Skip to main content

Singapura

Penganjur Fiesta Ramadan 2022 di Downtown East didenda S$3,500

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penganjur bazar haram di Downtown East didenda S$3,500, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (14 Dis). 

Bazar yang diberi nama Fiesta Ramadan 2022 didirikan di E!Hub@Downtown East pada April tahun ini dan sekitar lapan gerai makanan didapati beroperasi di sana ketika para pegawai SFA melakukan pemeriksaan. 

Acara itu dimulakan pada 9 April tanpa permit bazar sementara yang sah. SFA kemudian mengeluarkan amaran terhadap syarikat tersebut bagi mengarahkannya supaya menghentikan bazar berkenaan pada 11 April. 

Namun, syarikat Events Business Management meneruskan bazar itu sehingga SFA kemudian menggantung operasi syarikat berkenaan pada 12 April. 

SFA sebelum itu menyatakan, permohonan Events Business Management untuk menganjurkan bazar itu tidak diluluskan kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

Ini termasuk memberikan jadual pembersihan dan senarai penjual makanan, serta maklumat mengenai sama ada pengendali makanan sudah menjalani latihan kebersihan makanan untuk diberikan sijil bagi menguruskan makanan. 

"Di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran, semua pengendali bazar sementara dikehendaki mendapatkan permit daripada SFA sepanjang tempoh acara tersebut," menurut SFA. 

"Ini membolehkan SFA untuk memastikan pengendali makanan mematuhi langkah-langkah menjaga keselamatan makanan." 

Permohonan harus dibuat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh bazar dijadual bermula, menurut SFA, sambil menambah bahawa gerai-gerai makanan dan minuman di acara-acara sementara juga dikehendaki mendapatkan lesen, dengan pengendali makanan yang sudah lulus Peringkat 1 Kursus Keselamatan Makanan yang diwajibkan. 

SFA menyatakan ia akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali acara sementara yang tidak mematuhi peraturan.

Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda sehingga S$10,000. Bagi pesalah berulang, mereka boleh didenda sehingga S$20,000, atau dipenjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita