Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengarah SLA warga S'pura pertama terajui pasukan pakar geospatial PBB

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengarah Penguasa Tanah Singapura (SLA) menjadi warga Singapura yang pertama untuk dilantik sebagai pengerusi bersama Kumpulan Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah. 

Dr Victor Koo, pengarah tinjauan dan geomatik di SLA, akan menyandang jawatan tersebut selama tiga tahun bermula dari Ogos, menurut penguasa berkenaan dalam kenyataan medianya pada Selasa (27 Sep). 

Diasaskan pada 2015, Kumpulan Pakar PBB itu diwakili oleh para pakar geospatial dari lebih 28 negara Eropah, Amerika Selatan, Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik. 

Data geospatial dikaitkan secara langsung dengan lokasi geografi tertentu dan biasanya dipaparkan pada peta. 

SLA menggalak penggunaan teknologi geospatial sebagai sebahagian daripada inisiatif Negara Bijak. 

Menurut SLA, pelantikan Dr Khoo merupakan satu "pengiktirafan hebat" atas pencapaian Singapura dalam bidang pentadbiran dan pengurusan tanah serta pendigitalan pemilikan tanah. 

"Pelantikan ini juga meletakkan Singapura sebagai pusat penggubalan dasar geospatial sejagat dan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai sebuah hab global bagi aktiviti inovasi dan ekonomi geospatial," menurut SLA. 

Sedang negara-negara berusaha untuk menangani kesan perubahan iklim, data lokasi yang diperolehi melalui peta juga terbukti penting dalam menghuraikan isu-isu sedemikian. 

Dr Khoo dan pasukan dari Singapura akan berkongsi dengan Kumpulan Pakar PBB tentang pengalaman Singapura memeta alam sekitar dalam bentuk 3D untuk menghasilkan data geospatial dan model-model bandar 3D, menurut SLA lagi. 

Ia akan meliputi inisiatif dalam pemuliharaan pantai, pemasangan panel suria serta membina persekitaran yang mesra alam. 

"Teknologi geospatial boleh membantu menghuraikan beberapa isu perubahan iklim yang amat ketara seperti paras air laut yang semakin meningkat dan kerosakan pantai," kata Dr Khoo. 

Ketua Eksekutif SLA Colin Low berkata, pelaburan dalam keupayaan geospatial "membawa faedah sosial dan ekonomi kepada rakyat Singapura dan perniagaan mereka". 

SLA menyatakan ia akan terus meneroka peluang kerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi merangsang penggunaan teknologi geospatial untuk mengurangkan kesan perubahan iklim. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan