Skip to main content

Singapura

Penganalisis berpendapat WP 'wajar' terima pelawaan calonkan Ketua Pembangkang baharu

Pelawaan Perdana Menteri Lawrence Wong kepada Parti Pekerja (WP) untuk mencalonkan anggota parlimen lain sebagai Ketua Pembangkang yang baharu meletakkan tanggungjawab itu kembali pada parti tersebut, dan ia menjadi kepentingan WP untuk tidak menolak tawaran itu dan membiarkan jawatan itu kosong, kata penganalisis politik.
Anggaran Waktu Membaca:
Penganalisis berpendapat WP 'wajar' terima pelawaan calonkan Ketua Pembangkang baharu
Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh meninggalkan Bangunan Parlimen pada 4 November 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Pelawaan Perdana Menteri Lawrence Wong kepada Parti Pekerja (WP) untuk mencalonkan anggota parlimen lain sebagai Ketua Pembangkang yang baharu meletakkan tanggungjawab itu kembali pada parti tersebut, dan ia menjadi kepentingan WP untuk tidak menolak tawaran itu dan membiarkan jawatan itu kosong, kata penganalisis politik.

Empat nama diberikan dalam kalangan para penganalisis yang dianggap sebagai calon pengganti yang berpotensi: AP GRC Aljunied Gerald Giam, AP Hougang Dennis Tan dan AP GRC Sengkang He Ting Ru dan Jamus Lim.

Dalam suratnya kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat WP pada Khamis (15 Jan), Encik Wong berkata calon parti itu haruslah seorang AP dipilih yang "seharusnya tidak terlibat dalam dapatan awal Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen" berhubung pembohongan bekas AP Raeesah Khan kepada parlimen dan “harus mampu memenuhi piawaian tinggi yang diharapkan daripada jawatan ini”.

Walaupun WP tidak wajib mencalonkan seseorang, parti itu berada pada kedudukan yang lebih baik sekiranya ia menerima tawaran Encik Wong, disebabkan oleh sumber dan peluang yang diberikan kepada Ketua Pembangkang di parlimen, kata para penganalisis.

Profesor Madya Sains Politik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Chong Ja Ian, berkata parlimen tetap akan berfungsi dan AP WP masih akan bersuara serta mengundi di Dewan, meskipun tanpa seorang Ketua Pembangkang.

“Ingat, parlimen Singapura tidak mempunyai Ketua Pembangkang sehingga baru-baru ini dan ia tetap terus berbahas dan meluluskan undang-undang,” kata beliau.

Profesor Madya Tan Ern Ser, zamil penyelidik utama adjung di Institut Pengajian Dasar (IPS), berkata jika WP tidak memilih seorang calon, ia akan memberi isyarat bahawa parti itu masih mengiktiraf Encik Pritam Singh sebagai ketuanya dan mengekalkan pendirian “bahawa beliau tidak bersalah”.

Sejajar dengan itu, penganalisis politik bebas Dr Felix Tan berkata WP sememangnya boleh memilih untuk membiarkan jawatan itu terus kosong, yang akan menunjukkan bahawa mereka percaya WP dan Pritam Singh masih dihargai tinggi dan langkah itu merupakan “satu demonstrasi politik partisan yang jelas”.

Pengerusi WP Sylvia Lim pada Rabu menyifatkan usul itu sebagai satu “langkah politik parti”.

Namun, berbuat demikian "mungkin menyebabkan satu peluang terlepas untuk meneruskan kerja baik yang diusahakan oleh Ketua Pembangkang sebelum tercetus kejadian itu", kata Dr Tan.

Menolak pencalonan itu "merupakan satu langkah buruk" kerana "sumber tambahan yang disediakan, masa ucapan tambahan, serta keupayaan untuk membentuk peranan Ketua Pembangkang memandangkan ia masih baharu dari segi relatif dalam sistem parlimen kita”, kata Profesor Madya Undang-Undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Eugene Tan.

Beliau menambah parti itu berkemungkinan akan menunggu sehingga siasatan disiplin terhadap Encik Pritam selesai sebelum membuat keputusan berhubung langkah seterusnya.

Jawatan Ketua Pembangkang secara rasmi ditetapkan buat pertama kali oleh Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong, selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) dan ditawarkan kepada Encik Pritam, yang sudah memegang jawatan itu selama lebih lima tahun.

Jawatan tersebut menikmati beberapa keistimewaan, termasuk taklimat sulit oleh pemerintah mengenai isu-isu nasional yang penting.

Penyandangnya juga diberikan sebuah pejabat di parlimen, sokongan kakitangan dan sumber tambahan, serta elaun berganda berbanding seorang AP yang dipilih.

Di parlimen, Ketua Pembangkang turut diberikan hak untuk memberi maklum balas pertama serta lebih banyak masa untuk berucap, setara dengan tempoh ucapan seorang menteri.

Pada Khamis, Encik Wong berkata beliau berharap dapat menerima pencalonan WP tidak lama lagi “agar jawatan penting ini tidak dibiarkan kosong untuk terlalu lama”.

Mengesahkan penerimaan surat tersebut, WP menyatakan ia akan “mempertimbangkan kandungannya dengan teliti” menerusi proses dalaman parti dan memberi maklum balas pada waktu yang sesuai.

MENGEKALKAN JAWATAN KETUA PEMBANGKANG

Mengenai sebab Perdana Menteri memutuskan untuk melucutkan Encik Pritam daripada jawatan itu dan menjemput WP untuk memilih calon baharu, para pakar berkata langkah tersebut diambil kerana parlimen pada Rabu mengundi dan menganggap Encik Pritam sebagai tidak sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

Secara teknikal, Encik Wong masih tidak perlu akur dengan keputusan itu, kerana pelantikan Ketua Pembangkang adalah berdasarkan budi bicaranya, kata Profesor Madya Chong.

“Namun, berbuat demikian akan bertentangan dengan sentimen majoriti parlimen dan boleh mewujudkan satu preseden di mana pihak eksekutif mengabaikan badan perundangan,” kata beliau.

Para penganalisis berkata keputusan Encik Wong untuk melucutkan Encik Pritam tetapi mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang untuk diisi oleh WP menunjukkan kepentingan peranan itu dalam politik tempatan.

“Beliau mengiktiraf bahawa jawatan Ketua Pembangkang menjadi satu elemen tetap dalam landskap politik Singapura, kerana ia merupakan kepentingan awam untuk mengekalkannya dan ia terbukti bermanfaat kepada Parlimen,” kata Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di syarikat perunding dasar dan perniagaan Solaris Strategies Singapore.

Sentimen akar umbi mungkin turut memainkan peranan, kerana menghapuskan jawatan itu mungkin tidak akan diterima baik oleh segmen tertentu masyarakat tempatan, tambah beliau.

Dengan meminta WP untuk mencalonkan seorang pengganti, Encik Wong juga menegaskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang “penting bagi pembangunan politik Singapura”, kata Profesor Madya Tan dari SMU.

“Beliau pada hakikatnya telah meletakkan keputusan di gelanggang WP,” kata beliau.

PENGGANTI BERPOTENSI

Apabila ditanya siapa pengganti berpotensi bagi jawatan tersebut, para penganalisis politik berkata senarainya agak pendek.

Sebagai permulaan, calon itu haruslah seorang AP WP yang sedang berkhidmat dan merupakan anggota kanan badan yang membuat keputusan tertinggi parti tersebut, iaitu Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), serta tidak dikaitkan dengan peristiwa yang membawa kepada pelucutan Encik Pritam.

Syarat yang dinyatakan oleh Encik Wong bermakna pengerusi WP Sylvia Lim tidak layak untuk dicalonkan.

Usul yang diluluskan pada Rabu itu membawa maksud bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi dan dapatan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) mempunyai implikasi terhadap Cik Lim dan naib pengerusi WP Faisal Manap, yang perlu dipertimbangkan secara berasingan.

Dr Mustafa berkata Cik Lim sepatutnya menjadi calon utama, memandangkan beliau merupakan yang paling berpengalaman dalam kalangan AP WP semasa di parlimen.

Daripada baki sembilan AP WP yang dipilih, tiga merupakan pendatang baharu penggal pertama – AP GRC Aljunied Kenneth Tiong dan Fadli Fawzi, serta AP GRC Sengkang Abdul Muhaimin.

Para penganalisis politik merujuk kepada ketua penyelidikan dasar WP Gerald Giam dan setiausaha penganjur Dennis Tan sebagai calon berpotensi bagi jawatan Ketua Pembangkang.

Profesor Madya Tan dari SMU mengenal pasti mereka sebagai calon paling berpotensi kerana mereka merupakan AP yang paling berpengalaman selepas Cik Lim dan Encik Pritam, dan yang penting, “dipercayai oleh kepimpinan parti”.

Profesor Madya Tan dari IPS berkata Encik Giam pernah berkhidmat sebagai AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan AP yang dipilih sebelum pilihan raya umum tahun lalu, dan “boleh dianggap sebagai seorang veteran pada masa ini”.

“Beliau menonjol dari segi penyertaan aktifnya dalam ucapan dan perbahasan parlimen,” tambah beliau.

Sementara itu, rakan AP Dennis Tan mendapat sokongan daripada kubu Hougang – kubu yang sudah lama dipegang WP sejak 1991 – dan juga pernah berperanan dalam COP, kata Dr Felix Tan.

Encik Malminderjit Singh, pengarah urusan syarikat perunding politik Terra Corporate Affairs, mengenal pasti bendahari parti, Cik He, sebagai calon terbaik, kerana “peranan lebih kanan” yang dipegangnya dalam badan pembuat keputusan tertinggi WP.

Dr Felix Tan turut berkata bahawa AP penggal kedua Jamus Lim “agak lantang di parlimen dan aktif sebagai AP GRC Sengkang”, yang menjadikan timbalan ketua penyelidikan dasar WP itu satu lagi calon yang berpotensi bagi pencalonan parti.

PERLUKAH KETUA PEMBANGKANG MENJADI KETUA PARTI?

Walaupun Encik Pritam memegang jawatan Ketua Pembangkang sejak ia diwujudkan pada 2020, para penganalisis menyatakan bahawa ketua pembangkang tidak semestinya perlu memegang peranan sebagai setiausaha agung parti tersebut.

Perdana Menteri “tidak terikat dengan konvensyen bahawa Ketua Pembangkang mesti menjadi pemimpin tertinggi WP”, kata Profesor Madya Tan dari SMU.

Profesor Madya Chong pula menyatakan bahawa “peraturan mengenai Ketua Pembangkang di Singapura masih tidak jelas dan tidak dikodifikasikan secara rasmi” dan “tiada apa yang secara jelas menyatakan syarat” bagi peranan tersebut.

Beliau membandingkannya dengan peranan Speaker, yang dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan, serta peranan Ketua Dewan, yang dirujuk dalam peraturan tetap parlimen.

Dr Felix Tan berkata Ketua Pembangkang seharusnya “diwakili pada tahap tertinggi dalam parti”, terutamanya jika beliau dijangka memimpin semua suara pembangkang, termasuk dalam parlimen masa depan yang mungkin mempunyai lebih daripada satu parti pembangkang.

Profesor Madya Tan dari IPS pula berkata dalam sistem Westminster, seperti di Britain, Ketua Pembangkang mengisi peranan perdana menteri dalam “kabinet bayangan”.

“Saya berpendapat ini kerana kedudukan dan peranan Ketua Pembangkang masih di peringkat awal di Singapura, dan parti pemerintah lebih cenderung untuk mempertimbangkan implikasi jangka panjangnya terhadap demokrasi Singapura,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita