Pengambilan pekerja lebih perlahan, tapi kadar pertumbuhan tidak terhenti - Josephine Teo
Pemerintah bersedia meningkatkan inisiatif-inisiatif bagi membantu para pekerja jika berlaku kemelesetan ekonomi.
SINGAPURA: Pemerintah bersedia meningkatkan inisiatif-inisiatif bagi membantu para pekerja jika berlaku kemelesetan ekonomi.
Bercakap demikian di parlimen, Menteri Tenaga Manusia (MOM), Josephine Teo menambah bahawa walaupun pengambilan pekerja lebih perlahan, kadar pertumbuhan ekonomi negara tidak terhenti.
Sebaliknya ia mungkin menandakan para majikan lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja.
Pertumbuhan pekerjaan kata beliau kekal baik dalam sektor-sektor maklumat dan perhubungan serta kewangan.
Cik Teo juga menarik perhatian bahawa Pasukan Bertindak bagi Pemberhentian Pekerja Secara Bertanggungjawab dan Bantuan Fasilitasi Pekerjaan yang ditubuhkan pada 2016, sedang secara proaktif mendekati pekerja-pekerja yang diberhentikan dengan sokongan pekerjaan seperti padanan pekerjaan.
"Keadaan sekarang adalah kelembapan yang amat berbeza daripada keadaan kemelesetan yang kita alami pada 2008 dan 2009," kata beliau.
Pada separuh tahun 2009, pemberhentian pekerja mencecah lebih 19,000. Sedangkan, pada tahun-tahun biasa tempoh tersebut pemberhentian pekerja adalah sekitar 15,000 setahun.
Namun Cik Teo menjelaskan bahawa keadaannya kini tidak sebegitu dengan pemberhentian pekerja tidak melonjak.
Sebaliknya pemberhentian pekerja pada suku kedua 2019 ada rendah di paras 2,300, jelas beliau.
"Kita tetap prihatin dan akan memantau keadaan dengan teliti. Tetapi buat masa ini, keadaan tersebut tidak seharusnya mengalih perhatian kita daripada melaksanakan langkah-langkah yang akan menyokong pekerjaan bagi golongan lebih berusia untuk jangka pertengahan dan lebih panjang kerana peralihan demografi yang boleh dijangkakan dalam dekad akan datang," menurut Cik Josephine Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.