Pengarah penggerak pasaran komersial mengaku salah dalam konspirasi atur harga dan pasaran
Seorang pengarah tunggal sebuah syarikat yang menyediakan khidmat penggerak pasaran komersial untuk sekuriti terlibat dalam empat konspirasi untuk memanipulasi pasaran atau harga saham atau unit kaunter yang tersenarai di Bursa Saham Singapura (SGX).
Gambar yang menunjukkan papan tanda SGX pada 19 Julai 2017. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)
Melalui pelibatannya, syarikatnya GTC memperoleh S$3.48 juta dalam bentuk yuran daripada khidmat penggerak pasaran tersebut.
Huang Yiwen, seorang warga Singapura berusia 41 tahun, mengaku bersalah pada Rabu (23 Jul) atas 24 pertuduhan di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan, dengan 88 lagi pertuduhan akan dipertimbangkan semasa hukuman.
Mahkamah mendengarkan bahawa Huang, yang juga dikenali sebagai Leo, adalah pengarah tunggal, pemegang saham dan pengendali GTC Group dan memegang Ijazah Sarjana dalam Kewangan dari Universiti New York.
Peranan penggerak pasaran adalah untuk terus menyediakan kedua-dua sebut harga bidaan dan permintaan untuk sekuriti tertentu, membantu menyediakan kecairan dan mengurangkan ketidaktentuan dalam sekuriti tersebut.
Sebagai balasan, penggerak pasaran memperoleh keuntungan daripada perbezaan antara harga bidaan dengan jualan, dan juga boleh menerima komisen daripada pengeluar sekuriti tersebut.
Walaupun SGX membenarkan syarikat untuk melantik penggerak pasaran bagi menyediakan kecairan di pasaran, seorang penggerak pasaran tidak dibenarkan melakukan apa-apa yang boleh mencipta penampilan palsu atau mengelirukan berhubung perdagangan aktif.
Namun, apabila pegawai-pegawai dari tiga syarikat yang disenaraikan yang melantik Huang meminta untuk mengatur harga sekuriti mereka, dia melakukannya.
Menggunakan kepakarannya, dia mencipta penampilan palsu bagi harga sekuriti tersebut.
Antara kaedah yang digunakan termasuk teknik "menandakan penutupan (marking the close)", dengan membeli sejumlah kecil saham pada penghujung setiap hari perdagangan untuk menaikkan harga dan memastikan harga penutupan yang menguntungkan pada hari tersebut.
Bagi mencipta gambaran baik tentang prestasinya sebagai penggerak pasaran dan menarik pemain pasaran yang sebenar untuk berdagang, Huang melibatkan dua wakil berlesen untuk melakukan perdagangan silang saham dengannya untuk mencipta volum perdagangan palsu dalam lima entiti yang disenaraikan, tanpa sebarang perubahan sebenar dalam pemilikan berfaedah.
Pihak pendakwaan mengatakan Huang adalah dalang konspirasi tersebut, memberikan arahan kepada dua wakil berlesen terbabit dan menjanjikan keuntungan atas pelibatan mereka.
Empat konspirasi tersebut melibatkan tiga skim bagi tiga syarikat: New Silkroutes Group dan Tee International Limited, kedua-dua syarikat disenaraikan di SGX, dan AGV Group Limited, sebuah syarikat yang disenaraikan di papan Catalist SGX.
Para pegawai dari syarikat-syarikat tersebut turut didakwa bersama Huang. Mereka termasuk: Ketua Eksekutif New Silkroutes Group pada ketika itu, Goh Jin Hian, 56 tahun, yang merupakan anak lelaki mantan perdana menteri Goh Chok Tong; Ketua Eksekutif Tee International pada ketika itu, Phua Chian Kin, 65; dan Ketua Eksekutif AGV pada ketika itu, Ang Nam Wah Albert, 58 tahun.
Konspirasi keempat adalah skim perdagangan silang yang melibatkan dua lelaki lain yang didekati oleh Huang: Tay Sze Chien, seorang wakil perdagangan berusia 41 tahun dengan Philip Securities, dan Tan Wei Liang, seorang wakil perdagangan berusia 46 tahun dengan Maybank Kim Eng Securities.
Huang mendekati lelaki-lelaki tersebut untuk membantu meningkatkan jumlah dagangan kaunter pelanggan-pelanggannya, kerana kecairan kaunter-kaunter tersebut lemah.
Lelaki-lelaki tersebut boleh membeli saham dan unit dari Huang di pasaran sebelum menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi, membolehkan mereka mendapatkan keuntungan daripada perdagangan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya David Koh dan Sheldon Lim berkata Huang menyalahgunakan kedudukannya sebagai penggerak pasaran komersial dan didorong oleh "keuntungan peribadi yang ketara yang boleh diperolehinya", kerana GTC memperoleh lebih daripada S$3 juta dalam bentuk yuran daripada syarikat-syarikat tersebut sepanjang tempoh itu.
Tindakan Huang menyebabkan "gangguan teruk" kepada pasaran bagi kaunter-kaunter berkenaan, tambah pendakwa raya, yang memohon hukuman penjara sekitar 27 bulan dan enam minggu bagi Huang.
Dia akan kembali ke mahkamah pada Ogos untuk dijatuhi hukuman.
Kes bagi beberapa tertuduh lain masih belum selesai, termasuk kes Goh. Bekas pengarah kewangan New Silkroutes Group, Teo Thiam Chuan William, sudah dijatuhi hukuman penjara tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.