Pengambilan murid darjah satu madrasah mengambil kira keperluan sektor agama, mutu pendidikan: Zaqy Mohamad
- Zaqy Mohamad menjelaskan sekitar 400 murid Darjah 1 diterima setiap tahun oleh enam madrasah sepenuh masa, dengan mengambil kira keperluan masyarakat Islam dan mutu pendidikan.
- Beliau menjawab saranan NMP Azhar Othman supaya pengambilan diperluas bagi menyediakan lebih ramai calon, termasuk untuk Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
- Zaqy mengakui hasrat ibu bapa, tetapi menegaskan pendidikan Islam turut tersedia melalui aLIVE, ADIL serta Andalus, Cordova dan Al-Zuhri; graduan madrasah yang menjadi doktor atau peguam juga menyumbang kepada masyarakat.
- SCIS menyediakan pendedahan antarabangsa, program luar negara dan elektif, dengan harapan melahirkan pemimpin agama yang menghubungkan ajaran Islam kepada isu semasa dan perkembangan global.
SINGAPURA: Pengambilan sekitar 400 murid Darjah 1 ke madrasah sepenuh masa setiap tahun terus mengambil kira keperluan masa depan sektor agama dan masyarakat Islam, di samping memastikan mutu pendidikan terpelihara.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad berkata demikian di Parlimen pada Rabu (4 Nov) ketika menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Azhar Othman yang menyeru agar pengambilan pelajar madrasah sepenuh masa diperluas secara berperingkat.
Encik Azhar berkata bahawa sebuah institusi seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) memerlukan kumpulan bakal pelajar yang lebih luas, selain memberi lebih ramai kanak-kanak yang mempunyai minat dan kebolehan peluang mengikuti pendidikan madrasah.
Mengulas perkara itu, Encik Zaqy berkata enam madrasah sepenuh masa di Singapura memainkan peranan penting dalam melahirkan asatizah dan ulama masa depan.
“Pengambilan sekitar 400 pelajar Darjah 1 setiap tahun mengambil kira keperluan sektor agama dan masyarakat Islam pada masa hadapan di samping memastikan mutu pendidikan terus dipelihara,” katanya.
Beliau turut mengakui aspirasi ibu bapa yang mahukan pendidikan agama yang kukuh untuk anak-anak mereka.
Namun, Encik Zaqy menekankan bahawa peluang mendalami ilmu agama tidak hanya tersedia menerusi madrasah sepenuh masa.
Program aLIVE, misalnya, menjangkau sekitar 20,000 pelajar setiap tahun, manakala program ADIL disesuaikan untuk pelajar dewasa.
Penyedia pendidikan Islam seperti Andalus, Cordova dan Al-Zuhri pula membuka ruang kepada pelajar arus perdana untuk melanjutkan pengajian Islam sehingga ke peringkat diploma dan ijazah.
“Walaupun berbeza laluan, matlamat kita tetap bersama. Apa pun cita-cita mereka, kita mahu melihat anak-anak kita berjaya dalam bidang yang mereka pilih, menyumbang kepada masyarakat dan terus berpegang teguh kepada nilai-nilai agama Islam,” kata Encik Zaqy.
LULUSAN MADRASAH YANG CEBURI BIDANG LUAR SEKTOR AGAMA JUGA PERKEMBANGAN POSITIF
Encik Zaqy turut menyambut baik hakikat bahawa sebahagian lulusan madrasah akhirnya memilih kerjaya di luar sektor agama.
Beliau memberi contoh mereka yang menjadi peguam dan doktor, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif kerana masyarakat turut mendapat golongan profesional yang mempunyai pegangan agama yang kukuh.
“Jadi, saya rasa kedua-dua laluan ini membawa manfaat,” katanya.
Namun bagi SCIS, Encik Zaqy berharap kebanyakan lulusannya kelak akan meneruskan kerjaya sebagai pemimpin agama.
Menurut beliau, pelaburan yang dibuat bagi SCIS bukan sahaja bertujuan memperdalam ilmu agama, tetapi juga memberi pendedahan yang lebih luas kepada para pelajar.
Ini termasuk pendedahan antarabangsa, program imersif di luar negara serta program elektif yang membolehkan mereka meluaskan wawasan dan mendalami pelbagai bidang.
"Kita juga berharap dapat melahirkan pemimpin agama yang mampu membincangkan pelbagai isu, bukan sekadar memberikan tafsiran al-Quran, tetapi juga mengaitkan ajaran Islam dengan konteks semasa.
"Mereka perlu membantu masyarakat memahami perspektif Islam berhubung kesan sosial yang dibawa oleh perkembangan global. Bagi saya, inilah antara ciri utama yang membezakan SCIS pada masa hadapan," kata Encik Zaqy.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.