Pengarah bengkel kereta didenda S$6,000, benarkan pekerja ubah suai kenderaan secara haram
Anggaran Waktu Membaca:

Man Exhaust Werkz. (Tangkapan skrin: Google Street View)
SINGAPURA: Pengarah bengkel kereta didenda S$6,000 oleh sebuah mahkamah pada Khamis lalu (2 Mac) kerana membenarkan pekerja-pekerjanya, termasuk ahli keluarganya, mengubah suai secara haram sistem ekzos kenderaan untuk pelanggan-pelanggannya.
Pengarah tunggal Man Exhaust Werkz, Muhammad Shahrudin Mat Nooh, berusia 30 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan membenarkan pengubahansuaian secara haram.
Seorang pelanggan bengkel kereta tersebut, Sulaiman Mohamed, ingin mengubah suai sistem ekzos kenderaannya untuk meningkatkan keupayaan penggunaan minyak kenderaannya itu.
Dia mendapatkan khidmat tersebut di bengkel berkenaan, yang terletak di Pusat First East di 10 Kaki Bukit Road, pada awal tahun lalu.
Apabila Sulaiman menyedari bahawa dia harus menghantar kenderaannya untuk menjalani pemeriksaan pada Februari tahun lalu, dia pun membawa kenderaannya itu kembali ke bengkel tersebut untuk menggantikan sistem ekzos yang diubah suai tersebut dengan sistem ekzos yang mematuhi peraturan sebelum menghantar kenderaannya bagi pemeriksaan.
Setelah kenderaannya lulus pemeriksaan tersebut, Sulaiman kembali ke bengkel berkenaan untuk memasang semula sistem ekzos yang diubah suai itu pada kenderaannya.
Bagi kerja-kerja penggantian tersebut, dia membayar sejumlah S$280 kepada saudara lelaki yang juga pekerja Shahrudin, Muhammad Shahrizal Mat Nooh.
Seorang pegawai penguatkuasaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mendapati Sulaiman memandu kenderaan tersebut dengan sistem ekzos yang diubah suai di Toa Payoh pada 4 Mac 2022.
Menurut pihak pendakwaan, Shahrudin sudah sedia maklum bahawa pekerja-pekerjanya, termasuk ahli keluarganya, melakukan kerja pengubahsuaian yang tidak dibenarkan itu, bahkan sebelum insiden sedemikian berlaku.
Dia bagaimanapun membenarkan kelakuan tersebut dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikannya. Sebaliknya, dia membenarkan persekitaran kerja dengan amalan yang tidak ketat daripada membendung pengubahsuaian sedemikian.
Pesalah pertama kali yang yang membenarkan pengubahsuaian haram pada sistem ekzos kenderaan boleh menghadapi hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang pula akan berdepan dengan tempoh penjara dua kali lebih lama dan denda dua kali lebih tinggi.
Sumber : CNA/SS/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.