Pengambilan pekerja besar-besaran tawar 6,600 jawatan kosong di Lapangan Terbang Changi
SINGAPURA: Lebih 6,600 jawatan kosong disediakan di Lapangan Terbang Changi sedang sektor penerbangan komersil semakin pulih.
Pengambilan pekerja besar-besaran itu bertujuan untuk "mengisi jawatan-jawatan yang diperlukan untuk mempercepatkan pemulihan sektor penerbangan Singapura," menurut syarikat Changi Airport Group (CAG) dalam satu kemas kini di laman webnya pada Selasa (17 Mei).
Kerja-kerja kosong tersebut adalah untuk kedua-dua golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dan bukan PMET.
"Pengambilan pekerja itu tertumpu kepada menarik bakat yang sangat diperlukan bagi jawatan perkhidmatan penumpang barisan hadapan serta peranan-peranan yang baru dicipta dalam bidang inovasi dan teknologi," tambah CAG.
Lebih 20 syarikat penerbangan akan melakukan sesi temu duga di Pameran Kerjaya One Aviation, yang akan berlangsung dari 27 hingga 28 Mei di Pusat Konvensyen Suntec City.
Ini bermaksud pemohon kerja yang sesuai boleh "membuat permohonan, ditemu duga dan diambil bekerja dengan serta-merta", menurut CAG lagi.
Rakan-rakan kongsi lapangan terbang itu juga sedang menawarkan "gaji yang berdaya saing dalam pasaran dan insentif untuk memikat kakitangan baru," tambah CAG, dengan syarikat pengendalian bagasi serta katering, SATS dan dnata, antara majikan yang terlibat dalam pengambilan pekerja.
Pegawai keselamatan siber dan pegawai perkhidmatan kecemasan lapangan terbang juga adalah antara jawatan ditawarkan di pameran kerjaya tersebut.
Jawatan-jawatan tersebut diperlukan ekoran lalu lintas penumpang bulanan di Lapangan Terbang Changi yang mencecah satu juta buat julung-julung kalinya dalam tempoh dua tahun, dengan 1.14 juta penumpang membuat persinggahan di Lapangan Terbang Changi pada Mac.
Pada Mac, Menteri Pengangkutan Negara S Iswaran berkata sektor penerbangan Singapura sedang meningkatkan usaha pengambilan pekerja untuk memastikan operasi di Lapangan Terbang Changi berjalan lancar apabila penerbangan disambung semula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.