Penganjur terima lebih banyak pertanyaan bagi acara sehingga 1,000 peserta selepas peraturan dilonggarkan
Sesetengah penganjur acara menerima lebih banyak pertanyaan bagi acara sehingga 1,000 orang sejak Pemerintah melonggarkan peraturan COVID-19. Sekurang-kurangnya satu syarikat sudahpun diambil khidmatnya untuk menjadi penganjur acara bagi 1,000 orang pada November nanti.

Persediaan studio oleh syarikat acara Unearthed Productions untuk Persidangan Industri Pelancongan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada April 2021. (Gambar: Unearthed Productions)
SINGAPURA: Sesetengah penganjur acara menerima lebih banyak pertanyaan bagi acara sehingga 1,000 orang sejak Pemerintah melonggarkan peraturan COVID-19. Sekurang-kurangnya satu syarikat sudahpun diambil khidmatnya untuk menjadi penganjur acara bagi 1,000 orang pada November nanti.
Minat ini timbul selepas pemerintah mengumumkan pada 19 Ogos bahawa ia akan menggandakan had tampungan bagi acara berskala besar sedang Singapura bersiap sedia untuk hidup dengan koronavirus terus berlegar dalam kalangan penduduk.
Acara-acara seperti mesyuarat atau persidangan kini boleh menampung 1,000 peserta lengkap divaksin jika pada sebahagian besar waktunya, mereka duduk atau diri di kawasan tetap sepanjang acara berlangsung. Jumlah itu meningkat dari 500 sebelum ini.
Bagi acara seperti pameran pula, di mana peserta tidak duduk dan sentiasa bergerak, jumlahnya dinaikkan kepada 500 berbanding 250 sebelumnya.
Daripada enam syarikat acara yang ditemui Mediacorp, separuh menyatakan mereka menyaksikan peningkatan pada pertanyaan seumpama itu.
Sementara itu, syarikat-syarikat lain yang sama ada belum menyaksikan sebarang peningkatan atau enggan mendedahkan perangkaan ataupun menyatakan acara berskala besar mereka sudah dirancang bagi tahun depan atau lebih lewat daripada itu.
Marina Bay Sands (MBS), yang menempatkani pusat pameran dan konvensyen, menyatakan ia sedang "dalam perbincangan dengan lebih 20 pelanggan untuk menyemak dan mengkaji semula setiap reka bentuk serta atur cara bagi memastikan ia seiring dengan langkah-langkah baru".
Encik Ong Wee Min, Naib Presiden Konvensyen dan Pameran di MBS, berkata: "Ini termasuk menaikkan saiz acara untuk menampung sehingga 1,000 wakil lengkap divaksin dan mempunyai prosedur yang jelas untuk menguji delegasi yang belum divaksin."
Dua lagi penyedia tempat bagi acara berskala besar, Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore serta Pusat Konvensyen Resorts World, tidak menjawab pertanyaan Mediacorp berhubung tempahan lokasi.
Dalam kalangan syarikat acara yang menyaksikan peningkatan pada jumlah pertanyaan ialah Unearthed Productions.
Encik Adam Esoof Piperdy, Ketua Pegawai Pengalaman syarikat pengurusan acara itu, berkata sejak pelonggaran peraturan diumumkan, beliau menerima 10 pertanyaan awal bagi mendapatkan perkhidmatannya.
Ini "agak besar" memandangkan tiada pertanyaan diterima sewaktu negara melalui fasa kewaspadaan dipertingkat dari 22 Julai hingga 18 Ogos.
Tiga pelanggan sedia adanya yang sudahpun mempunyai acara yang dijadualkan untuk Oktober dan November juga bertanya tentang langkah untuk menaikkan jumlah peserta di tempat acara.
Acara untuk 1,000 orang yang pertama bagi syarikat itu, termasuk komponen maya, akan diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore pada November.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih banyak butiran mengenai acara tersebut kerana masih dalam proses memohon kelulusan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Encik Piperdy berkata pelanggannya, yang pada asalnya merancang untuk menampung 50 peserta di tempat acara, memutuskan untuk meningkatkan tampungan acara kerana ramai yang menghadiri persidangan sama pada tahun-tahun sebelum COVID-19.
Beliau tidak menjangkakan masalah logistik dalam menganjurkan acara lebih besar berdasarkan pengalaman syarikatnya, namun berkata ia "mungkin satu masalah" untuk mendapatkan peruntukan belanja yang lebih besar daripada penaja.
Beliau "tidak begitu pasti" jika 1,000 orang akan hadir tetapi beliau yakin sekurang-kurangnya 800 orang akan hadir, berdasarkan perangkaan kehadiran sebelum COVID-19.
YAKIN ANJUR ACARA LEBIH BESAR
Beberapa syarikat lain turut menyaksikan peningkatan pada jumlah pertanyaan untuk menganjurkan acara lebih besar sejak pengumuman Pemerintah itu.
Cik Janice Swee, Pengarah Tricom Events, berkata sejak Pemerintah menyatakan pada 6 Ogos lalu bahawa ia akan memperluaskan kapasiti peserta acara, beliau menerima sehingga tiga pertanyaan setiap beberapa minggu untuk acara yang melibatkan antara 250 hingga 1,000 peserta. Ini berbanding satu pertanyaan yang diterima sepanjang tempoh beberapa bulan sebelum pengumuman tersebut dibuat.
Begitu juga bagi Encik Adrian Ang dari syarikat acara That’s Innovative, yang menyaksikan kenaikan 30 peratus pada jumlah pertanyaan bagi acara sejak pengumuman tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan acara-acara tersebut hanya akan dianjurkan pada hujung tahun ini memandangkan syarikatnya memerlukan beberapa bulan untuk merancangkannya.
KEPRIHATINAN TENTANG KETERSEDIAAN TEMPAT
Sekalipun penganjur acara mengalu-alukan langkah untuk meningkatkan had tampungan peserta acara, mereka juga prihatin terhadap ketersediaan tempat lebih besar.
Acara yang menghoskan 1,000 orang akan perlu diadakan di sebuah tempat yang cukup besar bagi 3,000 orang sebelum pandemik. Ini selepas mengambil kira langkah-langkah kawalan jangkitan seperti jarak selamat antara peserta, jelas Encik Piperdy.
Semasa musim sibuk bagi acara untuk dianjurkan pada suku terakhir tahun ini dan suku pertama tahun depan, Encik Ang menjangkakan syarikat-syarikat acara akan bersaing bagi mendapatkan tempat lebih besar seperti MBS, Pusat Konvensyen Resorts World di Pulau Sentosa dan Suntec Singapore.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp tentang berapa banyak acara melibatkan sehingga 1,000 peserta yang sudahpun disahkan atau masih menunggu kelulusan sehingga hujung tahun depan, STB menyatakan ia tidak menyelia sepenuhnya mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (Mice) serta acara-acara riadah di Singapura.
Pada masa hadapan, syarikat-syarikat acara menyatakan mereka mengharapkan lebih banyak kelonggaran pada sekatan sempadan kerana ia sukar untuk menganjurkan acara berskala besar bagi pasaran tempatan sahaja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.