Skip to main content

Singapura

Pengarah Eksekutif AWARE Corinna Lim undur diri selepas 16 tahun; Lim Shoon Yin ambil alih jawatan

Pertubuhan hak asasi wanita, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), menyaksikan perubahan pada tampuk kepimpinannya pada 1 Januari 2026.
Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah Eksekutif AWARE Corinna Lim undur diri selepas 16 tahun; Lim Shoon Yin ambil alih jawatan
Cik Corinna Lim (kanan) dan Cik Lim Shoon Yin (kiri). (Gambar: AWARE Singapore)
Diterbitkan : 01 Jan 2026 09:52AM
SINGAPURA: Pertubuhan hak asasi wanita, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), menyaksikan perubahan pada tampuk kepimpinannya pada 1 Januari 2026.

Corinna Lim, 61 tahun, akan melepaskan jawatannya selepas 16 tahun berkhidmat sebagai pengarah eksekutif AWARE. Beliau akan digantikan oleh Lim Shoon Yin, 50 tahun, seorang pakar kepelbagaian, ekuiti dan inklusiviti (DEI).

Cik Corinna Lim akan terus berperanan sebagai penasihat selama enam bulan sebelum melepaskan peranan kepimpinan tersebut sepenuhnya.

Ditubuhkan pada 1985, AWARE menjalankan penyelidikan dan advokasi berhubung isu-isu yang menjejaskan kaum wanita di Singapura, termasuk diskriminasi di tempat kerja dan gangguan seksual, kemiskinan yang dihadapi wanita lanjut usia, serta pematuhan Singapura terhadap piawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan kesaksamaan jantina.

Cik Corinna Lim, yang terlatih sebagai seorang peguam dan memiliki ijazah sarjana pentadbiran awam dari Universiti Columbia, menyertai AWARE sebagai relawan pada 1992, dengan menawarkan khidmat kaunseling undang-undang secara pro bono kepada para wanita yang berdepan gangguan di tempat kerja dan penderaan rumah tangga.

Beliau menyedari bagaimana kaum wanita daripada latar belakang yang kurang berkemampuan menderita kerana tidak mampu mendapatkan nasihat guaman.

Beliau kemudian meninggalkan bidang guaman korporat untuk menumpukan perhatian kepada usaha memperjuangkan hak asasi wanita sebelum berkhidmat sebagai setiausaha kehormat AWARE pada 2006 dan seterusnya menjadi pengarah eksekutif pertama pertubuhan tersebut pada 2010.

Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, AWARE meningkatkan jumlah kakitangan sepenuh masa kepada lebih 30 orang serta memperluaskan penyelidikan, advokasi dan perkhidmatan sokongannya.

Ini termasuk penubuhan Pusat Penjagaan Mangsa Serangan Seksual di Dover Crescent, serta pelancaran Catalyse, cabang latihan korporat pertubuhan tersebut yang memberi tumpuan kepada kesaksamaan jantina di tempat kerja.

Di bawah tampuk kepimpinan Cik Corinna Lim, AWARE turut menyumbang kepada penggubalan rang undang-undang dan perubahan dasar dalam beberapa bidang seperti perlindungan di tempat kerja, cuti paterniti/cuti bapa, akses perumahan bagi ibu tunggal, serta perlindungan undang-undang bagi mangsa keganasan seksual.

“AWARE bukan tertumpu kepada seseorang individu – ia sentiasa tentang mereka yang enggan menerima ketidaksamaan sebagai sesuatu yang normal,” kata Cik Corinna Lim.

“Saya berasa bertuah dapat berkhidmat bersama rakan-rakan sekerja, rakan kongsi dan penyokong yang sanggup berdepan persoalan sukar dan berusaha untuk membawa perubahan dari semasa ke semasa. Rasanya inilah masa yang tepat untuk menyerahkan tampuk kepimpinan.”

Mengambil alih jawatan tersebut ialah Lim Shoon Yin, yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang DEI sektor swasta.

Beliau pernah memegang jawatan kanan di Shell, Microsoft dan syarikat wangian Switzerland, Givaudan, dan yang terkini berkhidmat sebagai ketua DEI global di sebuah syarikat penasihat kepimpinan, Russell Reynolds Associates.

Di Shell, beliau menubuhkan bilik penyusuan pertama syarikat itu pada 2006 dan turut mengasaskan rangkaian wanita Shell di Singapura. Di Microsoft dan Givaudan, beliau terlibat dalam penggubalan dasar dan inisiatif bagi menyokong kemajuan wanita Asia dalam syarikat berbilang negara yang lain.

“Walaupun beliau tidak pernah terlibat secara langsung dengan AWARE sebelum ini, pengalaman bertahun-tahun Lim Shoon Yin dalam mempromosikan kepelbagaian dan ekuiti dalam sektor swasta sejajar dengan matlamat pertubuhan itu dan akan menjadi berharga dalam menangani isu jantina hari ini,” kata seorang wakil AWARE kepada Mediacorp.

Cik Lim Shoon Yin berkata: “Saya telah lama mengagumi usaha AWARE, khususnya kesediaannya mengetengahkan masalah berstruktur dan berdiri teguh bersama mereka yang paling terkesan.

“Saya mengalu-alukan peluang untuk mendengar dengan teliti, belajar daripada pasukan saya serta masyarakat kita, dan bekerjasama dengan banyak pihak lain untuk memajukan kesaksamaan jantina secara praktikal, penuh harapan dan berlandaskan realiti kehidupan masyarakat.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita