Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengangkutan awam percuma untuk golongan mudah terjejas akan jadi 'beban kewangan' kepada penumpang: Iswaran

Pemerintah cuba memastikan tambang pengangkutan awam dalam kemampuan setiap orang, terutama sekali golongan mudah terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengangkutan awam percuma untuk golongan mudah terjejas akan jadi 'beban kewangan' kepada penumpang: Iswaran

Gambar fail.

Diterbitkan : 09 Mar 2022 04:48PM Dikemas Kini : 09 Mar 2022 04:50PM

SINGAPURA: Pemerintah cuba memastikan tambang pengangkutan awam dalam kemampuan setiap orang, terutama sekali golongan mudah terjejas.

Namun, jika ia diberi secara percuma kepada golongan tersebut, ini akan menyebabkan "beban kewangan" yang "agak ketara" kepada penumpang, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran.

Profesor Madya Jamus Lim (WP-Sengkang) pada Selasa (8 Mac) mencadangkan agar warga emas dan orang kurang upaya diberi kad konsesi untuk menggunakan pengangkutan awam secara percuma.

Dalam reaksinya kepada saranan itu pada Rabu (9 Mac), Encik Iswaran berkata adalah penting untuk memahami apa yang dilakukan sekarang di Singapura dan kesan saranan itu terhadap penumpang dan pembayar cukai.

Bercakap di Parlimen semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Pengangkutan, Encik Iswaran menarik perhatian kepada cabaran yang dihadapi Pemerintah dalam mencapai keseimbangan "yang sukar, tetapi penting" bagi sistem pengangkutan awam Singapura dalam tempoh masa panjang. Ini termasuk dari segi mutu, daya kemampuan dan kemampanan kewangan.

Sedang Pemerintah menangani kos yang semakin meningkat, ia memperuntukkan subsidi pengangkutan awam kepada segmen penumpang daripada golongan mudah terjejas, kata Encik Iswaran.

Sambil memberi contoh dua semakan tambang yang dijalankan baru-baru ini, beliau berkata Pemerintah memperuntukkan sekitar S$20 juta setahun dalam bentuk pengagihan baucar pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan tambang.

Warga emas, orang kurang upaya dari keluarga bergaji rendah boleh meraih manfaat daripada sokongan tamabahan ini, kata Encik Iswaran.

"Apabila Profesor Madya Jamus Lim mencadangkan supaya khidmat pengangkutan awam ditawarkan secara percuma kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya, kami faham niatnya namun kami tidak semestinya bersetuju dengan caranya," kata Encik Iswaran.

Menurutnya, Pemerintah membelanjakan lebih S$2 bilion setahun untuk memberi subsidi kepada penumpang - sekitar S$1 bilion bagi operasi bas dan S$1 bilion bagi operasi kereta api.

Secara purata, Pemerintah memberi subsidi berjumlah lebih S$1 bagi setiap perjalanan yang dilakukan menggunakan pengangkutan awam, kata Encik Iswaran.

Setakat Januari lalu, terdapat sekitar 975,000 warga emas dan orang kurang upaya yang memiliki kad konsesi, kata Encik Iswaran. Berdasarkan perjalanan mereka, mereka boleh mendapat diskaun sehingga 55 peratus daripada tambang yang biasanya dibayar oleh penumpang dewasa.

"Anggota Parlimen itu menganggarkan saranannya akan berjumlah S$300 juta hingga S$400 juta setiap tahun, yang beliau maklum perlu ditanggung penumpang atau pembayar cukai. Berdasarkan anggaran yang diberikan, bagi pembayar cukai, ini bermakna kenaikan antara 15 hingga 20 peratus kepada subsidi sebanyak S$2 bilion yang kini ditanggung mereka," kata Encik Iswaran.

"Jika ia dibiayai oleh penumpang, tambang dewasa akan naik sekitar 20 hingga 25 peratus sekarang, atau S$0.30 hingga S$0.40 secara purata. Ini adalah kenaikan tambang sehingga 11 kali ganda pada tahun lalu. Tanggungan ini agak ketara."

Beban kewangan ini akan meningkat menjelang 2030 apabila jumlah orang kurang upaya dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dijangka meningkat kepada sekitar 1.2 juta, menurut Encik Iswaran.

PENDEKATAN "MAMPAN DAN SAKSAMA"

Encik Iswaran berkata Majlis Pengangkutan Awam (PTC) maklum tentang perlunya untuk memastikan tambang kekal dimampui oleh kumpulan penumpang yang mudah terjejas dan mengambil pendekatan yang berbeza.

"Apabila tambang dinaikkan, PTC memperuntukkan sebahagian kecil daripada kenaikan itu kepada golongan penumpang konsesi, dan sebahagian besar disalurkan kepada penumpang dewasa yang lain. Namun semua orang membayar bahagian masing-masing dan mereka yang boleh membayar lebih berbuat demikian," kata Encik Iswaran.

"Ini adalah pendekatan lebih adil dan saksama, yang berfungsi dengan baik selama beberapa tahun."

Memandang ke hadapan, beberapa "trend" akan menjejas sistem pengangkutan awam Singapura bagi dekad seterusnya, kata Encik Iswaran. Ini termasuk rangkaian kereta api yang berkembang, corak perjalanan dan pekerjaan yang berubah, penduduk yang semakin menua dan harga bahan bakar yang tidak stabil.

Di tengah-tengah perubahan itu, penting untuk mempunyai "formula adil" bagi memastikan kemampanan kewangan untuk jangka panjang, jelas Encik Iswaran.

MOT akan membuat semakan formula tambang tahun ini dan memuktamadkan semakan itu menjelang tahun depan, katanya.

Menurut Encik Iswaran: "PTC akan terus berusaha mencapai keseimbangan antara tekanan kos yang dihadapi oleh pengendali pengangkutan awam, beban ke atas pembayar cukai daripada subsidi pengangkutan awam dan daya kemampuan yang adil bagi penumpang."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan