Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penganut Kristian, Buddha dan Hindu turut imarahkan inisiatif Ramadan anak Melayu ini

Memang, semasa bulan Ramadan ini ramai yang cuba merebut peluang melakukan kerja-kerja kebajikan dengan menyertai badan-badan sedia ada.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Memang, semasa bulan Ramadan ini ramai yang cuba merebut peluang melakukan kerja-kerja kebajikan dengan menyertai badan-badan sedia ada.

Tetapi bagi kakitangan awam bernama Encik Alfa Ramli, beliau memilih untuk menggerakkan inisiatifnya sendiri demi membantu seramai mungkin golongan susah.

Encik Alfa malah melangkah setapak lagi dan menjadikan usaha itu cukup simbolik apabila beliau turut melibatkan rakan-rakan bukan Melayu dan bukan Islam seperti mereka yang beragama Hindu, Buddha dan Kristian untuk beramal jariah pada bulan puasa ini.

Usaha murni bukan di bawah naungan mana-mana pertubuhan masyarakat ini, beliau namakan 'Projek Kaseh sempena Ramadan 1442H'.

"Para penerima inisiatif ini adalah orang-orang yang kurang bernasib baik seperti ibu atau bapa tunggal yang mempunyai ramai anak dan tinggal di rumah-rumah sewa. Ada yang berpenyakit kronik sehingga tidak dapat kerja. Kita ingin meringankan beban mereka sedang mereka menyambut Hari Raya yang menjelang," kongsi Encik Alfa kepada BERITAmediacorp.

BERBAGI TUGAS DENGAN RAKAN KERJA INDIA, CINA

Sebenarnya, Encik Alfa memang sudah lama giat melakukan kerja-kerja kebajikan untuk membantu masyarakat Melayu/Islam.

Sungguhpun demikian, Ramadan ini kali pertama beliau melibatkan ramai rakan-rakan bukan Melayu dalam inisiatifnya. Ini beliau lakukan selepas disarankan seorang rakan kerja, Encik G. Haridass, seorang penganut Hindu.

"Beliau awalnya mendekati saya dan berkongsi tentang inisiatif yang ingin dijalankan pada bulan Ramadan. Sempena bulan penuh berkah ini, terlintas di fikiran saya, mengapa tidak mengajak bangsa lain dan menjadi sebuah kumpulan berbilang kaum yang membantu sebuah kumpulan masyarakat?" kata Encik Haridass yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan India (IAEC) Kampong Chai Chee.

Idea itu Encik Alfa sambut dengan minda terbuka lalu beliau rancang bersama Encik Haridass dan seorang lagi rakan kerja, Encik Jojin Tang, seorang penganut Buddha.

Semuanya dilakukan sendiri - dari mengenal pasti mereka yang memerlukan, mencari pembekal keperluan memasak sehinggalah mengatur jadual penghantaran.

"Jojin ini berbangsa Cina. Beliau membantu saya buat jadual untuk penghantaran kerana kita punya penghantaran menyeluruh, merata Singapura. Encik Haridass pula memberi nasihat daripada segi bagaimana untuk mendapat kutipan dari bangsa-bangsa lain. Barang-barang yang diagihkan juga berbagai-bagai. Jadi beliau tahu siapa untuk saya hubungi, macam mana nak dapat pada harga murah," tambah Encik Alfa.

BERJAYA KUMPUL S$10,000

Hasil titik peluh mereka boleh dikatakan cukup luar biasa.

S$10,000 berjaya dikumpulkan daripada para kenalan sekali gus membolehkan mereka menghadiahkan empat botol kuih dan kek tapak kuda, selain barang-barang dapur, kepada setiap penerima! Kesemuanya lebih 150 keluarga memerlukan mendapat habuan Projek Kaseh.

Pengagihan juga dibantu oleh sahabat handai dan keluarga Encik Alfa, Encik Haridass dan Encik Jojin. 70 orang kesemuanya terlibat dalam pengagihan pada Ahad (25 Apr).

"Melibatkan diri dalam acara sebegini memberi saya kepuasan sangat besar yang tidak dapat saya terangkan dengan kata-kata. Anda perlu mengalaminya sendiri, baru anda dapat rasa bahawa membuat kerja-kerja seperti ini, anda tidak boleh harapkan balasan. Ia harus datang dari hati," luah Encik Haridass.

Encik Alfa pula berazam mahu terus mengembangkan usaha murni seperti ini bersama rakan-rakan Melayu dan bukan Melayu - walaupun setelah Ramadan meninggalkan kita nanti.

"Ada tujuan untuk meneruskan usaha ini kerana ramai memberi maklum balas yang baik. Ramai yang gembira. Ada yang bawa anak-anak datang. Katanya: kalau ada lagi, beritahulah, kita nak 'join' lagi. Jadi insyaAllah kita akan teruskan usaha ini," kongsi Encik Alfa.

Yang jelas, inilah 'cara Singapura' kerana ia menghidupkan lagi semangat berbilang kaum dan agama negara ini. Di mana lagi kita dapat melihat penganut Kristian, Buddha, Hindu sama-sama mengimarah bulan Ramadan demi membantu keluarga-keluarga Muslim? Mungkin hanya di Singapura! 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan