Pengangkutan awam S'pura kedua paling dimampui dalam kalangan 12 bandar utama
Singapura adalah bandar kedua yang menawarkan khidmat pengangkutan awam yang paling dimampui.
SINGAPURA: Singapura adalah bandar kedua yang menawarkan khidmat pengangkutan awam yang paling dimampui. Demikian menurut hasil kajian yang mengkaji trend tambang pengangkutan awam di 12 bandar utama.
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan disokong Majlis Pengangkutan Awam (PTC) itu mengkaji trend tambang pengangkutan awam berdasarkan tambang konsesi, kemampuan tambang dan hasil tambang bagi perjalanan setiap kilometer yang dilakukan penumpang.
Bandar-bandar yang terlibat dalam kajian itu termasuk London, Beijing, Sydney, Seoul, Paris, Hong Kong, Taipei, Toronto, New York, Tokyo dan San Francisco.
Kajian itu mengukur kemampuan tambang berdasarkan jumlah pendapatan yang digunakan untuk pengangkutan awam oleh setiap keluarga, dalam kuintil kedua kumpulan pendapatan keluarga.
Kuintil itu dipilih kerana ia adalah kumpulan "yang besar kemungkinan kerap bergantung kepada pengangkutan awam," menurut kajian tersebut.
Singapura menduduki tangga kedua di belakang San Francisco berdasarkan kemampuan tambang dengan mencatatkan markah indeks 4.8, berbanding markah yang diperolehi San Francisco iaitu 4.1.
Ini bermakna secara purata, sesebuah keluarga yang menggunakan khidmat pengangkutan awam setiap hari di Singapura menggunakan sekitar 4.8 peratus daripada jumlah pendapatannya bagi pengangkutan awam, menurut kajian tersebut.
Ia turut menarik perhatian bahawa di San Francisco yang menduduki tangga teratas dalam senarai itu, perbelanjaan khidmat pengangkutan awam adalah 28 peratus lebih tinggi berbanding Singapura manakala jumlah pendapatan yang digunakan pula adalah 48 peratus lebih tinggi berbanding negara ini.
Kajian tersebut juga mendapati bahawa tambang konsesi bagi warga tua dan para pelajar adalah antara yang terendah dalam kalangan 12 bandar itu.
Menurut kajian itu lagi, Singapura memperolehi hasil tambang paling rendah bagi perjalanan setiap kilometer yang dilakukan para penumpang berbanding Hong Kong, Sydney, Toronto, New York, San Francisco dan London.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.