Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengambilan pekerja SG berkembang 5 suku berturut-turut; tapi pemberhentian pekerja meningkat baru-baru ini

Anggaran Waktu Membaca:
Pengambilan pekerja SG berkembang 5 suku berturut-turut; tapi pemberhentian pekerja meningkat baru-baru ini

(Gambar: Institute of Policy Studies/Jacky Ho)

SINGAPURA: Jumlah keseluruhan bagi pengambilan pekerja di Singapura meningkat pada suku keempat 2022 - kenaikan lima suku berturut-turut - meskipun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi amaran bahawa momentum pasaran buruh akan melemah pada tahun ini. 

Menurut ramalan awal MOM, jumlah pengambilan pekerja secara keseluruhannya - tidak termasuk pekerja hijrahan - meningkat sebanyak 47,400 pada suku keempat, berbanding dengan 75,900 pada suku sebelumnya. 

"Walaupun pertumbuhan bagi pengambilan pekerja bukan penduduk masih menyumbang besar kepada peningkatan tersebut, ia sudah menyederhana berbanding paras tinggi yang dicatatkan pada dua suku sebelum ini," menurut MOM, sambil menambah bahawa peningkatan pada jumlah pengambilan pekerja bukan penduduk tertumpu kepada sektor binaan. 

Pengambilan pekerja penduduk turut meningkat sepanjang suku itu di tengah-tengah pengambilan pekerja bagi musim perayaan hujung tahun bagi sektor-sektor seperti runcit dan makanan dan minuman (F&B). 

Sepanjang 2022, jumlah pengambilan pekerja secara keseluruhannya berkembang sebanyak 231,700, iaitu tiga peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik, menurut MOM. 

Ini sebahagian besarnya dipacu oleh pekerja bukan penduduk selepas sekatan-sekatan kawalan sempadan dilonggarkan pada 2022 dan pengisian kerja kosong bagi sektor-sektor seperti binaan. 

PENGANGGURAN, PEMBERHENTIAN PEKERJA

Kadar pengangguran kekal rendah pada Disember 2022 - iaitu pada paras dua peratus secara keseluruhannya - di bawah paras sebelum pandemik. 

"Pasaran buruh yang ketat dan pemulihan ekonomi pada 2022 telah membawa kepada penambahbaikan berterusan kepada keadaan pengangguran, ke paras yang stabil sebelum pandemik melanda," menurut MOM. 

Jumlah pemberhentian pekerja meningkat pada suku keempat kepada 3,000 berbanding 1,300 pada suku sebelumnya. 

Lebih ramai pekerja dalam sektor elektronik, teknologi maklumat dan perdagangan borong diberhentikan kerja. 

"Kadar pemberhentian pekerja dalam sektor lain stabil," menurut MOM. 

"Sekalipun meningkat, jumlah pemberhentian pekerja pada suku keempat 2022 kekal dalam julat suku tahunan yang disaksikan pada 2019. MOM sedang memantau dengan teliti keadaan itu di tengah-tengah prospek ekonomi yang melemah." 

Sepanjang 2022, seramai 6,450 pekerja diberhentikan kerja, lebih rendah berbanding 8,020 pekerja pada 2021 dan paras sebelum pandemik. 

PROSPEK EKONOMI 

Persekitaran ekonomi sejagat yang tidak menentu, kadar inflasi yang lebih tinggi serta ketegangan geopolitik akan menjejas pasaran buruh pada masa akan datang, menurut MOM. 

"Walaupun sentimen pengambilan pekerja kekal positif dalam masa beberapa bulan mendatang berdasarkan tinjauan syarikat, kelembapan pertumbuhan ekonomi yang diramalkan bagi 2023 berkemungkinan akan melemahkan momentum pasaran buruh," tambah MOM. 

"Dengan peningkatan pada jumlah pekerja yang diberhentikan kerja baru-baru ini, kadar pengangguran mungkin akan meningkat." 

Laporan pasaran buruh 2022 yang akan menyediakan lebih banyak perincian mengenai situasi pekerjaan dan pengambilan pekerja, dijangka akan dikeluarkan pada pertengahan Mac. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan