos 2011 hingga Mei 2015, menurut pemeriksaan Mediacorp. Wang yang dikeluarkan secara peribadi adalah antara S$200 dengan S$2,000.
Dokumen-dokumen mahkamah turut mendedahkan bahawa dia dipercayai bersubahat dengan beberapa orang pemegang amanah akaun-akaun tersebut, dengan sebilangan daripada mereka menguruskan lebih daripada satu akaun.
Namun tidak jelas mengapa dia berbuat demikian, atau sama ada suaminya Ho Boon Hong, juga seorang pengarah Sweetlands, akan dikenakan tindakan undang-undang.
Chan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 4 Ogos. Jika didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan para pemegang amanah akaun CDA untuk mengeluarkan dana tanpa kebenaran, dia boleh dikenakan denda sehingga S$20,000 bagi setiap tuduhan.
Pada Oktober 2015, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan bahawa Chan dan Encik Ho akan dilucutkan daripada status mereka sebagai Individu Diluluskan bagi syarikat itu.
Individu Diluluskan adalah individu daripada institusi-institusi bertauliah yang berdaftar dengan MSF dan mereka dibenarkan membuat potongan daripada CDA untuk membayar yuran khidmat jagaan kanak-kanak dan yuran-yuran berkaitan.
Mereka juga perlu memastikan agar dana yang dikeluarkan itu dibenarkan oleh pihak ibu bapa dan digunakan untuk kanak-kanak tersebut atau adik-beradiknya.
Setiap dolar yang disalurkan oleh para ibu bapa ke dalam akaun CDA akan dipadankan oleh Pemerintah, dengan hadnya ditetapkan antara S$6,000 dengan S$18,000.
Ia juga merupakan kali pertama MSF menarik balik status Individu Diluluskan daripada seseorang yang mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak.
Audit yang dijalankan oleh MSF sebelum ini mendapati pasangan itu bukan saja mengeluarkan dana daripada CDA tanpa kebenaran, tetapi juga membuat tuntutan palsu bagi subsidi jagaan kanak-kanak daripada Pemerintah.
Buat masa ini, Sweetlands Childcare masih mengendalikan 11 pusat di bahagian utara, timur laut dan barat Singapura.
10 daripada 11 pusat Sweetlands dikendalikan oleh Chan manakala bakinya dikendalikan oleh Encik Ho.
Mediacorp sudah menghubungi MSF untuk mendapatkan komen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.