Pengambilan pekerja meningkat pada suku keempat, pasaran buruh 2018 catat kenaikan
Pasaran buruh bertambah baik pada 2018 dengan lebih banyak rakyat tempatan mendapat pekerjaan pada suku keempat tahun lalu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (31 Jan).
SINGAPURA: Pasaran buruh bertambah baik pada 2018 dengan lebih banyak rakyat tempatan mendapat pekerjaan pada suku keempat tahun lalu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (31 Jan).
Purata kadar pengangguran tahunan lebih rendah berbanding setahun lalu, sementara pemberhentian pekerja pula berkurangan dengan "lebih ketara", tambah MOM.
Pengambilan pekerja, tidak termasuk pembantu rumah asing, meningkat sebanyak 15,600 pada suku keempat. Ia susut sedikit berbanding kenaikan 16,700 orang pada suku ketiga, dedah laporan itu.
"Kenaikan itu dipacu pertumbuhan pengambilan kerja dalam sektor perkhidmatan, khususnya bagi pekerjaan bermusim. Pengambilan pekerja dalam sektor pengilangan berkurangan pada suku ini, sementara pengambilan pekerja dalam sektor binaan tidak berubah," menurut MOM.
Secara keseluruhannya pada 2018, pengambilan pekerja, tidak termasuk pembantu rumah asing, naik 39,900, dengan pertumbuhan dalam kalangan pekerja tempatan adalah 28,400 - lebih seganda berbanding pekerja asing. Pertumbuhan tempatan umumnya disaksikan dalam industri-industri perkhidmatan, seperti khidmat masyarakat, sosial dan peribadi serta khidmat kewangan dan insurans.
Menurut laporan terkini, purata kadar pengangguran lebih rendah pada 2018 berbanding tahun sebelumnya, tetapi kadar pengangguran keseluruhannya lebih tinggi pada suku terakhir tahun itu. Ia naik dari 2.1 peratus pada September 2018 kepada 2.2 peratus pada Dis 2018, menurut MOM.
Jumlah pemberhentian pekerja "jauh lebih rendah" pada 2018 berbanding tahun sebelumnya kerana ekonomi terus berkembang, menurut laporan.
Tahun lalu, 11,020 orang diberhentikan kerja sementara 14,720 pekerja diberhentikan pada 2017.
Bagi suku keempat, jumlah pemberhentian pekerja adalah 2,800 orang, tidak banyak berbeza berbanding 2,860 yang dicatat pada suku ketiga dan lebih rendah berbanding 3,680 pada tahun lalu.
Pekerja Singapura terus meraih gaji lebih tinggi bagi tempoh lima tahun lalu, menurut MOM. Ia menambah, gaji median sebenar, termasuk sumbangan CPF majikan, bagi rakyat Singapura yang bekerja sepenuh masa, naik 3.6 peratus setiap tahun dari 2013 hingga 2018, jauh lebih tinggi berbanding 1.7 peratus setiap tahun pada lima tahun sebelumnya.
Pertumbuhan dalam pasaran buruh Singapura dijangka "akan kekal pada paras sederhana kerana demografik masyarakat menua dan kadar kelahiran yang rendah," menurut MOM.
"Sedang ekonomi tumbuh pada kadar sederhana, pekerja dan syarikat-syarikat perlu kekal berdaya saing dan memenuhi tuntutan penyusunan semula ekonomi serta latar pengambilan pekerja yang berubah-ubah," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.