Skip to main content

Singapura

Penganalisis kekal optimistiik terhadap prospek niaga Sheng Siong meski harga sahamnya turun 15%

Anggaran Waktu Membaca:
Penganalisis kekal optimistiik terhadap prospek niaga Sheng Siong meski harga sahamnya turun 15%

Para pembeli meninggalkan pasar raya Sheng Siong bersama barangan yang dibeli. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 12:05AM
Analysts remain optimistic about Sheng Siong’s business prospects despite 15% fall in its share price
  • Sheng Siong shares fell 15 per cent over three sessions up to Tuesday following its third-quarter results and warnings about intense competition, ongoing promotions and rising wage and diesel costs.
  • However, Paul Chew, Meghana Kande and Alfie Yeo said the outlook remained good, supported by revenue growth, strong operations and network expansion; their respective recommendations were to hold, add and buy.
  • Sheng Siong opened three outlets in the third quarter, bringing the total to seven new outlets this year and 92 outlets in Singapore. Store openings were seen as a more important growth driver than the SG60 Vouchers.
  • Chu Peng said the sell-off reflected concerns about slower growth, energy and labour costs, and margins. Although competition from the RTS may intensify, the company expects consumers to continue seeking value amid the high cost of living.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Meskipun harga saham Sheng Siong merosot 15 peratus dalam tiga sesi dagangan, sebilangan penganalisis kekal optimistik terhadap prospek pengendali pasar raya itu.

Ketua Penyelidikan Phillip Securities Research Paul Chew berkata Sheng Siong semakin menguasai bahagian pasaran dalam sektor barangan runcit, khususnya bagi penjualan makanan segar.

Sheng Siong membuka tiga cawangan baharu pada suku ketiga yang berakhir 30 September, menjadikan jumlah cawangan baharu tahun ini kepada tujuh.

Kumpulan itu kini mengendalikan 92 cawangan di Singapura.

Menurut Encik Chew, pembukaan cawangan baharu merupakan pemacu utama pertumbuhan syarikat dan peningkatan bahagian pasarannya, manakala persaingan pula berkurangan sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Penganalisis CGS International Securities Meghana Kande turut berpandangan positif terhadap Sheng Siong berdasarkan pertumbuhan pendapatan yang disokong peluasan rangkaian cawangan dan pelaksanaan operasi yang kukuh.

CGS International Securities mengekalkan saranan “tambah” bagi saham Sheng Siong, manakala Phillip Securities menyarankan pelabur “mengekalkan” saham tersebut.

Penganalisis kanan RHB Singapore Alfie Yeo pula memberikan saranan “beli”.

“Kami percaya harga saham Sheng Siong Group boleh terus meningkat jika pertumbuhan pendapatannya berterusan,” kata Encik Yeo.

KEKAL DALAM KEDUDUKAN BAIK MESKIPUN PROSPEK MENCABAR

Kemerosotan harga saham Sheng Siong bermula pada Jumaat selepas syarikat itu mengumumkan keputusan suku ketiganya dan memberi amaran mengenai persaingan sengit dalam sektor peruncitan barangan runcit serta promosi berterusan yang memberi tekanan kepada hasil dan margin keuntungan.

Pihak pengurusan turut mengetengahkan peningkatan kos akibat kenaikan gaji dan harga diesel, selain kemungkinan kesan Laluan Sistem Gerak Cepat Johor Bahru-Singapura (RTS) yang boleh meningkatkan persaingan harga.

Namun, Sheng Siong menyatakan syarikat itu berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi ketidaktentuan geopolitik, gangguan serta kemungkinan persaingan daripada Laluan RTS kerana pengguna dijangka terus mementingkan nilai ketika kos sara hidup kekal tinggi.

Keuntungan bersih Sheng Siong meningkat 1.8 peratus berbanding setahun lalu.

Harga sahamnya ditutup 4.6 peratus lebih rendah pada Jumaat, sebelum merosot lagi 9.4 peratus pada Isnin.

Pada Selasa, saham itu susut lagi 2.5 peratus dan ditutup pada paras terendah dalam tempoh setahun.

Penganalisis ekuiti OCBC Chu Peng berkata penjualan saham secara besar-besaran itu dilihat lebih didorong prospek lebih lemah bagi tahun depan berbanding prestasi suku ketiga.

Menurutnya, para pelabur mengambil kira risiko pembukaan cawangan yang lebih perlahan, kos elektrik dan tenaga kerja yang lebih tinggi serta tekanan yang mungkin timbul terhadap jidar keuntungan.

Cik Chu turut berkata saham Sheng Siong didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan yang melebihi dua sisihan piawai daripada purata sejarahnya.

Keadaan itu, menurutnya, menyebabkan ruang untuk prestasi yang mengecewakan menjadi kecil dan menjadikan saham tersebut lebih terdedah kepada pembetulan lebih ketara sekiranya pertumbuhan perlahan dan risiko kos meningkat.

Cik Kande pula berkata saham Sheng Siong sudah mencatat kenaikan yang baik tahun ini dan sebahagian pelabur mungkin mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan.

Mengenai baucar SG60, yang menurut Sheng Siong membantu meningkatkan hasil dan jualan pada suku ketiga tahun lalu, Cik Kande menyifatkan kesannya sebagai “bonus sekali-sekala”.

Beliau berkata meskipun kesan baucar semakin berkurangan, kedudukan asas Sheng Siong sebagai pasar raya yang menawarkan nilai berbaloi dijangka terus memberikan kelebihan dalam persekitaran inflasi.

Encik Chew turut berkata pembukaan cawangan baharu akhirnya memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan hasil berbanding baucar.

Menurutnya, baucar berkemungkinan hanya menggantikan penggunaan wang tunai untuk membeli barangan runcit dan bukannya meningkatkan jumlah pembelian.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita