Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penganjur acara didakwa kendali bazar Ramadan di Downtown East tanpa permit

Anggaran Waktu Membaca:
Penganjur acara didakwa kendali bazar Ramadan di Downtown East tanpa permit

Gambar: SFA

Diterbitkan : 26 Oct 2022 11:05PM Dikemas Kini : 26 Oct 2022 11:06PM
SINGAPURA: Sebuah syarikat penganjur acara didakwa di mahkamah pada Rabu (26 Okt) kerana gagal memiliki permit yang sah untuk mengendalikan bazar Ramadan di Downtown East awal tahun ini.

Event Business Management berdepan dengan satu tuduhan di bawah Seksyen 35 Akta Persekitaran Kesihatan Awam.

Menurut dokumen mahkamah, syarikat itu mungkin dikenakan hukuman lebih berat jika didapati bersalah kerana ia pernah disabitkan atas kesalahan yang sama pada Januari 2014.

Syarikat berkenaan didenda S$500 ketika itu.

Bagi kes terbarunya, Agensi Makanan Singapura (SFA) sebelum ini menyatakan Event Business Management "mengendalikan secara haram" bazar Fiesta Ramadan 2022 di E!Hub@Downtown East di Pasir Ris bermula 9 April.

Semasa pemeriksaan dua hari kemudian, lapan gerai makanan didapati masih beroperasi.

Namun, pemohonan Event Business Management tidak diluluskan untuk mengendalikan bazar itu dari 9 hingga 24 April kerana tidak memenuhi syarat, menurut SFA.

Ini termasuk memberikan jadual pembersihan dan senarai penjual makanan serta maklumat sama ada pengendali makanan sudah menjalani latihan kebersihan makanan.

Syarikat itu juga mengabaikan amaran yang dikeluarkan pada 11 April untuk menghentikan operasi bazar berkenaan, menurut SFA yang kemudian
menggantung operasinya pada 12 April.

Pada Rabu (26 Okt), seorang wakil syarikat menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah.

Kes itu akan kembali didengar di mahkamah pada 23 November.

Jika Event Business Management didapati bersalah, syarikat itu boleh didenda sehingga S$20,000 sebagai pesalah berulang. Pesalah juga boleh dipenjara sehingga tiga bulan.

SFA sebelum ini menyatakan semua pengendali bazar sementara harus mendapatkan permit daripada SFA untuk tempoh acara tersebut yang membolehkan agensi memastikan keselamatan sajian makanan.

"Permohonan harus dihantar sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh acara itu bermula," menurut SFA.

Gerai makanan dan minuman di acara-acara sementara juga perlu mempunyai lesen SFA dengan mereka yang menyediakan makanan harus lulus Kursus Keselamatan Makanan Peringkat 1 yang wajib.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan